Monday, July 18, 2011

Sebenar-benar Perkataan, Sebaik-baik Pimpinan

Dalam sebuah hadith yang panjang disebutkan…”sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah dan sebaik-baik pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w).”

Kitab Allah Adalah Sebenar-benar Perkataan:

Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar. Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.

Kitab Allah, kitab suci Al-Qur’an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari qiamat.

Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur’an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur.

Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang, Al-Qur’an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains.

Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah dan kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar, maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan, kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya.

Pimpinan Rasulullah s.a.w.:

Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh Allah Azza wa Jalla pencipta seluruh alam.

Dalam buku-buku karangan mengenai pimpinan-pimpinan dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, memang benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat, mereka hanya berpandukan kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment