Sunday, May 15, 2011

Allah Hebat, Sifatnya Hebat

Allah sifatnya “hayyat” iaitu hidup. Bukti Allah hidup ialah adanya ciptaan Allah seperti langit, bumi dan segala makhluk. Hidupnya ialah kehidupan yang asli dan diberikan kehidupan kepada makhluk yang diciptanya. Allah hidup tidak seperti makhluk kerana makhluk memerlukan nyawa untuk hidup. Kita pula hidup dengan bergantung kepada nyawa yang diberikan olehNya.

Allah sifatnya “sama’” iaitu mendengar. Allah mendengar tanpa memerlukan cuping telinga atau gegendang telinga, tanpa memerlukan getaran atau angin untuk membawa bunyi. Allah mendengar setiap sesuatu walaupun ia tidak bersuara, Allah mendengar degupan jantung. Allah mendengar setiap yang dekat ataupun jauh. Pendengaran Allah adalah pendengaran yang asli, lalu diberikan sedikit kepada kita untuk kegunaan di dunia ini. Kita pula hanya boleh mendengar apa yang dekat atau cukup kuat dan apa yang mengeluarkan bunyi sahaja.

Allah sifatnya “basar” iaitu melihat. Allah melihat tanpa memerlukan kepada biji mata, cahaya. Allah melihat semua yang dekat, jauh, samada dalam terang atau gelap. Kita pula hanya boleh melihat sesuatu dalam jarak tertentu dan dalam keterangan (cahaya) sahaja. Penglihatan Allah adalah penglihatan yang asli, kita cuma diberikan sedikit penglihatan untuk kegunaan di dunia ini.

Allah sifatnya “ilmun” iaitu mengetahui. Allah mengetahui segala sesuatu sejak azali lagi. Ilmu Allah adalah ilmu yang asli. Kita pula hanya mengetahui melalui pembelajaran dan sedikit sahaja pengetahuan yang kita mampu perolehi berbanding ilmu Allah..

Allah sifatnya “kalam” iaitu berkata-kata. Allah berkata-kata tanpa perlu kepada bibir mulut dan gerakan atau pusingan lidah. Allah tidak perlu kepada angin atau udara untuk membantunya berkata-kata. Lihatlah bahasa yang terdapat di dunia ini, semuanya tidak sama antara satu sama lain padahal semua berada di dalam pusingan lidah manusia. Inilah kehebatan Allah yang menciptakan beribu bahasa di dalam mulut yang sempit sahaja keluasannya. Sepertimana Allah berkuasa menyusun cap jari yang berbeza-beza bagi setiap manusia: Qiyamah [4] ….Kami berkuasa menyusun jarinya..

Allah memiliki sifat-sifat yang hebat dan Allah menggunakan kesemua sifatnya yang hebat itu. Misalnya Allah berkuasa, maka Allah akan menggunakan kuasanya untuk melakukan apa sahaja yang dikehendakki. Berbeza dengan manusia, sebagai contoh sesetengah manusia mempunyai wang tetapi penampilannya tidak menunjukkan dia mempunyai wang (tidak menggunakan wangnya untuk menunjukkan sifatnya)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

1 comments:

m.nadia m.salleh said...

subhanaAllah......

Post a Comment