Wednesday, January 18, 2012

Fikir Kebesaran Allah Dalam Penciptaan Manusia

Ada manusia yang sombong dengan Allah s.w.t padahal kejadian (penciptaan) langit itu lebih susah daripada penciptaan manusia.

Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahui. (Ghafir:57)

Lihatlah kepada kejadian diri kamu

Firman Allah dalam surah Az-Zariyat yang bermaksud: “Kenapakah manusia tidak memerhati dan menyelidiki apa yang terdapat pada badan mereka.”

Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin, (Zariyat:20) Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? (Zariyat:21)

Allah berkuasa mencipta pelbagai bahasa melalui pergerakan lidah di dalam kawasan mulut yang kecil. Bahkan Allah berkuasa mencipta cap jari yang berbeza bagi setiap manusia di dalam satu kawasan yang kecil.

Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? (Qiyamah:3) Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain). (Qiyamah:4)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Ikuti Rasulullah Ingati Allah Untuk Berjaya

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Ahzab:21)

Ikuti Rasulullah dan ingati Allah untuk satu formula untuk berjaya di akhirat. Betulkan amalan mengikut syariat Allah dan penuhkan syariat dengan sunnah Nabi.

Allah cantikkan syariatnya dengan sunnah Nabi.

Sebagai contoh, syariat Allah ialah sembahyang fardhu lima waktu sehari semalam, maka cantikkan ia dengan sunnah Nabi seperti membuat azan, sembahyang berjemaah di masjid. Kerjakanlah sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat Rawatib disamping sembahyang fardhu kerana sembahyang sunat itu dapat menampal kekurangan yang terdapat dalam sembahyang fardhu.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari qiamat mengenainya ialah sembahyangnya jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang dari sembahyang fardunya sesuatu, Tuhan berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.”

Ingati Allah

Ingatlah Allah samada melalui zikir lidah, zikir hati atau berfikir tentang kebesaran Allah. Siapa yang menyayangi sesuatu, dia akan sentiasa menyebutnya (melalui mulut) atau mengingatinya (melalui hati).Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga kerana syurga adalah tempat Allah melahirkan perasaan kasih sayang kepada hambanya yang mentaati perintahnya.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Ikut Nabi Sedaya Upaya, Jangan Banyak Soal

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda “Biarkan aku apa yang aku biarkan kepada kamu. Sesungguhnya kebinasaan umat sebelum kamu adalah kerana pertanyaan dan penentangan mereka kepada nabi-nabi mereka. Jadi, jika aku melarang sesuatu atas kamu maka tingggalkanlah dan jika aku memerintahkan sesuatu maka lakukanlah sesuai dengan kemampuan kamu” (Riwayat Bukhari & Muslim)

1) Jangan terlalu banyak bertanya

Al-Maidah [101] Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Jangan terlalu banyak menyoal seperti umat terdahulu, seperti yang diceritakan dalam surah Al-Baqarah. Kisah penduduk dua buah kampung yang bertemu Nabi Musa untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan.

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”.

Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?”

Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”. (67)

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?”.

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”. (68)

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?”.

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”. (69)

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya) dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”. (70)

Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang) dan tidak pula (digunakan untuk mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”.

Mereka berkata: “Sekarang barulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”.

Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu. (71)

Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan. (72)

Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya. (73)

2) Tinggal apa yang dilarang dan ikut apa yang disuruh mengikut kemampuan

Misalnya jika tidak mampu sembahyang berdiri kerana uzur, boleh sembahyang secara duduk, jika tidak mampu juga boleh sembahyang sambil baring atau tidur.

Taghabun [16] Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Ikutlah Nabi untuk masuk ke dalam syurga milik Allah.

Dari Abu Hurairah r.a., bahwa Rasulullah s.a.w bersabda : “Sekelian umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan.”…Sahabat-sahabat baginda bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?”…Baginda menjawab, “Sesiapa yang taat kepada ku akan masuk syurga, dan sesiapa yang derhaka kepadaku maka sesungguhnya dia telah enggan.”

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

4 Jangan

Al-Anaam [151] Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun dan hendaklah (kamu) berbuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

1) janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun dan hendaklah (kamu) berbuat baik kepada ibu bapa.

Janganlah sekutukan (mensyirikkan) Allah, khasnya dalam beribadat. Ibadat adalah milik Allah, maka lakukan ia semata-mata untuknya:

Al-Kahfi [110] sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah Dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah Dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.

Bayyinah [5] Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya

2) janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka

Janganlah dibunuh anak-anak kerana bimbang tidak cukup makan atau miskin. Dalam sebuah syair disebut “

Maha Suci Allah yang memberi rezeki kepada hambanya dan seorangpun dia tidak lupa.

Kata pepatah Melayu:

“Ulat dalam batu pun ada rezekinya.

3) Janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi.

Janganlah melakukan perbuatan yang tidak bermaruah (seperti minum arak, berjudi, liwat, menari dan menyanyi di atas pentas sambil menggoyangkan anggota tubuh badan) samada dilihat orang ataupun tidak.

4) Janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak)

Pembunuhan yang dibenarkan dalam Islam hanyalah dalam melaksanakan hukum qisas.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Riak Dan Pecahannya

Riak adalah merupakan satu amalan yang kecil sahaja. Ia kadangkala hanya tersemat di celah-celah masalah yang begitu banyak, tetapi tindakannya, memberi kesan yang sangat besar dan buruk, menyebabkan mereka yang terlibat akan terhina, bankrap, mereka tidak mempunyai harapan langsung untuk menjayakan diri mereka. Amalan yang diharap-harapkan untuk membantu mereka di alam Baqa’ telah hangus, dan tidak diterima, walaupun amalan riak hanya kecil sahaja.

Riak atau menunjuk-nunjukkan amalan kebajikan, atau ketaatan seseorang Islam di dalam agamanya. Jika amalan (ibadah) yang dikerjakan itu, terlibat dengan cara sengaja ingin menunjukkan amalan yang baik yang telah dilakukan olehnya itu kepada selain dari Allah s.w.t. untuk mendapat pujian dari mereka, atau untuk dihormati akan dirinya, dan lain-lain, maka ia adalah riak yang diharamkan.

Dalam hal ini ada beberapa cara, ada di antaranya dibenarkan, bahkan digalakkan, dan tidak kurang pula yang dilarang.

Pecahan Riak

Pecahan riak secara kasar kepada tiga (3) jenis:

(1) Haram

(2) Harus

(3) Digalakkan

1. Riak yang diharamkan

Adapun riak atau menunjuk-nunjukkan yang haram itu, ialah yang boleh membawa keburukan kepada yang melakukannya, dengan menunjuk-nunjukkan amalan amalan kebaikan yang dikerjakan kerana Allah itu, digunakan untuk mendapat sesuatu faedah selain dari Allah, atau paling tidak ibadah yang dikerjakan kerana Allah itu ingin ditunjukkan kepada orang lain, dengan tujuan mendapat pujian, atau penghormatan, pengiktirafan baginya, atau melaluinya (ibadah tersebut) ia mempunyai matlamat-matlamat yang lain dari matlamat-matlamat keredhaan Allah, pahala dari Allah, atau selain dari semata-mata menjunjung perintah Allah (swt).

Ibadah yang diriakkan itu pada hakikatnya, telah terkeluar dari status ibadah, kerana di dalam tiap-tiap keriakan yang haram itu berlaku, maka di sana terdapat pula persamaan sekalipun jika tidak seratus peratus, persamaan di antara yang berhak dengan batil. Persamaan yang layak dengan yang tidak layak. Persamaan di antara yang mencipta dengan yang diciptakan dan lain-lain lagi.

Pendek kata, tiap-tiap ibadah, walaupun ia dikerjakan di hadapan khalayak ramai seperti di surau, masjid, di padang dan sebagainya, ianya dimestikan kepada satu zat sahaja, tanpa ada niat, atau maksud hendak menunjuk-nunjuk ibadah itu kepada sesiapa, untuk tujuan yang berfaedah, bahkan mesti tidak ada kepentingan dari ibadah yang dikerjakan untuk Allah itu kepada selain daripada dariNya walaupun sebesar zarah sekalipun. Jika masih mempunyai kepentingan darinya kepada selain daripada Allah (swt), maka itulah riak haram, dan ia adalah syirik khafi (syirik kecil), ia adalah perkongsian hak dan kuasa, secara halus, ia adalah haram.

Banyak hadis menunjukkan petunjuk-petunjuk yang haram itu melalui riak, segala amalannya tidak mendapat ganjaran dari Allah (swt) dan segala-galanya menjadi sia-sia, dan bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka yang terlibat itu pula akan diazabkan, kerana tidak jujur dengan ibadatnya, kerana wujudnya perkongsian ketika itu.

Dalam satu hadis Rasulullah (saw) bersabda maksudnya: “Jaga (diri) dari syirik kecil, (apabila ditanya) apa dia syirik kecil itu, sabdanya, riak.” (Khazinatul Asrar, 1/42)

2. Riak Yang Diharuskan

Riak yang harus ini, tidak lain dari menunjukkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah (swt) kepada seorang, sebagai mensyukurinya, sepertimana firman Allah (swt) yang maksudnya:

“Adapun nikmat kurniaan Allah (s.w.t.) kepada kamu (wahai Muhammad) harus diceritakan, atau ditunjukkan kepada orang ramai.” (Surah ad-Dhuha, ayat 11)

Dalam riak yang harus ini, pada hakikatnya tidak ada perkongsian, atau matlamat sampingan di dalam mana-mana ibadah, dan pada hakikatnya, ia bukanlah satu riak yang diharamkan, cuma ada sedikit persamaan iaitu menunjuk-nunjukkan iaitu menunjukkan nikmat kurniaan Allah ke atasnya, dengan syarat sebagai mensyukurinya, ia adalah diharuskan selagi tidak tersalah anggapan terhadap pengurniaan itu, ia adalah dari Allah (swt).

3. Riak Yang Digalakkan

Ada juga riak iaitu menunjukan-nunjukkan sesuatu kepada orang yang digalakkan, ia yang bermotif menarik perhatian umum supaya mereka juga melakukan sedemikian itu kerana Allah (swt).

Riak ini sebenarnya bukanlah riak dalam erti kata sebenar, atau menunjuk-nunjukkan yang diharamkan, kerana motifnya, ialah Allah (swt) juga, iaitu seperti menunjukkan derma, bantuan yang dihulurkan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, supaya timbul pada perasaan orang lain itu, keinginan untuk menghulurkan derma bakti kepada mereka-mereka yang memerlukannya. Begitu juga seperti mengiklankan, menunjukkan zakat yang hendak dikeluarkan, supaya ada mereka yang lain pula ingin mengeluarkan zakatnya kerana Allah (swt). Jadi tujuannya, untuk menggalakkan orang lain berbuat kebaikan.

Begitu juga dengan riak, atau menunjuk-nunjukkan sebagai pelajaran, supaya ia dipelajari. Pendek kata penunjukkan seperti di atas, adalah digalakkan, tetapi dengan syarat bahawa segala yang dilakukan itu mestilah kerana Allah (swt). Mudah-mudahan dengan cara sedemikian boleh menarik orang ramai melakukan ibadah tersebut yang dikehendaki oleh Allah (swt).

Wallahu a’lam bissawab, wailmuhu atammu wa adalla.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Ikuti Rasulullah Agar Dikasihi Allah dan Diampunkan

…dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya … (Hasyr:7)

Ikutilah apa jua perintah dan jauhi larangan yang dibawa Baginda sebagai seorang rasul.

Manakala perkara yang dilakukan sebagai perbuatan peribadinya tidaklah dikenakan (diwajibkan) ke atas umatnya, misalnya perbuatan Baginda puasa wisal iaitu puasa siang dan malam:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Kemudian seorang lelaki dari kalangan orang Islam telah bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah di antara kamu yang boleh menyamai aku? Sesungguhnya di malam hari aku diberi makan dan minum olah Tuhanku.

Begitu juga dalam hal keduniaan Baginda menyerahkan kepada mereka yang lebih arif.

Riwayat daripada Rafi` bin Khadij ra, katanya: Rasulullah saw tiba di Madinah, ketika orang Madinah sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar. Nabi saw bertanya: Perkara apa yang kamu sedang lakukan itu? Mereka menjawab: Kami sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar. Nabi bersabda: “Kalau kamu tidak melakukan begitu nescaya lebih baik” lalu mereka pun berhenti melakukannya dan hasil tamar mereka pun merosot. Kata rawi: lalu mereka maklumkan perkara itu kepada Nabi saw. Nabi bersabda: “Sesungguhnya aku adalah manusia, apabila aku menyuruh kamu mengerjakan sesuatu perkara agama kamu, maka lakukanlah dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu pendapat, maka sesungguhnya aku seorang manusia.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ali-Imran:31)

Orang yang mendakwa mengasihi dan menyanyangi Allah hendaklah mengikuti Rasulullah s.a.w. Ikutilah sunnah Rasulullah s.a.w. misalnya sembahyang berjemaah di masjid dan cara hidupnya seperti makan, minum, duduk, bangunnya untuk meningkatkan makam atau tingkatan rohani.

Ikutilah Rasulullah s.a.w kerana Baginda telah ditarbiyah oleh Allah. Allah tarbiyah Rasulullah s.a.w, Baginda pula mentarbiyah umatnya.

Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga. Sayangilah 4 perkara iaitu Allah, Rasulullah, Agama Islam dan Orang Islam. Belajarlah 4 perkara iaitu Quran, Hadith, Akidah dan Fekah.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Ahzab:21)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Thursday, January 5, 2012

Taubat Nabi Adam dan Keegoan Iblis

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. (Baqarah:37)

Kalimah atau doa itu ialah:

[A'raf :23] Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.

Nabi Adam mengakui kesalahannya memakan buah yang dilarang. Walaupun telah diberi amaran, Nabi Adam terlupa dan tidak mempunyai niat atau keazaman yang kuat untuk melakukannya.

Taha [115] Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

Berbeza pula dengan iblis, bukan sahaja dia enggan sujud kepada Nabi Adam, malah ia menyalahkan Allah s.w.t. kerana menyesatkannya dan menyimpan dendam untuk menyesatkan zuriat Nabi Adam.:

Al-Hijr [39] Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,

Sebenarnya iblis telah diberi peluang untuk memohon keampunan daripada Allah, tetapi dia enggan dan memilih untuk menerima hukuman dan azab di hari kiamat nanti:

…Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya). (Isra: 62)

Allah berfirman (kepada iblis): Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup. (Isra:63)

Musuhilah syaitan yang menyimpan dendam untuk menyesatkan kita. Berkali-kali ayat ini diulang dalam Al-Quran,untuk mengingatkan kita bahawa syaitan adalah musuh kita, musuh datuk-nenek kita.:

….sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Mohonlah keampunan seperti yang dilakukan oleh datuk kita. Allah sangat suka pada mereka yang memohon keampunan, bahkan dalam sebuah hadith disebut:

“Demi Dzat yang menggenggam jiwaku, sekiranya kalian tidak pernah berbuat dosa, nescaya Allah akan mematikan kalian dan menggantikan dengan kaum yang berbuat dosa, lalu mereka memohon ampun kepada Allah dan Allah pun mengampunkan mereka.”

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Bila Dunia Dibesar-besarkan Dan Dakwah Ditinggalkan

Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila umatku membesar-besarkan dunia nescaya kehebatan Islam akan dihapuskan dari mereka, dan apabila umatku mengabaikan amal-makruf dan nahi-mungkar nescaya mereka akan diharamkan dari keberkatan wahyu.”

1) Apabila dunia terlalu dibesar-besarkan, tercabutlah kehebatan agama Islam. Misalnya kerana terlalu mengejar kemewahan dunia, sembahyang jemaah dan pengajian agama ditinggalkan.

Dunia ini sangat kecil berbanding akhirat. Bahkan dijelaskan dalam hadith dari Aisyah dari Nabi s.a.w sabdanya “ Dua rakaat sebelum subuh lebih baik daripada dunia dan seisinya .” (HR Muslim )

Islam menekankan kedua-duanya, dunia dan akhirat.

Qasas [77] Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia …

Dunia ini adalah jambatan untuk ke akhirat. Hadis daripada Anas r.a yang diriwayatkan oleh Ibn `Asakir, maksudnya:

Tidaklah dikira baik sifat orang yang membelakangkan “keadaan hidupnya” di alam dunia ini kerana berusaha untuk kebaikan dan kebahagiaan akhiratnya semata-mata, juga tidak dikira baik sifat orang yang membelakangkan kewajipan akhiratnya kerana berusaha untuk “keadaan hidupnya” di alam dunia ini semata-mata; tetapi baiknya sifat seseorang apabila ia berusaha untuk “keadaan hidupnya” di alam dunia ini dan untuk kebaikan, kebahagiaan akhiratnya sama, kerana keadaan hidup di alam dunia ini sungguhpun telah ditetapkan Allah menjadi sebab yang menyampaikan seseorang kepada kebahagiaan akhiratnya tetapi janganlah seseorang membiarkan dirinya menjadi beban kepada orang lain menjaga “keadaan hidupnya” di alam dunia ini, bahkan hendaklah ia sendiri berusaha menjaganya.

Tiap-tiap kebaikan atau dosa yang dilakukan di sini (dunia) akan dihantar ke sana.

Ali-Imran [30](Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya) dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya…

An-Nahl [96] (Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

2) Apabila amal ma’ruf dan nahi mungkar ditinggalkan, hilanglah keberkatan wahyu.

Bila manusia tidak mengajak ke arah kebaikan dan melarang kejahatan(berdakwah), maka ayat quran yang dibaca tidak lagi difahami hakikatnya dan tidak menjadi penawar. Sepertimana bila dakwah ditinggalkan. Tanpa usaha dakwah (amal ma’ruf dan nahi mungkar) Allah tidak terima doa.

Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah (SWT) s.w.t yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Jika kalian tidak melakukannya Allah (SWT) s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan.(Riwayat Tirmidzi)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Sayangilah Allah dan Zikrullah

Sayangilah Allah, “sebut-sebutlah Allah ” dan ingatlah Allah samada melalui zikir lidah, zikir hati atau berfikir tentang kebesaran Allah. Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Sayangilah 4 perkara iaitu Allah, Rasulullah, Agama Islam dan Orang Islam. Belajarlah 4 perkara iaitu Quran, Hadith, Akidah dan Fekah.

Siapa yang menyayangi sesuatu, dia akan sentiasa menyebutnya (melalui mulut) atau mengingatinya (melalui hati).

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Ahzab:21)

Dari Abu Darda ra bahwa Rasulullah saw bersabda :Mahukah kamu akan ku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu,paling disenangi oleh TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka : Mahu, wahai Rasulullah. Sabda beliau: Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(HR, Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.

Berzikir boleh dilakukan sambil berjalan kaki, memandu kereta, bahkan sambil berbaring di atas tilam yang empuk pun boleh berzikir. Ramai juga yang masuk syurga VIP kerana berzikir di atas tilam yang empuk.

Abu Said Al-K hudri r. a memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati ALLAH s.w.t di atas tilam yang empuk, yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat tertinggi di dalam syurga.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa yang Mantap

Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".

Ini adalah salah satu doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Baginda suka doa yang ringkas tetapi padat. Misalnya cukuplah sekadar
meminta syurga, tidak perlulah diperincikan bentuk mahligai syurga itu
seperti yang diminta oleh seorang sahabat:

Diriwayatkan daripada Abi Nu'amah, bahawa Abdullah bin Mughaffal
mendengar anaknya berdoa, dengan katanya : Ya Allah, aku memohon agar
dikurniakan mahligai putih di sebelah kanan syurga apabila aku masuk ke
dalamnya (syurga) nanti. Sabda Nabi saw: Diriwayatkan daripada Aisyah ra
katanya : Nabi saw sukakan doa yang menyeluruh dan baginda tinggalkan
selain dari itu.

Banyak lagi doa-doa yang diajar dan disebut dalam hadith-hadith Baginda
misalnya:

""Ya Allah bantulah aku dengan memudahkan setiap yang susah kerana
memudahkan yang susah itu senang sahaja bagiMu dan aku memohon kepadaMu
kemudahan dan kemaafan, dunia dan akhirat" (Riwayat Thabrani daripada
Abu Hurairah r.a.)"

Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku (kasihani) dan masukkanlah aku
(ke dalam syurga) bersama orang-orang yang dikurniakan nikmat".

Wahai tuhan kami, tidak ada kehidupan yang sebenar melainkan di akhirat.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa Untuk Dapat Cinta Allah

Ya Allah, kurniakanlah aku kasih sayang kepada-Mu, kasih sayang kepada orang yang kasih kepadanya berfaedah bagiku, Ya Allah, apa yang engkau telah kurniakan kepadaku yang aku sukai, jadikanlah ia sebagai kekuatan untuk melakukan apa yang engkau sukai. Ya Allah, apa yang engkau telah palingkan (tidak dikurniakan), jadikanlah ia sebagai kesempatan untuk melakukan apa yang engkau sukai (Riwayat Tirmidzi).Ya Allah, kurniakanlah aku kasih sayang kepada-Mu

Rasa cinta kepada Allah ialah rasa seronok apabila mengingati Allah. Allah menerima cinta walaupun daripada hambanya sendiri. Perlu ada perasaan cinta kepada Allah untuk menjadi seorang wali. Cinta itu adalah satu seni yang suci, cuma manusia yang mengotorkannya dengan maksiat. Ibadat yang besar ialah menyayangi Allah. Apabila seseorang menyayangi Allah, maka Allah menyayanginya, dan diletakkan orang yang disayanginya itu di syurga, sebuah tempat kepunyaan Allah untuk menzahirkan kasih sayangnya kepada hamba yang taat.

Kasih sayang kepada orang yang kasih kepadanya berfaedah bagiku.

Misalnya kasih kepada Rasulullah s.a.w. , kepada para sahabat dan umat Islam yang lain.

Ya Allah, apa yang engkau telah kurniakan kepadaku yang aku sukai, jadikanlah ia sebagai kekuatan untuk melakukan apa yang engkau sukai.

Sebagai contoh, kita suka dengan rezeki halal yang diberikan oleh Allah. Maka gunakanlah ia untuk melakukan perkara yang disukai Allah seperti ibadat umrah dan sebagainya. Kita suka dengan kereta atau motor yang dimiliki, maka gunakanlah ia untuk ke masjid sembahyang berjemaah dan menghadiri majlis ilmu.

Ya Allah, apa yang engkau telah palingkan (tidak dikurniakan), jadikanlah ia sebagai kesempatan untuk melakukan apa yang engkau sukai.

Misalnya jikalau kita tidak mendapat sesuatu yang diidamkan seperti projek atau tidak berjaya dalam tender, maka bentuklah hati untuk menerima kekecewaan dan janganlah merajuk dengan Allah.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa Mohon Kebaikan dan Seronok Melakukan Kebaikan

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan samada yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui, dan aku berlindung denganmu daripada semua kejahatan samada yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui. (Riwayat Thabrani melalui Jabir Ibnu Samurah)

Ya Allah, jadikanlah aku daripada orang-orang yang gembira apabila melakukan kebaikan dan berdukacita apabila melakukan kejahatan. (Riwayat Ibnu Majah melalui Siti Aisyah r.a.)

