Tuesday, December 28, 2010
Ayat Yang Paling Memberi Harapan
Az-Zumar [53] Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sebahagain ulama tafsir menceritakan sebab turunnya ayat ini ialah kerana seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah dan meminta agar Baginda berdoa supaya diampunkan dosanya.
Katanya “Ya Rasulullah, saya telah melakukan dosa yang sangat besar”.
Apakah lebih besar dari bumi? “Ya, lebih besar dari bumi”, jawab lelaki itu.
Apakah lebih besar dari langit? “Ya, lebih besar dari langit”, jawab lelaki itu.
Apakah lebih besar dari rahmat Allah? “Tidak, rahmat Allah jauh lebih besar”
Kalau begitu ceritakanlah apakah dosamu itu.
Lalu lelaki itu menceritakan bahawa dia mempunyai beberapa orang anak lelaki dan perempuan. Kebiasaan orang Arab ialah mereka segera mengahwinkan anak-anak mereka apabila cukup umur. Setelah lelaki itu berusaha mencari menantu untuk anak-anaknya dan gagal, dia berasa malu dan sangat marah. Lalu dibenarkan anak-anaknya bersekedudukan.
Semua sahabat yang berada disitu terdiam dan tidak terkata. Sehinggalah turun wahyu secara ‘direct’ kepada Rasulullah SAW. “Katakanlah olehmu wahai Muhammad kepada hambaku yang merugikan dirinya (menanggung dosa yang besar), jangan putus harap dari dengan rahmat ALLAH.
Lalu Baginda memberitahu lelaki itu bahawa kesnya telah selesai. “Allah dah ampunkan dosa kamu, baliklah dan pisahkan anak-anak kamu”
Dalam ayat yang lain Allah berfirman “….sesungguhnya allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha luas rahmatNya” (An-Nisaa 16). Rahmat Allah sangat luas, ia meliputi setiap perkara. Tanpa rahmat Allah, lampu dan kipas tidak akan berfungsi walaupun ada kuasa elektrik.
Semua dosa diampunkan kecuali dosa syirik sekiranya tidak bertaubat sebelum 3 perkara iaitu nyawa sampai ke halkum, Al-Quran dihilangkan dan matahari terbit di sebelah barat.
src: Suraya Harun (MITCO Petronas)
Wednesday, December 15, 2010
ESOK 10 MUHARRAM, JOM PUASA!
ULASAN HADIS :
1. Dalam bulan Muharram ini terdapat satu tarikh yang dianggap istimewa iaitu
tarikh 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Pada tarikh
ini banyak berlaku peristiwa-peristiwa penting, antaranya Nabi Adam AS
bertaubat kepada ALLAH, turunnya kitab Taurat kepada Nabi Musa AS dan
lain-lain peristiwa yang dapat dijadikan iktibar bagi ummat Islam.
2. Di samping keistimewaan hari Asyura’ yang berlaku, hari Asyura’ juga
merupakan peluang untuk meraih ganjaran amalan-amalan yang disunatkan
untuk dilakukan pada hari tersebut. Antaranya ialah berpuasa.
3. Terdapat banyak hadis yang menerangkan tentang keutamaan berpuasa pada
hari Asyura;
Di dalam hadis riwayat Bukhari “ Nabi SAW ketika sampai ke Madinah lalu
melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda SAW
bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah
hari di mana ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka
lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda SAW bersabda: “Aku lebih
berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi SAW berpuasa hari
‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”
Didalam riwayat Muslim pula menyebut : Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud : Berpuasa pada hari Asyura’, bahawa ALLAH akan menebus dosa
tahun yang dahulunya ( bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).
Daripada Abu Hurairah RA, NAbi SAW bersabda yang bermaksud : Sebaik-baik
puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharran dan sebaik-baik
sembahyang selepas fardhu ialah sembahyang pada waktu malam. “
( Riwayat Muslim )
4. Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah SAW menggalakkan
ummat Islam supaya melakukan puasa hari Asyura’. Dengan galakkan daripada
Baginda SAW sendiri, peluang seumpama ini tidak boleh dilepaskan oleh
ummat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka
yang melakukan puasa hari ‘Asyura’.
5. Berpuasa pada hari Ayura’ ( 10 Muharram ) adalah sangat dituntut kerana
Nabi SAW melaksanakannya. Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan
daripada Firaun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran.
Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada
Asyura‘) kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa, sepertimana yang
dinyatakan oleh Nabi SAW.
6. Bilakah ‘Asyura? Pendapat pertama : Ibn Abbas RHM berpendapat Asyura‘
adalah pada 9 Muharram. Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha‘ berpendapat
Asyura‘ adalah pada 10 Muharram. Berpuasa pada hari ke 9 Muharram ianya
termasuk dalam bulan Muharram yang disunnahkan berpuasa selain ianya dapat
membezakan antara amalan yahudi, juga sebagai langkah berjaga-jaga jika
tersilap kiraan taqwim. Di tuntut juga untuk berpuasa pada hari ke 11
Muharram di mana ianya juga langkah berjaga dan membezakan antara amalan
yahudi.
7. Selain daripada berpuasa, kita juga digalakkan untuk mengamalkan apa jua
kebaikan sepertimana yang di lakukan oleh para Ulama dan orang soleh
seperti bersedekah, bersolat, bersiwak, bercelak, mengusap kepala anak
yatim dan sebagainya.
8. Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada di hadapan mata
kita, kerana belum tentu peluang yang bakal tiba di hari hadapan kita
mampu mendapatkannya kerana kita tidak tahu apakah kita sempat bertemu
pada hari esok ataupun tidak. Justeru itu, segala amal soleh, kebaikan dan
taubat jangan di tangguh lagi. Ajal tidak menunggu kita. Bila tiba masa
dia akan datang menjemput . Jom PUASA ESOK, beramal ! WALLAHU’ALAM
Src: Suraya Harun ( MITCO Petronas )
14 Perkara Yang Sunat Dilakukan Pada Hari Asyura
1. Melapangkan masa / belanja anak , suami & isteri2
fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Menahan marah
fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha.
4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut
yang di sapunya.
6. Bersedekah
fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak
terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala
seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat
fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu
lafaz niat : 'Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala'.
9. Bercelak
fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu.
10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti.
11. Sembahyang sunat empat rakaat
fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50
tahun melakukannya.
lafaz niat : 'Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah
Taala'.Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di
baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Membaca 'hasbiyallahhu wani'mal wakil wa ni'mal maula wa ni'mannasiiru'
fadhilat - Tidak mati pada tahun ini .
13. Menjamu orang berbuka puasa
fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14. Puasa
Niat - 'Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala'
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali
syahid dan diharamkannya daripada neraka.
Insya'allah..
Semoga Bermanfaat Dan Dapat Dipanjangkan Kepada Yang Lain-Lain.
Src: Suraya Harun (MITCO Petronas)
Friday, December 10, 2010
QARIN
Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas'ud r.a. maksudnya: "Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka bertanya: "Engkau juga ya Rasulullah." Sabdanya: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Aisyah r.ha. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: "Aku merasa cemburu." tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: "Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?" Aku berkata: "Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah." Sabda Baginda: "Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?" Aku bertanya: "Apakah aku ada syaitan?" Sabda Baginda: "Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin." Aku bertanya lagi: "Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?" Jawab Baginda: "Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam." (Riwayat Muslim)
Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan." (Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, "Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu." Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: "Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum."
Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.
Src: Suraya Harun MITCO Petronas
Monday, December 6, 2010
Etika dan Adab Pergaulan Apabila Berselisih Pendapat
Memandangkan kepentingan etika dan adab dalam Islam, terpanggil saya untuk mengutarakan beberapa adab semasa berlakunya perselisihan pendapat yang saya petik daripada buku saya dan dua rakan lain, tajuknya (Khilaf dalam Islam: Sebab dan Adab). Etika dan adab berikut adalah berkaitan pergaulan dan interaksi sesama mereka yang berselisih pandangan, pendirian dan pendapat:
1. Tidak fanatik (ta‘assub)
Di dalam sebuah hadith:
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أُرَاهُ رَفَعَهُ قَالَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا
Maksudnya: Daripada Muhammad bin Sirin daripada Abu Hurairah, (Aku rasakan dia merafa’kan hadith ini) katanya, “Cintalah orang yang kamu cinta secara berpatutan, kerana mungkin dia akan menjadi orang yang kamu benci satu hari nanti. Bencilah orang yang kamu benci secara berpatutan, kerana mungkin dia akan menjadi orang yang kamu cinta satu hari nanti.
Apabila pandangan dialihkan ke arah pergaulan, Islam merupakan agama terhebat dalam membentuk keseimbangan dalam kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Pergaulan yang harmoni dan mesra di semua peringkat menjadi simbol agama mulia ini. Kita dapati, walaupun junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW terasa terguris dengan pembunuhan pakciknya Hamzah, Baginda masih memaafkan pembunuhnya yang telah memeluk Islam. Cuma, Baginda memintanya supaya tidak menampilkan dirinya di hadapan Baginda supaya nostalgia silam tidak menghantui Baginda. Ukuwwah tetap ukuwwah. Kesilapan peribadi pula ditangani dengan cara yang amat profesional; tanpa fanatik terhadap hubungan kekeluargaan, kenegaraan, kemazhaban dan sebagainya.
2. Tidak berkelompok (tahazzub)
Sabda Rasulullah SAW :
الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الَّذِي لَا يُخَالِطُهُمْ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ قَالَ حَجَّاجٌ خَيْرٌ مِنْ الَّذِي لَا يُخَالِطُهُمْ
Maksudnya: Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar terhadap amalan mereka yang menyakitkan lebih besar pahalanya daripada orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak pula bersabat terhadap amalan mereka yang menyakitkan.
Setiap seorang yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai keistimewaan dan kehebatannya yang tersendiri, di samping kelemahan dan kekurangan yang jelas dan pasti. Di dalam menghadapi senario ini, Islam mendidik penganutnya supaya saling bantu-membantu di dalam memartabatkan kebenaran dan ketaqwaan. Orang yang mahir di dalam sesuatu bidang seharusnya membantu Islam dari sudutnya serta menggalakkan orang yang berkemahiran dalam bidang lain supaya turut membantu Islam. Persepakatan ini akan menguatkan agama ini. Sebaliknya, jika setiap ahli atau pakar menganggap jurusannya sahaja yang dapat membantu Islam, manakala jurusan lain tidak penting, ini hanya akan mewujudkan pertembungan yang merugikan Islam. Kita dapati, di kalangan para Sahabat, kepelbagaian dalam kemahiran tidak menghalang mereka daripada bersatu untuk memperjuangkan Islam. Khalid dengan kepahlawanannya, Abu Hurairah dengan ketajaman hafalannya, Ibnu Mas‘ud dengan kepakaran ilmunya; semuanya tidak pernah memperkecilkan peranan orang lain di dalam menjunjung Islam, apatah lagi menghalang pengikutnya daripada mendapat faedah daripada tokoh-tokoh lain.
3. Menghormati orang lain.
Sabda Rasulullah SAW :
وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ
Maksudnya: Dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Orang muslim ialah saudara bagi orang muslim lain. Dia tidak boleh menzaliminya, membelakanginya dan menghinanya. Ketaqwaan terletak di sini (lalu Baginda menunjukkan kepada hatinya, sebanayak 3 kali). Sudah memadai keburukan pada seseorang lelaki apabila dia menghina saudara muslimnya. Setiap muslim adalah haram ke atas muslim yang lain dari sudut darah, harta dan maruah.
Kebiasaannya apabila disebut perkataan dosa, akal akan terus terfikir dosa-dosa yang masyhur seperti membunuh, berzina, mencuri dan sebagainya. Rasanya sedikit yang akan menekankan pandangan manusia terhadap manusia lain. Akan tetapi Rasulullah telah menjelaskan bahawa memandang rendah terhadap saudara seagama adalah satu dosa yang utama. Jika tiada tambahan dosa lain, memandang rendah kepada orang lain sudah memadai. Sudah tentu, dosa ini menjurus kepada perbuatan orang yang mempunyai kelebihan memandang rendah kepada orang yang jurang upaya dalam apa sahaja bidang dan situasi. Bagaimanakah sekiranya tidak mempunyai kelebihan tetapi masih memandang rendah orang lain? Ini sebenarnya lebih dahsyat daripada yang tadi; di samping dosa besar, Allah menambahnya dengan satu lagi balasan iaitu tidak akan ditegur olehNya di akhirat kelak.
Semoga coretan ini menjadikan kita lebih beretika dalam menghadapi perselisihan di antara kita.
Petua Mencuci Hati
Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu, dibawah ini ada
beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati, diolah oleh pakar motivasi Datuk
Dr. Haji Fadzilah Kamsah.
1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang
sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan: 'Ya Allah, jadikan hatiku
bersih.'
2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100X sebelum tidur. Ini
merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa di-
ampunkan, otak tenang,murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan>
semua perkara kebaikan.
3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan
menenangkan minda.
4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,
penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah 'Qulhu-allah'
sebanyak 3X.
5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu
sebutkan.
6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk
diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakan lah: 'Aku
sebenarnya......(perkara yang elok2 belaka).
7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur,
senyum, pejam mata. Katakan didalam hati: 'Ya Allah, cuci otak aku, cuci>
hatiku. Esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif.'
Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan
sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!!).>
8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa, terhindar dari melakukan perkara2
kejahatan.
9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan,
tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila2 masa).
10. Kekalkan wuduk.
11. Bersedekah.
12. Belanja orang makan.
13. Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat (was2, tidak pasti
halal atau tidak).
14. Berkawan dengan ulama.
15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi).
16. Pesan pada orang, jadi baik.
17. Menjaga pancaindera (mata, telinga, mulut... dsb). Jangan dengar
orang mengumpat.
'Sampaikanlah pesanan ini walaupun 1 ayat.'
Semoga yang baik dapat kita terima dan jadikan teladan untuk kehidupan
yang lebih di redhai Allah. Insya'allah.
