Monday, October 25, 2010

Cinta

Dalam satu hadith disebut “Cinta kamu pada sesuatu membuat matamu buta dan telingamu tuli. Cinta Allah dan Rasul sahaja yang tidak begitu”

Seperti kata pepatah melayu “cinta itu buta”, malah ada yang sanggup meninggalkan keluarga dan ibu-bapa kerana cinta pada seseorang.

Cinta yang sia-sia adalah umpama dalam kisah cinta Laila Majnum. Majnum bermaksud “orang gila”. Gila sehingga dia menulis nama Laila di pasir dan memadamnya berulang kali. Apabila ditanya kenapa dia menulis nama Laila berulang kali, jawabnya “aku bimbang aku akan lupa namanya”. Majnum juga akan memberi makan roti kepada anjing-anjing yang dikatakan tidur di lorong Laila. Pendek-kata semuanya untuk Laila. Segala sesuatu yang berasal dari tempat kekasihnya akan dikasihi dan disayangi sama seperti kekasihnya sendiri.

Perasaan cinta adalah dari Allah, manakala benci pula dari syaitan. Dalam satu hadith disebut “sesiapa yang meninggal dunia kerana rindu, dia dikira mati syahid” (misalnya seseorang yang merindui keluarganya lalu pulang ke kampungnya dan meninggal dalam perjalanan.

Cinta itu sebenarnya suci cuma manusia yang mengotorkannya dengan nafsu buruk mereka. Kerana cinta kepada Allah jugalah terhasilnya para ulama dan wali Allah seperti diceritakan dalam kisah Rabiatul Adawiyyah dan Syed Muhyiddin yang sangat cintakan Allah.

Ilmu tasauf atau tarikat mempunyai kelebihannya seperti ia boleh menghidupkan hati agar mencintai Allah. Dalam ilmu tarikat ada 3 jenis fana’ (tenggelam dalam kasih sayang) iaitu Fana’ pada guru, Fana’pada Nabi s.a.w, Fana’ pada Allah. Bila sesorang itu mencapai tahap fana’ fillah ia akan merasakan dirinya terlalu kecil berbanding Allah, sehingga ia merasa lebih kecil dari semut.

Secara mudahnya fana fillah ini ialah seperti mana kasih antara suami isteri yang berkata ” dalam hatiku tiada yang lain, cuma ada kamu“. Yang dimaksudkan bukanlah badan suami atau badan isteri yang berada dalam hatinya tetapi kasih sayang. Ini juga yang berlaku dalam kisah wali, Ba Yazid (Abu Yazid Al-Busthani) yang mengatakan : “tidak ada dalam jubah ini (jubah yang dia pakai) kecuali Allah”. Hakikatnya, bukan Allah menjelma dalam jubahnya yang dimaksudkan tetapi kasih sayang Allah yang berada dalam jubahnya

Selain dari mempelajari ilmu tarikat, ada juga yang berjaya mendapat cinta Allah dan menjadi wali melalui sembahyang-sembahyang sunat nawafil (sembahyang sunat mutlak, semata-mata kerana Allah selain dari sembahyang sunat rawatib yang mengiringi sembahyang 5 waktu).

Sabda Rasulullah “Wala Yazalu ‘Abdi Yataqarrabu Ilayya Bin Nawafil… sentiasalah ada hamba-hambaku yang mendekatkan dirinya kepadaku melalui sembahyang-sembahyang sunat nawafil, Aku akan mencintainya, dan apabila aku mencintainya maka aku akan menjadi telinga yang denganya ia mendengar, aku akan menjadi penglihatannya yang dengan itu ia melihat dan aku akan menjadi tangannya yang dengan itu ia berbuat dan aku akan menjadi kakinya yang dengan itu ia melangkah”.

Dalam Hadith Qudsi Nabi s.a.w. bersabda bahwa Allah SWT berkata: “Kalau Allah SWT mencintai seorang hamba, maka beliau memanggil Jibril. “Wahai Jibril! Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia. Lalu Jibril memanggil penghuni langit. “Wahai penghuni langit! Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia. Lalu penghuni bumipun mencintainya”

Sayangilah Allah, “sebut-sebutlah Allah ” dan ingatlah Allah samada melalui zikir lidah, zikir hati atau zikir nafas. Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Syurga adalah satu tempat yang melahirkan “Rahim” (kasih sayang) Allah s.w.t. Siapa ingin melihat kasih sayang Allah di Syurga hendaklah mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangannya. Patuhilah Allah supaya kita selamat dan Allah akan menolong walau dimana kita berada. Allah menyayangi kita lebih dari kita sayang kepada anak kita. Allah mahu semua manusia masuk syurga, tapi Allah tak paksa kerana hidup ini adalah satu ujian

Oleh itu sayangilah Allah dan Rasul.Jangan mencintai perkara lain lebih daripada Allah, Rasul dan jihad.

At-Taubah [24] Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

0 comments:

Post a Comment