Thursday, July 21, 2011

Ciri-ciri Isteri Solehah

Setiap wanita yang bergelar isteri mengimpikan menjadi seorang isteri yang solehah. Isteri yang baik akan mudah melahirkan rumahtangga yang bahagia dan begitu juga bagi isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan lahirlah rumahtangga yang kucar-kacir.

Rumahtangga yang bahagia lahirnya daripada isteri yang soleh, jiran yang baik dan kawan yang sentiasa mengingatkan dosa pahala dan mengajak ke arah kebaikan. Wanita juga adalah penentu buruk baik sesebuah masyarakat. Masyarakat yang baik lahir dari rumahtangga dan keluarga yang bahagia.

Sifat yang telah dianugerahkan Allah kepada wanita dengan kehalusan yang amat bersesuian sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami. Daripada sifat ini, jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal lagi agar kematangan dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan menjadi seorang isteri yang solehah, hasilnya sudah pasti.

Sesebuah rumahtangga perlulah memenuhi tanggungjawab yang digariskan dalam tuntutan Islam. Tanggungjawab yang perlu benar-benar difahami, dihayati dan dilaksanakan agar cita-cita untuk melahirkan rumahtangga yang bahagia menjadi kenyataan.



1. Mengakui dan menerima bahawa suami ialah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumahtangga
Suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri. Tiada sesiapa pun boleh menyangkal akan hal ini. Satu kurniaan Allah yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga, mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di dunia dan di akhirat
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka." - (An-Nisa : 34)

2. Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tiada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suaminya.
Diriwayatkan, Aishah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh seorang isteri. Beginda menjawab, SUAMINYA. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh suami. Baginda menjawab, ibunya. - (Hadis Riwayat Hakim).

3. Bersifat amanah, iaitu menjaga maruah diri sendiri dan menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumahtangga.
Orang yang paling hampir kepada suami adalah isteri, yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia, berkongsi atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekaligus mengugat keharmonian rumahtangga.

4. Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya.
Adakalanya naluri seorang isteri atau wanita inginkan sesuatu yang diluar kemampuan suami. Oleh yang demikian jika meminta sesuatu yang diluar kemampuan seorang suami ini tentulah akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami.

5. Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang manis dan perhiasan diri zahir dan batin.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah selain isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia
keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya. -( Riwayat Ibnu Majah).
Isteri wajib mentaati perintah suaminya selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak Islam. Tetapi sayangnya ramai di kalangan suami yang menyalahgunakan pengertian taat ini. Mereka mudah mengambil kesempatan untuk membebankan isteri dengan pelbagai hal yang tidak wajar.

6. Berusaha menambah ilmu pengetahuan dan mempertingkatkan nilai-nilai akhlak yang murni supaya sejajar dengan petunjuk yang diarahkan oleh Islam mengenai sahsiah seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh seorang suami.
Sabda Rasulullah s.a.w. :-
"Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, kamu akan beruntung kelak. - ( Riwayat Ahmad )

7. Mempunyai sifat redha, yakin diri serta tawakal kepada Allah untuk
menghadapi sebarang masalah dan cabaran hidup berkeluarga.
Firman Allah :
"Bergaullah dengan isteri-isteri kamu menurut cara yang wajar dan baik. Sekiranya kamu berasa tidak senang disebabkan perangai mereka, bersabarlah mungkin dalam perkara yang kamu tidak suka itu Allah menjadikan kebaikan yang banyak." - ( An-Nisa: 19)
Sungguhpun ayat ini ditujukan kepada seoran suami,, pengajaran yang terkandung di dalamnya amat perlu menjadi panduan kepada para isteri. Setiap orang hendaklah menyedari hakikat bahawa tiada seorang pun yang cukup sempurna dalam segala aspek. Oleh itu kita perlu berusaha memperbaiki dan menyelesaikannya secara hikmah dan mengikut landasan agama.
Rasulullah memberi panduan,
"Janganlah seorang suami yang mukmin membenci isteri yang mukminah disebabkan tingkah lakunya. Jika ia tidak berkenan kepada satu daripada tingkah lakunya, tentu masih ada tingkah lakunya yang lain amat disenanginya."

8. Membantu dan menolong suaminya agar menjadi anak yang sedia
berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya
Tanggungjawab seorang anak lelaki lebih berat dan lebih utama kepada kedua-dua ibubapanya. Ibubapa yang perlu perhatian dan pertolongan perlu dipikul oleh anak lelaki terutama ibubapa yang sakit dan miskin.

9. Bersedia menjadi penyokong kuat kepada perjuangan suaminya iaitu perjuangan yang tidak menyimpang dari garis-garis yang dibenarkan oleh Islam.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Allah memberi rahmat kepada seorang isteri yang jika ia bangun malam dan solat, ia membangunkan suaminya supaya sembahyang bersamanya. Tetapi sekiranya suaminya enggan, direnjiskan air ke muka suaminya dengan penuh kasih sayang."

10. Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang ramai

Ini adalah sebahagian daripada sahsiah isteri yang solehah yang seharusnya ada pada setiap wanita untuk mencapai kesempurnaan hidup berkeluarga dan mendapat keredhaan Allah yang diharapkan oleh setiap suami.

Namun, solehahkah ketawa terkekek-kekek di tengah khalayak ketika berbicara dengan lelaki bukan mahram? Anda bangga dengan perbuatan itu? Inilah persoalan yang perlu kita fikirkan dan renungkan selalu.

0 comments:

Post a Comment