Monday, October 25, 2010

Seimbang dunia akhirat, berdikari dan tidak meminta

Rasulullah s.a.w. bersabda, Siapa mencintai dunianya, mudarat lah akhiratnya, dan siapa yang mencintai akhirat, mudaratlah dunianya; oleh itu utamakanlah yang kekal berbanding yang fana. (Riwayat hakim melalu Abu Musa r.a.)

Kalau kita suka sangat dunia, mudaratlah akhirat kita. Terlalu mengejar dunia boleh mencederakan akhirat, tiada masa untuk ibadat seperti sembahyang berjemaah. Begitu juga sebaliknya. Kalau kita suka sangat akhirat, mudaratlah dunia kita.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. kata dua-dua kena seimbang. Dunia pun buat, akhirat pun buat. Cari dunia supaya tidak menyusahkan orang lain, tidak payah minta derma dan pertolongan orang lain. Dalam satu hadis yang panjang, “tidak dikira baik orang yang kejar akhirat semata-mata dan tinggal dunianya, dan tidak dikira baik orang yang kejar dunia semata-mata dan tinggal akhiratnya“.

Dalam hadis yang lain, jangan bebankan diri kamu ke atas orang lain. Seperti dalam satu kisah seorang yang sentiasa duduk dalam masjid dan tidak keluarga untuk bekerja. Beliau hanya mengharapkan makanan dari adik-beradiknya. Rasulullah kata adik-beradiknya lebih baik. Mereka sembahyang jemaah dan bekerja.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang dapat memberi jaminan kepada aku yang dia tidak meminta sesuatu dari manusia, aku jamin syurga baginya. (Riwayat Abu Daud dari Thauban) Islam menggalakkan umatnya berdiri atas kaki sendiri (berdikari) dan tidak meminta dari orang lain, kecuali sekadar keperluan. Misalnya meminta bantuan setelah ditimpa kecurian, itupun meminta sekadar untuk keperluan seperti makan dan duit tambang.

Dalam satu hadith yang panjang, antara isinya ialah ” jangan kamu beratkan masalah kamu pada orang lain”.Dalam hadith yang lain, lebih kurang maksudnya ” gugur daging muka di akhirat” kerana meminta melebihi keperluan. Ia boleh menjatuhkan airmuka sendiri.

Kisah jemaah haji Yaman

Pada satu masa para jemaah dari Yaman telah pergi mengerjakan haji tanpa membawa sebarang bekal. Apabila ditanya kenapa tidak berbekal, jawab mereka “kami bertawakkal kepada Allah”. Rupa-rupanya mereka telah meminta sedekah untuk menampung perbelanjjan haji mereka. Lalu turun ayat:

Baqarah [197] (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

0 comments:

Post a Comment