Wednesday, March 30, 2011

Tazkirah - Kafir Lebih Sesat Daripada Binatang

Dan apabila mereka melihatmu (wahai Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan (sambil mereka berkata): Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai RasulNya? (Furqan:41)

Sebenarnya dia hampir-hampir dapat menyesatkan kami dari tuhan-tuhan kami, jika tidaklah kerana kami tetap teguh menyembahnya dan mereka akan mengetahui kelak ketika mereka melihat azab seksa: Siapakah yang sebenar-benarnya sesat jalannya. (Furqan:42)

Golongan kafir mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah hampir menyesatkan mereka, padahal merekalah yang sebenarnya sesat. Mereka menyembah berhala yang dicipta sendiri oleh tangan mereka, lalu diberi nama dan dipuja untuk mendapatkan sesuatu hajat.

Janganlah kita menjadi pembela kepada mereka yang sesat ini, seperti kata pepatah Melayu mereka yang makan nangka, kita pula yang kena getahnya.

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (Furqan:43)

Golongan yang mengikut hawa nafsunya adalah mereka yang menjadikan nafsu buruknya sebagai tuhan kerana mereka tidak patuh kepada suruhan Allah dan melanggari larangannya. Seperti kata pepatah melayu ikut hati mati, ikut nasfu, lesu dan juga nafsu beraja di mata bersultan di hati.

Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi. (Furqan:44)

Al-A’raf [179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Baqarah [171] Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

Src: Suraya Harun (MITCO Petronas)

0 comments:

Post a Comment