Wednesday, July 13, 2011

Beri Yang Baik dan Halal

Baqarah [267] Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Kita hanya boleh mendampingi Allah dengan harta yang halal sahaja. Bersedekahlah dan keluarkanlah zakat daripada harta yang baik dan halal. Dermakanlah apa yang kita sayangi kerana ia lebih berpahala berbanding derma yang diberikan kerana ia adalah sekadar lebihan.

Ali-Imran [92] Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

“dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu”

Kita tidak berkuasa mengeluarkan buah-buahan dari pokoknya walaupun diletakkan baja dan disirami air. Hanya Allah yang berkuasa mengeluarkan hasilnya, bahkan Allah sendiri meladangi tanaman dan tumbuhan di muka bumi ini:

Al-Waqiah (63) Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?

Al-Waqiah (64) Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?

Al-Waqiah (65) Kalau Kami kehendaki, sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal,

Zakat juga diwajibkan ke atas tanaman yang dikeluarkan dari bumi ini. Mazhab Syafie hanya mewajibkan zakat ke atas tanaman yang mengenyangkan seperti beras, gandum. Manakala mazhab Hanafi turut mewajibkan zakat ke atas buah-buahan misalnya setiap sepuluh biji buah durian dikenakan 1 biji zakat.

Al-Anam [141] Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.

sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Allah tidak perlukan kepada zakat kita, tetapi ianya adalah untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Allah kaya dan terpuji, Allah tidak sombong walaupun kaya dan Allah melayan karenah manusia walaupun dia maha kaya. Berbeza pula dengan sikap manusia yang adakalanya sombong bila sudah menjadi kaya. Salah satu nama Allah ialah Hamid iaitu terpuji.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment