Wednesday, January 18, 2012

Ikuti Rasulullah Agar Dikasihi Allah dan Diampunkan

…dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya … (Hasyr:7)

Ikutilah apa jua perintah dan jauhi larangan yang dibawa Baginda sebagai seorang rasul.

Manakala perkara yang dilakukan sebagai perbuatan peribadinya tidaklah dikenakan (diwajibkan) ke atas umatnya, misalnya perbuatan Baginda puasa wisal iaitu puasa siang dan malam:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah melarang dari menyambung puasa. Kemudian seorang lelaki dari kalangan orang Islam telah bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w bukankah kamu sendiri melakukan puasa seperti itu? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah di antara kamu yang boleh menyamai aku? Sesungguhnya di malam hari aku diberi makan dan minum olah Tuhanku.

Begitu juga dalam hal keduniaan Baginda menyerahkan kepada mereka yang lebih arif.

Riwayat daripada Rafi` bin Khadij ra, katanya: Rasulullah saw tiba di Madinah, ketika orang Madinah sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar. Nabi saw bertanya: Perkara apa yang kamu sedang lakukan itu? Mereka menjawab: Kami sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar. Nabi bersabda: “Kalau kamu tidak melakukan begitu nescaya lebih baik” lalu mereka pun berhenti melakukannya dan hasil tamar mereka pun merosot. Kata rawi: lalu mereka maklumkan perkara itu kepada Nabi saw. Nabi bersabda: “Sesungguhnya aku adalah manusia, apabila aku menyuruh kamu mengerjakan sesuatu perkara agama kamu, maka lakukanlah dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu pendapat, maka sesungguhnya aku seorang manusia.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ali-Imran:31)

Orang yang mendakwa mengasihi dan menyanyangi Allah hendaklah mengikuti Rasulullah s.a.w. Ikutilah sunnah Rasulullah s.a.w. misalnya sembahyang berjemaah di masjid dan cara hidupnya seperti makan, minum, duduk, bangunnya untuk meningkatkan makam atau tingkatan rohani.

Ikutilah Rasulullah s.a.w kerana Baginda telah ditarbiyah oleh Allah. Allah tarbiyah Rasulullah s.a.w, Baginda pula mentarbiyah umatnya.

Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga. Sayangilah 4 perkara iaitu Allah, Rasulullah, Agama Islam dan Orang Islam. Belajarlah 4 perkara iaitu Quran, Hadith, Akidah dan Fekah.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Ahzab:21)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment