Monday, October 25, 2010

Siapakah yang lebih zalim

Baqarah [114] Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

Asalnya ayat ini ditujukan kepada orang Quraisy, namun ia juga boleh digunakan secara umum. Antara orang yang jahat dalam ayat ini ialah mereka yang menghalang pembinaan masjid, melengah-lengahkan pembinaan masjid, menimbulkan suasana tidak tenteram di masjid sehingga orang tidak mahu ke masjid. Mereka ini dihina dan tidak dihormati semasa hidupnya di dunia ini dan akan disiksa di akhirat nanti.

Begitu juga mereka yang meruntuhkan masjid untuk dibina bangunan lain seperti apartment, kedai, jalanraya dan sebagainya. Kata ulama, tanah yang telah didirikan masjid tidak boleh dibina bangunan lain selain dari masjid dan masjid adalah rumah Allah di dunia.

Rumah Allah SWT di bumi ialah masjid-masjid dan orang yang memakmurkannya ialah pengunjung-pengunjungnya. Orang buta pun wajib mengunjunginya selagi ia dapat mendengar azan dari masjid. Orang yang mengunjungi masjid adalah pelawat Allah SWT. Hak Allah SWT sebagai Yang dilawat ialah memuliakan pelawat-Nya (Hadith Qudsi).

Satu rombongan Yahudi bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang bumi mana yang tuhan sayang dan bumi mana yang tuhan benci. Rasulullah s.a.w pada mulanya tidak tahu jawapan untuk soalan ini. Baginda bertanya kepada Jibrail, Jibrail juga tidak tahu. Lalu Jibrail naik bertemu Allah untuk mendapatkan jawapan.Maka setelah diberikan jawapan, kata Nabi s.a.w, sebaik-baik bumi ialah masjid. Sejahat-jahat bumi ialah pasar. Setelah Nabi memberi jawapan tersebut, 33 orang Yahudi tadi memeluk Islam (mungkin perkara ini juga disebutkan dalam kitab mereka).

Sabda Nabi s.a.w, “Masjid adalah rumah setiap orang yang beriman.” (HR. Abu Nu’aim).”Sesungguhnya masjid itu adalah rumah bagi setiap orang yang bertaqwa, dan sesiapa yang merasakan masjid itu adalah rumahnya, Allah menjaminnya mendapat rahmat dan ketenangan, serta melintasi titian sirat menuju keredhaan Allah di dalam Syurga” (Hadith Riwayat Tabrani).

Orang yang beriman (mukmin) berada dalam masjid ibarat ikan di dalam air, sedangkan orang yang munafik berada dalam masjid ibarat burung dalam sangkar.(Hadith). Ikan di dalam air bebas berenang, burung dalam sangkar pula menunggu hendak keluar.

Akhir zaman,bila umat sudah rosak dan berlaku banyak fitnah iaitu agama berada dalam keadaan huru hara, lazimkanlah duduk di dalam masjid kerana syaitan tidak masuk dalam masjid. (tidak ramai yang masuk). Lagipun dalam masjid banyak majlis ilmu dan peringatan.

0 comments:

Post a Comment