Saturday, March 31, 2012

Tazkirah - Jangan Marah Bahagian 2

Apabila seseorang itu marah, kedua matanya menjadi merah dan urat leher pula kelihatan timbul. Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Kerana itu kita disuruh berwuduk apabila marah:

Hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud:“Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.

Apabila syaitan menguasai diri, seseorang yang marah akan melakukan apa sahaja asalkan puas hatinya. Oleh itu redakan kemarahan samada dengan berwuduk atau mandi.

Kisah Kemarahan Sayyidina Umar Diredakan Setelah Mandi

Sebelum Sayyidina Umar memeluk Islam, beliau amat marah apabila mengetahui adik dan suaminya telah memeluk Islam lalu menuju ke rumah mereka. Beliau mendengar mereka membaca Al-Quran lalu berkata: “Baiklah, tunjukkan kepada aku helaian yang kamu baca tadi!”

Tetapi Fatimah berkeras tidak mahu menyerahkan helaian-helaian yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran kerana akan diapa-apakan oleh Umar. Ini menyebabkan Umar terpaksa bersumpah: “Demi Latta dan Uzza, aku tidak akan buat sesuatu yang tidak baik terhadap apa yang kamu baca sebentar tadi!”

Apabila Fatimah melihat Umar semakin lembut, dia pun akhirnya terpaksa berterus terang kepada abangnya itu: “Wahai saudaraku, helaian ini merupakan kata-kata Allah. Oleh kerana engkau bukan kalangan dari orang Islam malah seorang yang masih syirik sedangkan syirik itu merupakan najis. “Kalau benar engkau hendak membacanya maka hendaklah kamu mandi terlebih dahulu kemudian barulah engkau boleh membacanya.”

Oleh kerana Umar begitu tertarik untuk membaca apa yang telah dibacakan oleh adiknya itu, lalu Umar menuruti sahaja permintaan adiknya itu. Beliau segera mandi membersihkan diri dan bersiap sedia untuk membaca surah-surah al-Quran itu. Umar yang tidak lagi menunjukkan sikap untuk terus berseteru kemudian diberikan satu helaian yang mengandungi sebahagian dari surah al-Taha. Iaitu ayat 14 yang bermaksud: Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiku. Sejurus membaca ayat itu, Umar pun berkata: “Tidak sepatutnya yang empunya kata-kata ini disekutui. Alangkah indah dan mulianya kata-kata ini.”

Kemarahan beliau reda setelah mandi kerana air itu telah menyejukkan syaitan dalam badannya.

Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam.

Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji

Src: Suraya Harun (PSI Petronas)

0 comments:

Post a Comment