Thursday, April 21, 2011

Beriman Kepada Perkara Ghaib

Salah satu daripada ciri orang yang bertakwa (takutkan Allah) ialah mereka beriman kepada perkara ghaib (yang terkandung dalam rukun iman):

Alif, Laam, Miim. (1) Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; (2) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (3)

Dari 6 rukun iman, 4 adalah perkara yang ghaib (Allah, Malaikat, Hari Kiamat, Qada’ dan Qadar) dan hanya 2 perkara yang boleh dilihat iaitu kitab-kitab dan rasul (para sahabat boleh melihat Rasulullah).

Iman itu letaknya di hati. Kalimah syahadah bukan sekadar diucapkan pada lidah tetapi ia hendaklah diterima oleh hati manusia bahawa “Allah itu adalah tuhan dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruhnya”.

Walaupun telah sembahyang dan mengucapkan kalimah syahadah di dalam sembahyang, namun ia belum bererti hati itu telah menerima Allah sebagai tuhan. Golongan munafik juga bersembahyang tetapi hati mereka tidak mengakui Allah sebagai tuhan.

Bapa saudara Nabi iaitu Abu Talib dan Abu Jahal tahu tentang kenabian Baginda, cuma mereka tidak menerima Al-Quran yang dibawa olehnya..

Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata). (Al-:Anam:33)

Syurga adalah hak milik dan diberikan kepada sesiapa yang mempunyai tiketnya iaitu kalimah Syahadah dan kalimah itu diterima oleh hati bahawa ““Allah itu adalah tuhan dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruhnya”. Oleh itu teroponglah hati masing-masing kerana iman itu letaknya di hati. Hati itu adalah raja kepada seluruh anggota badan.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment