Saturday, March 31, 2012

Dirikanlah Sembahyang dan Keluarkanlah Zakat

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. (Baqarah: 43)

Dirikanlah Sembahyang

Dalam satu hadith disebut “Sembahyang itu Mikraj orang Mukmin”. Orang mukmin ialah yang Islam yang patuh dan Mikraj pula bermaksud naik. Mukmin dinaikkan taraf atau status atau makamnya melalui ibadat sembahyang. Rasulullah menerima kontrak sembahyang semasa Baginda Mikraj (naik) ke satu tempat di atas langit. Pada malam itu Baginda telah naik ke 17 tempat (bilangan rakaat sembahyang sehari semalam juga 17).

Sembahyang juga ialah ‘munajat’ atau ‘hubungan peribadi’ (personal contact dengan Allah). Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya maka hendaklah kamu perhatikan apakah yang dimunajatkannya dan janganlah kamu menguatkan suara dengan membaca al-Quran. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

Nabi Musa perlu ke Bukit Thur untuk bermunajat kepada Allah. Umat Nabi Muhammad s.a.w. tidak perlu ke mana-mana kerana mereka boleh sembahyang di mana sahaja, walaupun di rumah masing-masing untuk bermunajat kepada Allah.

Orang yang menjaga sembahyang walaupun hati mereka tidak khusyuk tetap akan dimasukkan ke dalam syurga.

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (Mukminun:9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (Mukminun:10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (Mukminun:11)

Keluarkanlah Zakat

Zakat ialah satu bentuk hubungan sesama manusia (hablun minannas) di antara golongan yang berada dan golongan miskin. Jikalau golongan kaya menunjukkan kemewahan dan tidak mengeluarkan zakat, golongan miskin akan berkecil hati dengan mereka, akhirnya orang kaya itu akan menjadi miskin dan papalah orang kaya itu.

Keluhan orang miskin sangat berkesan di sisi Allah kerana Allah yang menjadikan mereka miskin. Dalam sebuah kisah diceritakan terdapat sepasang suami-isteri yang kaya, isterinya pula suka memberi makan kepada peminta sedekah yang datang ke rumah mereka. Si suami yang kaya pula tidak suka dengan kedatangan peminta sedekah. Suatu hari ketika isterinya memberi makan kepada peminta sedekah itu, suaminya mengambil makanan dan membalingnya kepada peminta sedekah tersebut. Peminta sedekah itu merasa sangat sedih dengan tindakan suami perempuan itu. Akhirnya Allah menukarkan lelaki yang kaya itu menjadi miskin dan peminta sedekah itu menjadi seorang yang kaya dan dia pula mengahwini perempuan yang dulu memberi makan kepadanya (setelah dia menjadi janda).

Zakat hanya dapat dikeluarkan oleh orang yang takut kepada Allah.

Al-Lail [17] Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab Neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa; [18] Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya.

Zakat pula dikenakan ke atas lebihan harta, misalnya 2.5% daripada simpanan. Tentang zakat tanaman pula, mazhab Syafie hanya mewajibkan zakat ke atas tanaman yang mengenyangkan seperti beras, gandum. Manakala mazhab Hanafi turut mewajibkan zakat ke atas buah-buahan misalnya setiap sepuluh biji buah durian dikenakan 1 biji zakat.

Al-Anam [141] …. Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.

Dalam berzakat, kita tidak boleh memisahkan harta atau menggabungkan harta. Misalnya memberi sebahagian harta kepada isteri untuk mengelakkan daripada dikenakan zakat. Kita juga tidak boleh menyatukan harta beberapa orang untuk mencukupkan nisab zakat. Berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqash, bahawa beliau bersabda:

“Jangan memisahkan yang bergabung, dan jangan menggabungkan yang (memang) terpisah dalam (kewajiban) berzakat.”

Sistem cukai atau income tax yang dihasilkan oleh Barat sebenarnya ditiru daripada sistem zakat Islam. Mereka tidak mempunyai sistem seperti ini dalam ekonomi mereka. Namun income tax dikenakan ke atas pendapatan tanpa mengambil kira lebihan yang dapat disimpan, sedangkan zakat hanya dikenakan ke atas lebihan harta.

Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta…(An-Nahl:71)

Src: Suraya Harun (PSI Petronas)

0 comments:

Post a Comment