Kenakalan Remaja Dari Perspektif Islam
Kenakalan remaja (Juvenile Delinquence) adalah merujuk kepada perbuatan dan aktiviti remaja yang berlawanan dengan norma-norma masyarakat, undang-undang negara dan agama, seperti mencuri, merompak, merogol, berzina, membunuh, menagih dadah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan seumpamanya. Perbuatan remaja dikatakan nakal kerana remaja dianggap belum matang, belum dewasa dan perbuatan jenayah yang mereka lakukan tidak dikenakan hukuman berat. Hukuman yang dijatuhkan kepada mereka ialah remaja itu ditempatkan di pusat-pusat pemulihan akhlak dan diberi pendidikan khas.
Ahli-ahli sains sosial berbeza-beza pendapat tentang had umur remaja. Ada yang mengatakan alam remaja di antara 10 – 18 tahun atau 13 tahun – 12 tahun. Menurut Islam, kanak-kanak mula dapat membezakan perkara yang baik dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu berumur tujuh tahun. Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib melaksanakan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya. Lingkungan baligh ialah mencapai umur 15 tahun atau kanak-kanak lelaki sudah bermimpi bersetubuh dan kanak-kanak perempuan pula telah keluar haid dalam tempuh umur antara 9 hingga 15 tahun.
TEORI TABIAT MANUSIA
Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia. Corey (1986) menyatakan beberapa teori penting yang menjelaskan tentang tabiat itu ialah:
Pertama: Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.
Kedua: Teori Analisis Transaksi: Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.
Ketiga: Teori Behaviorisma: Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.
Keempat: Teori Pemusatan Klien: Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan seumpamanya.
Kita dapati bahawa pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, proses pembahagian, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak dibimbing oleh al-Quran dan kajian itu dibuat berdasarkan latarbelakang kehidupan masyarakat di barat.
Sebagai contoh, walaupun pendapat Frued dikritik hebat tentang tabiat manusia, tetapi teorinya adalah berkaitan dengan perasaan nafsu Ammarah yang mewakili unsur kehaiwanan atau keperluan jasmani manusia.
Dari segi pendekatan Islam, Muhammad al-Jiasi (1976) menyatakan: terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:
1. Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila seseorang itu melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya, juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.
2. Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan sedia keluar untuk memulakan kehidupan yang positif.
3. Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
4. Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya.
Ada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia.
Seorang ahli falsafah akhlak Islam, Ibnu Maskawaih menyatakan pertembungan nafsu dalam diri manusia menghasilkan tiga peringkat tabiat manusia.
a. Manusia yang baik tabiatnya. Manusia yang baik tabiatnya tidak akan berubah menjadi manusia yang jahat;
b. Manusia yang jahat tabiatnya. Manusia dalam kategori ini tidak akan menjadi baik kerana memang pembawaannya sudah jahat.
c. Manusia yang berada dipertengahan tabiatnya. Golongan ini boleh berubah menjadi baik atau jahat bergantung kepada pendidikan dan persekitaran yang diterimanya.
Konsep Diri Remaja
Kadangkala ibu bapa mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlaku begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa.
Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya. Rogers (1985) menyatakan antara perubahan nyata yang berlaku pada akhir masa remaja ialah:
a. Perubahan pada fizikal
Bagi anak lelaki didapati mengalami perubahan jelas pada jasmani di mana anggota badan kelihatan mula gempal, sasar, dan tegap. Manakala si gadis pula mula menampakkan sifat-sifat kewanitaannya seperti datang haid, buah dada membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar. Apabila sampai pada peringkat akhir remaja simbol-simbol daya tarikan seks mula kelihatan dan diiringi juga rangsangan seksual yang mula meningkat.
b. Perubahan Emosi dan Fikiran
Di peringkat remaja, perasaan dan fikiran anak lelaki setabil kerana mereka tidak lagi kanak-kanak. Pada zaman kanak-kanak skrip hidup hariannya ditentukan oleh ibu bapa dan kita dapati perbuatan mereka dibuat secara spontan tanpa dipengaruhi oleh fikiran dan emosi. Apabila anak melangkah ke alam remaja, ia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal tentang keindahan dunia kehidupan orang dewasa yang sukar dicapai baginya. Perubahan emosi dan fikiran ini menimbulkan kegelisahan pada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak mampu dan untuk mengikut jejak langkah orang dewasa juga tidak berupaya. Keadaan ini menimbulkan konflik nilai dalam dirinya. Mereka mengalami rasa gembira dan kadangkala kesunyian, berkahayal dengan orang yang dikaguminya, dan cenderung mencontohi dalam pelbagai perkara, seperti cara berpakaian, cara bergaul dan cara berfikir. Orang yang dikagumi yang akan dicontohi kemungkinan terdiri dari penyanyi popular, pelakon popular, pelawak, tokoh ulamak, tokoh politik, ahli sukan atau sebagainya. Ini bergantung kepada pendedahan dan pengajaran yang diterima oleh remaja itu.
c. Narcisma
Narcisma adalah merujuk kepada ketagih cinta dan ingin dicintai untuk mendapatkan kasih sayang pada diri sendiri. Pada masa kanak-kanak, perasaan cinta dan dicintai di arah dan disandarkan kepada ibu bapa atau keluarga. Apabila anak itu mencapai remaja, perasaan narcisma ini memuncak kerana remaja mengalami rasa kesunyian (Emotional Vacumm) yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan memperluaskan rakan sosial yang sesuai.
Narcisma amat kuat wujud pada gadis remaja kerana perempuan dari segi biologinya bersifat pasti di mana ia memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar dari rasa kesunyian itu. Berdasarkan faktor inilah kita dapati aktiviti bercinta dan faktor tukar pasangan di kalangan remaja adalah lumrah, tetapi gadis remaja lebih dulu terlibat dengan aktiviti bercinta berbanding dengan remaja lelaki yang sebaya dengan umurnya.
Jika narcisma ini digunakan secara positif maka remaja akan menentukan dirinya tidak mudah dieksploitasi oleh orang lain. Sekiranya narcisma di salah gunakan kerana remaja mempunyai konsep diri yang salah atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang maka remaja akan memburu narcisma di luar untuk memenuhi rasa kesunyian seperti menghisap dadah, mengikut geng, berpeleseran, berzina, cinta rakan sejenis dan seumpamanya.
Dalam aktiviti narcisma ini perempuan lebih mudah menjadi mangsa dengan pujukan dan rayuan lelaki kerana ia bersifat pasif.
d. Menyertai Kumpulan
Perubahan emosi dan fikiran remaja telah mendorongkan remaja memperluaskan dan memperbesarkan rakan sosialnya. Mereka memperluaskan rakan sosial ini dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan baru berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup yang sama atau taraf sosial yang sama.
Adalah perkara biasa kita lihat kelompok remaja mempunyai identiti tertentu seperti menggunakan bahasa yang anih, pakaian yang pelik, tertarik dengan aktiviti yang mencabar dan sebagainya. Penyertaan remaja dalam kelompok sama ada kelompok kecil atau besar adalah tanda perubahan yang sihat dalam pertumbuhan mentalnya. Walaubagaimana pun, jika penyertaan dalam kelompok itu disalahgunakan, maka ia akan mengheret remaja berkenaan dalam aktiviti yang bercanggah dengan agama dan undang-undang negara.
