Monday, October 25, 2010

Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?

Al-Mu’minuun [112] Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?

Al-Mu’minuun [113] Mereka menjawab: Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung (umur).

Dalam hadith ada disebut 500 tahun di bumi (dunia) ini adalah bersamaan setengah hari di akhirat. Dikatakan Nabi Adam yang tinggal selama 153 tahun di dunia ini pula hanyalah bersamaan sekitar 1 jam di akhirat nanti.

Dunia yang sekejap ini tempat ujian

Al-Mu’minuun [114] Allah berfirman: Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

Sedikit sahaja masa diberi di dunia ini kerana ia hanyalah tempat ujian.Untuk masuk ke syurga pelbagai ujian harus dilalui. Ujian pertama ialah ujian keimanan iaitu 6 rukun iman yang terdiri dari 4 perkara ghaib dan hanya 2 perkara yang nampak iaitu kitab dan nabi (orang terdahulu boleh melihat para Nabi). Seterusnya manusia diuji dengan ujian Islam seperti yang terkandung dalam 5 Rukun Islam iaitu mengakui Allah itu tuhan, Nabi Muhammad itu Rasul dan apa yang dibawanya adalah benar, mengerjakan sembahyang, puasa, menunaikan zakat dan haji. Masuk ke syurga ialah satu kejayaan yang besar dalam ujian ini kerana syurga ialah hari raya yang sebenar dan di sana kita menjadi tetamu Allah.

Juga diuji dengan kemewahan, mereka yang gagal dan mati dalam kekafiran pula disediakan neraka

At-Taubah [55] Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

Baqarah [24]……(iaitu Neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. ;

Allah cipta manusia tidak sia-sia

Al-Mu’minuun [115] Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Di dalam sebuah hadits qudsi, Allah berfirman: Aku adalah khazanah tersembunyi dan aku ingin diketahui. Kerana itu lalu aku menciptakan makhluk agar aku diketahui

Allah mencipta manusia untuk diberikan syurga. Syurga itu milik Allah yang diwariskan:

Maryam [63] Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertakwa dari hamba-hamba Kami.

Allah Tuhan Yang Sebenar

Al-Mu’minuun[116] Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.

Allah menegaskan bahawa dia adalah tuhan yang sebenar.

Al-Hajj [73] Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya) dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

0 comments:

Post a Comment