Saturday, March 31, 2012

Dunia, Kuasa dan Wanita

Dari Abu Said al-Khudri, r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: “Sesungguhnya dunia ini manis dan indah dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu wakil menguruskan apa yang ada padanya, maka dengan itu ia sentiasa memerhati bagaimana cara kamu menjalankan urusan itu; oleh itu hendaklah kamu menjaga diri dari keburukan yang disebabkan oleh dunia, dan khasnya oleh perempuan, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa kaum Bani Israel adalah berpunca dari orang-orang perempuan.” (Muslim)

1. Dunia

Dunia ini manis dan indah bagi mereka yang menggunakannya untuk tujuan akhirat. Dalam satu hadis yang lain pula disebut dunia ini ibarat bangkai yang dicari anjing (sekiranya mencari dunia semata-mata dan diabaikan tanggungjawab akhirat). Carilah dunia untuk ke akhirat seperti mana Sayyidina Abu Bakar, Abdul Rahman Bin Auf, Sayyidina Usman menggunakan kekayaan mereka untuk Islam.

Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dunia ini ibarat penjara (kerana terdapat hukum yang menjaga) bagi orang Mukmin, dan syurga bagi si Kafir“. (Riwayat Muslim, no 2956 ; Majma az-Zawaid, no 7974 ).

Dunia ini adalah penjara bagi orang Islam yang patuh (Mukmin) kerana banyak larangan dan sekatan ke atas kehendak nafsu. Abdullah Bin Mubarak, seorang ulama hadith yang masyhur ditanya tentang hadith ini oleh seorang kafir yang pakaiannya compang-camping semasa beliau menunggang kudanya. “Kamu hidup mewah berbanding aku, sedangkan dunia ini penjara bagi kamu dan sepatutnya syurga bagi aku”. Maka jawab beliau “Pakaian kamu yang compang-camping itu lebih baik berbanding keadaan kamu di neraka, manakala kemewahan aku ini sangat sedikit berbanding kemewahan yang akan datang di syurga”

2. Kuasa

Dalam hadith ini juga disebut “sesungguhnya Allah menjadikan kamu wakil menguruskan apa yang ada padanya, maka dengan itu ia sentiasa memerhati bagaimana cara kamu menjalankan urusan itu”. Manusia adalah khalifah Allah di muka bumi ini. Firman Allah bekerjalah…Allah, Rasul dan orang Mukmin akan melihat kemampuan kamu:-

Taubah [105] Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.

Rasulullah s.a.w. ada memberitahu bahawa menjadi seorang pemimpin boleh mendatangkan sesalan dan kedukacitaan di Padang Mahsyar nanti dalam hadisnya yang bermaksud:

“Sungguh kamu semua bercita-cita menjadi pemimpin padahal kamu semua akan menyesal pada hari kiamat, maka alangkah baiknya orang yang sedang menyusukan dan alangkah buruknya orang yang sedang menyapih (berhenti menyusu).” (Hadis riwayat Bukhari dan Nasa’i)

3. Wanita

Dari Usamah bin Zaid r.a. bahawa Nabi s.a.w., bersabda: “Tidak ada sesuatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela – selepas wafatku – terhadap kaum lelaki, selain daripada fitnah yang berpunca dari kaum perempuan.Perempuan walaupun kurang akalnya, namun daya tarikannya seperti magnet yang sangat kuat. Pengaruhnya dan tipu muslihatnya sangat besar hinggakan lelaki yang cerdik juga boleh tewas kepada wanita.Seperti mana diceritakan dalam Al-Quran tentang cerita Zulakha, isteri Raja Mesir yang menggoda Nabi Yusuf:

Yusuf [28] Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: “Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.

Src: Suraya Harun (PSI Petronas)

0 comments:

Post a Comment