Apabila seseorang itu berasa gembira dalam melakukan kebaikan dan berasa dukacita melakukan kejahatan, maka rasa itu adalah tanda iman sudah mula terserap dalam jiwanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati ” (Riwayat At-Tirmizi)

Apabila sesorang itu melakukan dosa, gelaplah cahaya imannya kerana titik hitam mula tumbuh dalam hatinya:

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: “Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa Keampunan

Wahai Tuhan ampuni kesalahanku, kejahilanku dan keterlanjuranku semuanya, dan apa yang Engkau lebih tahu tentangnya daripada aku, Ya Allah ampuni aku, juga kesengajaanku, kebodohanku, dan kealpaanku, dan semuanya daripada aku, Ya Allah ampuni dosa apa yang terdahulu dan apa yang terkemudian, apa yang tersembunyi dan apa yang nyata, Engkau Yang Terdahulu dan Engkaulah Yang Tiada Kesudahan, dan Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu (Riwayat Al Bukhari)

Di dalam Al-Quran, Allah berfirman bahawa dosa yang diampunkan ialah dosa yang dilakukan kerana disebabkan kejahilan (tidak tahu perkara yang dilakukan itu salah).

Sesungguhnya penerimaan taubat itu diampun oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (An-Nisaa:17)

Ada dua pendapat ulama dalam kes ini.

Pendapat pertama mengatakan bahawa orang yang melakukan dosa kerana kejahilannya sahaja yang boleh bertaubat.

Pendapat kedua pula ialah orang yang melakukan dosa itu sebenarnya adalah seorang yang jahil (walaupun dia mengetahui). Mereka ini masih boleh bertaubat dan hendaklah tidak mengekalkan (berterusan dalam melakukan dosa)

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Ali-Imran:135)

Kesimpulannya, mereka yang melakukan dosa samada kerana jahil atau tidak (tahu perkara yang dilakukan itu salah) masih boleh bertaubat selagi tidak menghampiri kematian atau tidak mati dalam kekafiran.

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, (sedang taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (An-Nisaa:18)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Tazkirah - Doa Jadi Hamba Sabar, Syukur dan Tawadduk

Doa Jadi Hamba Sabar, Syukur dan Tawadduk

"Ya Allah jadikan aku ini hambamu yang banyak bersyukur, dan jadikan
aku ini hambamu yang banyak bersabar dan jadikan aku hambamu yang kecil
pada pandanganku tapi besar di mata orang".

Bersyukurlah dalam semua keadaan, ucapkanlah Alhamdulillah dalam apa jua
keadaan, samada mendapat kurniaan yang banyak atau sedikit dan janganlah
pula merajuk dengan Allah s.w.t.

Salah satu daripada nama Allah ialah As-Sobur. Sabar ialah tetap
pendirian di atas kebaikan. Allah paling banyak bersabar. Walaupun ramai
manusia yang derhaka, namun Allah tidak membinasakannya serta merta.

Allah bersama-sama dengan orang yang sabar dan pertolongan Allah datang
beserta dengan kesabaran.

Al-Baqarah [249] ....dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang
sabar.

Rasulullah s.a.w. bersabda "

Pertolongan Allah datang dengan bersabar, jalan keluar itu ada bersama
dengan bala (karb), dan sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai
kemudahan, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Riwayat
Ibnun Najjar melalui Anas r.a.)

Kata pepatah asing "Hasil kesabaran ialah buah yang manis"

Mintalah agar menjadi seorang yang kecil pada pandangan mata sendiri.
Jangan jadi seperti iblis yang merasa dirinya besar.

Al-A'raf [12] Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekatmu
daripada sujud ketika Aku perintahmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik
daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia
Engkau jadikan dari tanah.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)