Pada masa remaja inilah kita dapati ibu bapa sering mempunyai pendapat yang berbeza dengan pandangan rakan sebaya dalam usaha memberi bimbingan dan pendidikan terhadap si anak remaja itu.
e. Menentang Kekuasaan
Orang tua-tua kita selalu mengingatkan bahawa masa remaja adalah masa pancaroba kerana remaja sedang mencari tapak untuk berdikari dan bebas dari kongkongan ibu bapa. Biasanya remaja merasa bahawa kuasa yang ada pada ibu bapa, guru-guru dan orang dewasa terlalu kuat yang boleh menghalang pencapaian cita-cita mereka. Perbezaan besar pendapat dan gaya hidup remaja dengan ibu bapa, orang dewasa dan guru akan mencetuskan permusuhan kerana remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang telah sedia bergelora. Oleh itu apabila berlaku perselisihan, remaja akan menjadi rakan sebaya mereka atau mereka bertindak nekad melakukan kejahatan untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang lebih tua bahawa mereka boleh berdikari atau mampu melakukan apa yang orang dewasa lakukan.
Sebenarnya pencarian konsep diri telah bermula sejak anak masih kecil lagi tetapi pada masa remaja mula kelihatan menonjol kerana remaja mula pandai belajar berfikir dan menggunakan emosinya hasil daripada interaksi dengan dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan sebaya dan persekitaran. Masa remaja sendiri penting bagi perkembangan konsep diri kerana pada masa inilah remaja mengalami proses pemurnian dan sekaligus mengalami perubahan. Bagi kebanyakan remaja, proses pemurnian konsep diri berjalan lancar, tetapi mereka yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan hidupnya akan menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.
Faktor Kenakalan
Berdasarkan pandangan Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling barat, punca kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:
Pertama : Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.
Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor.
Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
Ketiga : Faktor sekolah.
Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
Keempat : Faktor Persekitaran
Faktor persekitaran adalah merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.
Aktiviti faktor persekitaran yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah:
i) Persembahan konsert rock
ii) Pusat-pusat video game
iii) Pengguguran
iv) Pergaulan bebas lelaki dan perempuan
v) Penyiaran gambar lucah
vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan yang berunsur seks
vii) Aktiviti simbol seks seperti pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.
Rawatan Kenakalan
Persoalan yang timbul kepada ibu bapa atau pihak berkuasa kerajaan ialah apakah kaedah terbaik yang digunakan dalam Islam bagi mengatasi kenakalan di kalangan remaja. Dalam Islam kita dapati bahawa Allah telah menurunkan dua puloh lima Rasul bertujuan membimbing dan membantu manusia supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan agama Islam diturunkan adalah untuk membentuk akhlak manusia sebagai usaha meneruskan kesinambungan fitrah kewujudan manusia. Akhlak mulia adalah perasaan semula jadi manusia (fitrah). Allah telah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaiknya.” (Surah Al-Tiin:4)
Ketika menjelaskan perkara yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.” ( Riwayat Bukhari)
Sejarah Rasulullah s.a.w. membebaskan penduduk arab Jahiliyah daripada kongkongan dan belenggu nafsu kehaiwanan memberi satu pengajaran penting tentang pembentukan akhlak manusia. Antara kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah program bina insan dan kemahiran keibubapaan. Kaedah bina insan ini meliputi:
PERTAMA: Kaedah Pendidikan Hati
Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia. Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi hati. Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia. Manakala Frued dalam teori kaunselingnya menyatakan “hati dalam diri menusia dikenali sebagai ‘Super ego’”. Dia menjadi perantaraan seolah-olah ‘Laluan Sutera’ (Silk road) yang bertindak sebagai pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau buruk, betul atau salah.
Penemuan Frued itu adalah menyokong pendapat yang telah lama dikemukakan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempengaruhinya. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
(Surah Al-Zukhruf:36)
Ternyata bahawa pendidikan hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan. Allah telah memberi jaminan bahawa orang yang bersih hatinya (surah Asy-Syams: 9-10).
Zikir-zikir yang paling baik diamalkan ialah lafaz:
a. Subhanallah
b. Alhamdulillah
c. Allahuakhbar
d. Lailahaillallah
e. Walahaulawalaquwatailla billahilaliyulazim
Dalam Islam. Lima zikir ini dikenali sebagai “Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh memberi pahala yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia untuk membentuk keinsafan dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua ibubapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada aktiviti terpuji yang lain.
KEDUA: Kaedah Menghayati Ibadat Khusus
Ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan melatih dan menggilap manusia supaya kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini, sembahyang merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan akhlak manusia. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut:45)
Manakala dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.”
(Surah Al-Mu’minun:1-2)
Ibadat sembahyang dianggap senjata terpenting dalam pembentukan akhlak manusia berdasarkan keterangan berikut:
a. Rasulullah s.a.w. menerima sendiri perintah sembahyang fardhu ketika mengadap Allah pada masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan Malaikat Jibril;
b. Rasulullah s.a.w. mensifatkan sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak menunaikan sembahyang bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang itu Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya melakukan perbuatan keji tanpa segan silu.
c. Rasulullah s.a.w. telah berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu dan melatih anak bersembahyang bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan enggan dan degil untuk mendirikan sembahyang maka pukullah anak itu dengan tidak mencederakannya atau membahayakannya.
d. Sembahyang adalah sebahagian daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat sembahyang difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.
KETIGA: Kaedah Qiyamullail
Qiyamullail adalah merujuk kepada amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti sembahyang sunat, berzikir, bertahlil, membaca al-Quran dan beristighfar. Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan penyakit dari badan.”
(Riwayat Al-Tirmizi)
Melalui penjelasan di atas menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah membuat perjanjian dengan Allah untuk taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Bukankah Aku Tuhan kamu”
Roh-roh manusia menjawab:
“Benar,(Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.”
(Surah Al-A’raf:172)
Kesan dialog perjanjian ini ialah manusia wajib mentaati dan beribadat kepada Allah, kerana itulah cara untuk meletakkan taraf manusia di sisi Allah iaitu sebagai khalifah Allah. Allah mensifatkan manusia tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sejahat (Makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.”
(Surah Al- Anfaal: 55)
Kemahiran Keibubapaan
Al-Quran dan Hadis telah memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:
a. Ibubapa hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya.
(Surah Al-Nahl:90)
b. Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan digunakan, maka orang akan menjauhkan diri daripada kita.
(Surah Ali’-imran:159)
c. Ibubapa jangan menjadi kecewa dengan tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan menjadi sengsara kerana perbuatan ibu bapanya.
(Surah Al-Baqarah:233)
d. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.
(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)
Berdasarkan pandangan Islam dan pendapat ahli psikologi kaunseling barat, kemahiran keibubapaan yang perlu dikuasai oleh ibu bapa ialah:
a. Model Ibu bapa Yang Salih
Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan: ‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga lemah.’
Ibu bapa yang salih adalah ibu bapa yang cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk mengadakan secara sendirian program bina insan dari masa ke semasa dalam rumahtangga. Adalah menjadi perkara yang rumit apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya barulah ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan. Untuk menjauhi anak menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa hendaklah membiasakan dan melatihkan anak mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti tolong menolong, beramah, jujur, menghormati ibu bapa atau orang tua, kasih sayang, berjimat cermat, malu, membuat kebajikan dan sebagainya.
b. Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang
Disiplin adalah merujuk kepada kaedah untuk melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa yang mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif.
c. Terima Anak Tanpa Syarat
Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah kaunseling itu boleh di buat dengan cara:
i) Wujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa;
ii) Minta si anak memberi penerangan dan penjelasan tentang latarbelakang masalah yang berlaku;
iii) Mendengar dengan penuh minat penjelasan anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak;
iv) Meminta anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya; dan
v) Jika didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan yang tidak diingini itu.
d. Memenuhi Masa Lapang Bersama Anak
Ketagih terhadap kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan disebalik itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan bermain bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi meraih kasih sayang. Apa yang penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang berjemaah, makan bersama, membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama, dan sebagainya. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa, kerana telah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.
e. Peka terhadap Pergerakan Anak
Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:
i. Rakan sebaya anak dan aktivitinya;
ii. Fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya;
iii. Tingkah laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya;
iv. Kemampuan anak membezakan perkara yang baik dan buruk;
v. Siapakah lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya; dan
vi. Keupayaannya untuk berdikari.
Kemahiran ini amat penting untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat jahat.
f. Jangan Salah Guna Kuasa
Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak memerlukan rasa selamat, aman dan rasa di terima dalam keluarga.
Dalam pergaulan seharian, kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.
g. Kesabaran
Satu lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza. Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu tanda beriman.
Silap Memberi bimbingan Dan Kaunseling
Abu Said al-Khudri meriwayatkan satu kisah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Diriwayatkan pada zaman dahulu kala terdapat seorang yang paling banyak dosanya kerana telah membunuh seramai 99 orang. Dia mahu bertaubat dan mencari seseorang yang boleh menerangkan hukum bolehkah dia bertaubat. Dia telah menemui seorang pendeta dan bertanya bahawa dia sudah membunuh manusia seramai 99 orang, bolehkah ia bertaubat?. Pendeta itu lantas menjawab ‘tidak boleh’. Maka pendeta itu dibunuhnya menjadikan mangsanya seramai 100 orang. Kemudian dia mencari lagi orang yang paling alim dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah membunuh 100 orang, maka masih bolehkah ia bertaubat. Orang alim itu menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong Anu kerana penduduknya menyembah Allah dan kamu sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali lagi ke kampong kamu kerana penduduknya jahat.”
Maka berangkatlah orang itu ke kampong Anu. Dipertengahan jalan dia meninggal dunia. Maka bertengkarlah dua Malaikat iaitu Malaikat Rahman dam Malaikat Azab sama ada untuk dikategorikan orang baik atau jahat. Malaikat Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat, manakala Malaikat Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian turun malaikat lain untuk menjadi orang tengah dengan cara mengukur jarak jauh kampung asalnya dengan kampung Anu. Keputusanya didapati orang itu mati berhampiran dengan kampung Anu. Maka ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.
Isu penting dalam kisah ini ialah:
a. Kesilapan memberi bimbingan akan mempengaruhi perasaan seseorang sehingga pendeta dibunuh kerana gagal menghilangkan gelojak emosinya atau perasaan marahnya;
b. Bergaul atau tinggal di kawasan orang-orang beriman cara berkesan memulihkan akhlak; dan
c. Taubat orang tersebut diterima Allah.
Hidayah Allah
Hidayah Allah adalah juga faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh a.s. gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah s.a.w. gagal memujuk bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah Al-Qasas: 56)
Walau bagaimanapun kita lihat Saidina Umar berjaya memeluk Islam apabila mendengar ayat-ayat al-Qur’an, walhal Umar sebelumnya terkenal dengan perangai jahiliyahnya.
Manusia adalah sebaik-baik kejadian, berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan keputusan pemikiran baik, maka baiklah perbuatannya. Tetapi bila jalan pemikirannya salah, maka akan salahlah perbuatannya. Orang yang baik dan benar jalan pemikirannya maka orang itu dikatakan mendapat hidayat dari Allah. Maka apabila salah jalan pemikirannya hingga melakukan kejahatan maka ia tidak mendapat petunjuk Allah. Oleh yang demikian ibu bapa hendaklah selalu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk Allah selain daripada mengamalkan suruhan Allah yang lain.
Penutup
Mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara mudah. Ibu bapa hendaklah terus menerus tanpa berputus asa dalam membentuk akhlak anak. Langkah penting bagi ibu bapa dalam meneruskan kesinambungan fitrah akhlak anak ialah memberi pendidikan agama bermula sejak kecil lagi. Langkah ini bagi menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak terencat apabila ia menempuhi alam remaja. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak itu mampu menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya atau sekurang-kurangnya boleh menjauhi anak dari menjadi jahat tabiatnya. Oleh itu ibu bapa perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang diamalkan oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana mementingkan pendidikan agama sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.
Kaffarat Melanggar Sumpah
لاَ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُواْ أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٨٩)
Terjemahan:
(89) Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja. Maka kaffarat (melanggar) sumpah ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukumNya agar kamu bersyukur (kepadaNya).
(Al-Maaidah 5:89)
Sebab Turun Ayat:
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas (ra) katanya: Ketika turun ayat 87 Surah Al-Maidah (Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas), lalu kaum yang dulunya telah mengharamkan ke atas diri mereka menggauli isteri-isteri mereka dan mengharamkan ke atas diri mereka dari makan daging, mereka bertanya: Ya Rasulallah, apakah yang kami patut lakukan terhadap sumpah-sumpah yang telah kami ucapkan itu? Maka turunlah ayat di atas (Al-Maaidah 5:89).
Tafsiran Ayat:
Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah)
Maksudnya: Allah tidak akan menghukum kamu disebabkan sumpah yang kamu ucapkan sedangkan kamu tidak bermaksud bersumpah, seperti kata seseorang yang tidak bermaksud sumpah: Tidak, demi Allah; Memang betul, demi Allah. Kata-kata sumpah yang tidak bermaksud sumpah seperti ini tidak ada hukumannya, iaitu di dunia tidak perlu dikaffarat, dan di akhirat tidak akan disiksa oleh Allah.
tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja
Maksudnya: Tetapi Allah akan menghukum kamu jika sumpah yang kamu ucapkan itu benar-benar dengan maksud sumpah dan kamu bertekad akan melaksanakannya lalu kamu langgar ketetapan sumpah itu,
Maka kaffarat (melanggar) sumpah ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak
Maksudnya: Jika sumpah tersebut dilanggar atau bercadang untuk melanggarnya maka orang yang bersumpah itu mestilah membayar kaffarat sebagaimana berikut:
1. Memberi makan sepuluh orang miskin. Ukuran makanan tersebut ialah seperti makanan yang biasa kita berikan kepada keluarga kita. Tidak memadai jika lebih rendah mutunya atau kadarnya dan jangan pula berlebih-lebihan seperti jamuan Hari Raya. Menurut Imam Abu Hanifah: Juga boleh kalau memberi makan untuk seorang miskin selama 10 hari.
2. Memberi pakaian sepuluh orang miskin. Keadaan pakaian berbeda-beda menurut negeri masing-masing. Oleh itu, kebiasaan (‘urf) dalam masyarakat bolehlah dijadikan sebagai ukuran umpamanya: Seluar dengan kemeja, sarung dengan baju kurung dan sebagainya.
3. Memerdekakan seorang hamba sahaya. Para Fuqahaa berbeda pendapat tentang hamba (budak). Imam Malik, Syafi’I dan Ahmad mensyaratkan budak tersebut mestilah beriman. Sedangkan Abu Hanifah berkata: Memadai walaupun budak itu kafir.
Catetan: Ketiga-tiga jenis kaffarat di atas tidak diwajibkan tertib tetapi kita bebas memilih salah satu daripadanya. Tetapi yang afdhal ialah jika dimulai dari bawah, iaitu memerdekakan seorang hamba atau memberi pakaian sepuluh orang miskin atau memberi mereka makan. (Lihat hadis di bawah)
Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya puasa selama tiga hari
Maksudnya: Barangsiapa tidak sanggup melakukan salah satu daripada tiga jenis kaffarat di atas maka diwajibkan ke atasnya berpuasa selama tiga hari berturut-turut.
Ibnu Mardawiyah meriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) katanya: Ketika ayat kaffarat di atas diturunkan, Huzaifah bertanya: Ya Rasulallah, kami diperbolehkan memilih? Jawab Rasul (sallallahu alaihi wasalam):
“Kamu boleh memilih, jika kamu merdekakan seorang hamba, jika kamu mahu berikan pakaian, jika kamu mahu berikan makanan. Dan bagi yang tidak memperolehinya maka wajib ke atasnya puasa selama tiga hari berturut-turut”.
Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu
Maksudnya: Demikianlah kaffarat sumpahmu jika kamu bersumpah dengan nama Allah atau dengan sdalah satu daripada Nama-namaNya lalu kamu langgar atau bercadang hendak melanggarnya. Dan peliharalah sumpahmu, janganlah dia digunakan dalam perkara yang remeh-remeh dan janganlah banyak bersumpah, lebih-lebih lagi jika sumpah tersebut mengandungi unsur-unsur dusta. Jika kamu telah bersumpah, jangan kamu lupakan sumpahmu itu. Dan jangan kamu langgar sumpah itu kecuali karena darurat ataupun jika ada kemaslahatan yang nyata di balik pelanggaran itu.
Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukumNya agar kamu bersyukur (kepadaNya)
Maksudnya: Demikianlah Allah menerangkan hukum-hakam agamaNya dan selok-belok syareatNya supaya kamu dapat mensyukuri ni’mat-ni’matNya dengan cara yang disukai dan diredhaiNya. Dan selanjutnya berhak mendapat tambahan kurnia dan ihsan daripadaNya.
Sumpah Dan Persolannya:
Sumpah dan kaffarat melanggarnya merupakan salah satu cabang ilmu dalam Islam yang wajar diketahui oleh setiap penganutnya supaya mereka boleh beragama dengan lebih sempurna. Di antara persoalan yang patut kita ketahui antaranya ialah:
1. Dilarang bersumpah dengan selain Nama-Nama Allah atau Sifat-SifatNya. Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: “Barangsiapa yang bersumpah, janganlah ia bersumpah kecuali dengan (Nama atau Sifat) Allah”.
[HR Bukhari dan Muslim]
Termasuk juga dalam larangan ini bersumpah dengan Nabi, Ka’bah, Wali, Nenek moyang dan lain-lain lagi.
2. Diperbolehkan kita melanggar sumpah jika difikirkan lebih membawa kebaikan tetapi wajib membayar kaffarat sumpah. Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam):
“Jika kamu bersumpah, lalu kamu berpendapat selainnya adalah lebih baik, maka ikutilah mana yang lebih baik dan tunaikan kaffarat (melanggar) sumpah itu”.
[HR Bukhari dan Muslim]
Dan dalam lafaz hadis yang lain pula:
“…maka tunaikan kaffarat melanggar sumpah, kemudia ikutilah mana yang lebih baik itu”.
[HR Abu Daud dan An-Nasaai]
Berdasarkan kedua-dua hadis di atas kita diperbolehkan menunaikan kaffarat samada sebelum melanggar sumpah ataupun sesudah melanggarnya.
3. Jika ditinjau dari sudut “apa yang disumpahkan” maka sumpah terbagi kepada beberapa bagian:
Pertama: Bersumpah ke atas perbuatan yang wajib dilakukan atau haram meninggalkannya. Sumpah jenis ini lebih menguatkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Maka sumpah jenis ini haram dilanggar, malahan jika dilanggar maka haramnya akan berganda seperti bersumpah tidak akan meninggalkan solat atau tidak akan berzina.
Kedua: Bersumpah meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram. Sumpah ini wajib dilanggar karena sumpah jenis ini adalah haram. Umapamanya bersumpah akan memutuskan silaturrahim dlsb.
Ketiga: Bersumpah akan melakukan perkara sunat (mubah) atau akan meninggalkan perkara makruh. Ini adalah sumpah taat. Sunat hukumnya ditunaikan dan makruh jika dilanggar. Umpamanya: Setelah bersumpah tidak akan makan makanan tertentu lalu sumpahnya dilanggar karena menghormati tetamu.
4. Sumpah ada tiga jenis: Sumpah Laghaa, Sumpah Mun’aqad, Sumpah Ghamuus.
Sumpah Laghaa: Bersumpah tetapi tidak dengan maksud sumpah. Seperti kata seseorang: Demi Allah, kamu mesti hadir. Sumpah jenis ini tidak dihukumkan sumpah.
Sumpah Mun’aqad: Sumpah dengan sengaja dan memang bertekad kuat akan melaksanakannya. Sumpah jenis ini jika dilanggar wajib membayar kaffarat seperti kehendak ayat di atas.
Sumpah Ghamuus: Dinamakan juga dengan Shaabirah, iaitu “Sumpah Dusta”. Sumpah ini bertujuan hanya untuk menipu dan khianat. Sumpah jenis ini termasuk dosa besar. Ghamuus maknanya: melemaskan atau membenamkan, karena pelakunya akan dibenamkan ke dalam api neraka. Wal-iyadzu Billah.
Firman Allah:
“Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu, yang menyebabkan tergelincir kaki (mu) sesudah kokoh tegaknya, dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) karena kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan bagimu azab yang besar.
(An-Nahl 16:94)
Rujukan:
1. Fiqhus Sunnah Jld III – Said Sabiq
2. Tafsir Al-Maraghi – Imam Al-Maraghy
3. Zaadul Masiir Fii ‘Ilmit Tafsir Jld. II – Ibnu Al-Jauzy
Tuesday, November 30, 2010
4 Perkara Jarang-Jarang Berkumpul Dalam Diri Seseorang
Jarang sekali seseorang itu mempunyai keempat-empat perkara itu. Adakalanya seseorang itu kurang harta benda (miskin) tetapi dia banyak bercakap. Adakalanya seseorang itu miskin tetapi sombong dan tidak tawadduk. Adakalanya seseorang itu banyak berzikir mengingati Allah tetapi banyak pula harta benda (kaya).
Diam itu adalah permulaan ibadah, semasa Nabi Adam a.s. dicipta beliau juga diam hinggalah beliau bersin, lalu disebut “Al-Hamdulillah”. Maka perkataan pertama yang keluar dari mulut manusia ialah zikir. Ulama-ulama terdahulu juga diam melainkan ada masalah hukum-hakam yang perlu diselesaikan.
Tazkirah - Bila Maksiat Sudah Terlalu Banyak
Yunus [98] (Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan)
Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah (SWT) s.w.t yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Jika kalian tidak melakukannya Allah (SWT) s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan.(Riwayat Tirmidzi)
Pada masa azab diturunkan itu doa tidak lagi diterima iaitu doa untuk menolak azab yang datang itu (bila maksiat sudah terlalu banyak). Adakalanya semua akan terkena azab itu termasuk orang-orang soleh. Tetapi orang-orang soleh itu selamat di hari kiamat nanti.
Src : Suraya Harun (MITCO Petronas)
Wednesday, November 24, 2010
Tanpa Izin Allah
Bapa Nabi Musa bekerja di istana Firaun. Beliau mendapat tahu bahawa Firaun ingin membunuh semua anak lelaki setelah diberitahu oleh nujum istana bahawa akan lahir seorang anak lelaki yang akan mengalahkannya.
Al-A`raf[127] Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu? Firaun menjawab: Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka.
Baqarah [49] Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
Begitu juga semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh Namrud. Namrud memerintahkan seluruh rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan sampai peringkat burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya kalau terbang juga mereka akan terbakar kerana nyalaan api yang besar itu.Setelah sampai masa yang telah ditetapkan, Namrud pun duduk di atas singgahsana sambil terus melihat kepada api yang sangat besar itu di dalam hatinya terselit kegembiraan yang sangat kerana sekejap lagi Nabi Ibrahim akan mati dibakar api, dia gembira kerana api akan memakan seorang yang tidak mahu beriman dengan tuhan mereka.Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus Nabi Ibrahim di lemparkan ke dalam api yang besar itu. Mereka terkejut melihat Nabi Ibrahim kerana ketika mahu dilemparkan dia begitu tenang sekali langsung tidak meronta-ronta ataupun melawan. Lebih terkejutlah lagi bila mereka saksikan bahawa Nabi Ibrahim langsung tidak di makan oleh api bahkan dia boleh berjalan ke sana sini pula dalam api tersebut.
Anbiya [69] Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.
Rasulullah Disihir dan 2 Qul
Salah satu daripada bahan sihir itu ialah 12 simpulan rambut Baginda. Diriwayatkan bahawa rambut Rasulullah s.a.w. diambil melalui seorang hamba Yahudi yang pernah bekerja sebagai khadam Baginda.
Al-Falaq [1] Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. [2] Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. [3] Dari bahaya gelap apabila ia masuk. [4] Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). [5] Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.
Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dari ‘Aisyah r.a. katanya adalah Rasulullah SAW apabila beliau berada di tempat tidurnya setiap malam beliau menemukan dua tangannya kemudian menghembuskan pada kedua-duanya dan membaca (Qul a’uzubirabbinnas) dan (Qul a’uzubirabbil falaq) kemudian beliau sapukan dengan kedua-dua tapak tangannya semua bahagian tubuhnya yang dapat disapukan olehnya, beliau mulakan di atas kepala dan mukanya dan bahagian hadapan badannya.
Tuesday, November 23, 2010
Air Mata Tidak Selamanya Abadi
Dulu, ada satu kisah tentang rama-rama. Sering ku kisahkan cerita ini pada mereka yang lagi dirundum kesedihan. Dengan kisah ini jualah, terselit sekelumit harapan untuk menyisip secebis kekuatan buat mereka yang lemah. Memang, aku tidak mampu menyanyikan lagu ‘Semangat yang Hilang’ untuk mengobarkan kembali semangat mereka, aku juga tidak dapat memberi preskripsi ubat untuk menghilangkan ingatan-ingatan buruk itu, malah aku tidak akan mungkin punya kuasa ajaib untuk mengubah takdir jika bukan diri mereka sendiri yang ingin bangkit mengubah segalanya.
Rama-rama bagiku cukup simbolik. Lambang perjuangan hidup. Ia terbang mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata yang memandang. Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas. Ya, seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi. Namun, kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor rama-rama yang cantik.
Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan rekayasa atau hikayat dongeng penuh fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik. Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap rama-rama. Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama keluar dari kepompongnya. Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk mengeluarkan diri. Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus mencuba untuk keluar dari kepompong yang kecil itu. Akhirnya, ia berhasil. Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah meraikan kebebasannya.
Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang lain. Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya dengan menggunting kepompong tersebut. Rama-rama ini berhasil ‘di’keluarkan dengan mudahnya. Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama ini? Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan cacat seumur hidup. Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu terbang seperti layaknya. Bukankah ini lebih malang? Ternyata, segala kesukaran serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong itulah yang memberi kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang.
Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan kehidupan ini. Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak kenal cinta sebelum faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata pedih. Kitaran hidup ini perlu didalami, jatuh bangunnya, turun naiknya, takdir dan karma. Tentu, kata –kata ini sering kita dengar di mana-mana, “setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya”. Ini bukan kata-kata kosong yang palsu. Bukan. Tetapi, jangan pula tanyakan padaku, bila dan bagaimana?
Wallahualam
Tetapi bersabarlah. Airmata tidak abadi, kering suatu masa nanti. Percayalah, keajaiban itu pasti ada. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui tiap sesuatunya.
Src: I Love Islam
KUNCINYA ADA PADA KITA
Sering dijadiakan alasan "masa" menjadi penghalang untuk berbuat amal kebajikan apatah lagi ibadah. Kalau difikirkan dari aspek pekerjaan, yang lain pun ade tanggungjawab masing-masing. Tetapi mengapa masih mampu bagi segolongan pihak menyempurnakannya.
Disini tidaklah saya cuba mengatakan diri saya ini begitu sempurna. Hanya sedikit pengetahuan yang diizinkan oleh Allah swt kepada saya untuk dikongsi bersama. Hidup kita yang sangat singkat ini, penuh dengan banyak perkara dan tanggungjawab untuk dilaksanakan.
Tatkala kita sibuk mengerjakan yang lain, kita sering terlupa mengerjakan yang wajib. Sudah menjadi lumrah kita sebagai manuasia perlu mencari keperluan dalam hidup. Tetapi apalah salahnya kalau kita praktikkan masa sedikit untuk menunjuk rasa kasih dan sayang kita pada-Nya yang Maha Mengasihi lagi Maha Pemberi.
Kalau dilihat dari aspek masa yang sering menjadi persoalan atau lebih tepat lagi faktor utama kepada kita, kalau tak silap kita ade 24 jam sehari....Kita berkerja lebih kurang 8 ke 10 jam sehari, kita berehat lebih kurang 5-8 jam. Kalau dikira masa yang memang betul-betul kita gunakan lebih kurang....18 jam. Tapi kita ada 24 jam. Hmm....kita ade lebih kurang 6 jam lagi.
Mari kita lihat berapa banyak masa yang diambil untuk mengerjakan solat yang telah diwajibkan keatas kita... Kalau saya kira masa yang diambil kalau kita berjemaah dimasjid.... Kalau 4 rakaat + wirid + doa = 15 minit. Kalau kita kira purata dalam 15 minit satu waktu.... 15 x 5 = 1 jam 5 minit. Hmmm...ade berbaki lagi...4 jam setengah.
Setiap apa yang telah difardhukan ke atas kita adalah tanggungjawab yang kita perlu lakukan walau dalam apa keadaan sekali pun. Ini kerana setiap apa yang wajib itu ada kebaikannya. Contohnya solat itu sendiri. Selain sebagai penenang jiwa ia juga merupakan "magnet" rezeki. Jadi kenapa perlu kita abaikan..? padahal awalnya tadi kita sendiri yang sibuk dengan pencarian nafkah hidup. Bila dah diberikan peluang oleh Allah swt untuk dipermudahkan, kenapa kita perlu pilih jalan yang susah? Itu baru hanya satu, masih banyak lagi amal ibadah yang membawa terus menerus kebaikan kepada kita.
Jadi tunggu apa lagi..... Rebutlah peluang sementara kita masih ade kudrat melakukannya. Janganlah kita berputus asa pada rahmat Allah, sesungguhnya Allah swt itu Al Rahman.... Al Rahim.... Dan tidak akan pernah Dia mahu melihat hamba-hambanya dalam kesusahan. Seruan saya pada diri saya dan yang lain... Marilah kita banyakkan ibadah kita mudah-mudahan kita akan dirahmatiNya.
Src: I love Islam
Monday, November 22, 2010
4 Penyebab Kecelakaan
Mata yang tidak pandai menangis
Menangis berkedudukan tinggi disisi Allah dan Allah mengasihani orang yang menangis. Mata yang tidak boleh menangis kerana takutkan Allah adalah satu kesialan, sedangkan buraq pun menangis kerana takut tidak dipilih menjadi tunggangan Nabi. Semasa peristiwa Israk Mikraj, Allah swt menyuruh Malaikat Jibrail memilih seekor Buraq untuk dijadikan tunggangan Baginda naik ke langit. Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di Jannatu Adnin (taman Syurga) dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Jibril bertanya kepada Allah, buraq manakah yang harus dipilih kerana semuanya elok, maka Allah menyuruhnya memilih Buraq yang menangis.
Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq? “Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.” Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
Hati yang keras.
Hati yang keras sukar dibentuk dan ia menunjukkan kedegilan seseorang. Pernah seorang wanita yang mendukung anaknya bertanya kepada Nabi, betulkah Allah menyayangi manusia lebih dari seorang ibu menyayangi anaknya. Nabi menjawab “Ya, betul“ Kemudian tanya peremuan itu lagi “Kalau begitu, mengapa Allah sanggup memasukkan manusia ke dalam neraka, sedangkan Allah menyayangi manusia lebih dari seorang ibu menyayangi anaknya. Nabi termenung seketika, mengalir air mata di pipinya. Sehinggalah Allah memberikan jawapan, yang dimasukkan ke neraka adalah mereka yang degil atas kejahatan, maksiat dan tidak bertaubat.
Qaf [24] (Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam Neraka Jahanam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya.
Qaf [25] Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragukan kebenaran,
Qaf [26] Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya
Tamak Haloba
Jauhi sifat tamak haloba kerana sifat inilah yang mendorong Nabi Adam memakan buah larangan dan dikeluarkan dari syurga. Nabi Adam tamak kerana ingin tinggal di dalam syurga buat selama-lamanya. Nabi Adam akhirnya tertipu dengan syaitan dan terpengaruh dengan pujukan isterinya Hawa. Syaitan telah bersumpah dengan menggunakan nama Allah bahawa Allah melarang mereka makan buah itu kerana tidak mahu mereka kekal dan menjadi malaikat.
Al-A’raf [20] Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).
Panjang Angan-angan
Panjang angan-angan berbeza dengan tinggi cita-cita. Seseorang yang berangan-angan tidak membuat kerja atau sesuatu berbanding orang yang bercita-cita akan berusaha mendapatkannya.Umat Islam hendaklah bercita-cita tinggi. Dalam hadith disebut “Tinggi cita-cita itu cetusan iman. Panjang cita-cita tidak mengapa misalnya bercita-cita ingin membina kapalterbang agar dapat memajukan umat Islam, yang dilarang ialah panjang angan-angan yang tidak kesudahan..
Src : Suraya Harun (MITCO Petronas)
Monday, November 15, 2010
Pesanan Nabi Muhammmad S.A.W
Hadith Nabi Saw: "Dermawan itu merupakan suatu pohon yang akarnya di syurga dan dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga. Kedekut (kikir) itu pohon yang asalnya di dalam neraka sedang dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke neraka."(Aishah r.anha)
Sedekah mengandungi 10 kebaikan:
Kebaikan di dunia
1) Membersihkan harta kekayaan
2) Membersihkan badan daripada dosa-dosa
3) Menolak bala dan penyakit
4) Menyenangkan hati orang miskin
5) Menjadikan berkat dalam harta dan meluaskan rezeki
Kebaikan di Akhirat
1) Sedekah itu menjadi naungan baginya
2) Sedekah meringankan hisab amalnya
3) Memberatkan timbangan amal kebaikannya
4) Memudahkan melintasi sirat
5) Bertambah darjat di syurga
Barangsiapa yang menolak lima pekara, maka Allah akan menolak lima pekara daripadanya iaitu:
1) Barangsiapa menolak zakat, Allah swt akan menolak keselamatan hartanya
2) Barangsiapa tolak sedekah, Allah swt akan mengurangi kesihatannya
3) Barangsiapa menolak zakat tanamannya, Allah swt akan menolak berkat tanahnya
4) Barangsiapa tidak suka berdoa, Allah tidak suka untuk menerimanya
5) Barangsiapa yang meringan-ringankan solatnya, Allah swt akan menolak dari kalimah syahadah ketika matinya.
Wallahu a’lam.
Sesungguhnya yg baik tu dari Allah, yang buruk tu dari kelemahan sy sendiri...
Friday, November 12, 2010
Tips Rumah Tangga (Terutamanya Suami)
2 Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.
3 Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.
4 Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.
5 Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?
6 Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.
7 Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.
8 Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.
9 Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.
10 Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.
11 Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.
12 Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.
13 Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?
14 Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.
15 Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.
16 Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera
17 Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.
18 Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.
19 Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang menbeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?
20 Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.
21 Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.
22 Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.
23 Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.
24 Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.
25 Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.
26 Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.
27 Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.
28 Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.
29 Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.
30 Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.
31 Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.
32 Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.
33 Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.
34 Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?
35 Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.
36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.
37 Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.
38 Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.
39 Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.
40 Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.
41 Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.
42 Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.
43 Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yan isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.
44 Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.
45 Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.
46 Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.
47 Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.
48 Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.
49 Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.
50 Urus stres dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. lakuakan riadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.
Apakah Perjuangan Kamu Sudah Cukup Untuk Masuk Syurga
Baqarah [214] Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Dalam ayat ini Allah swt bertanya, apakah sudah cukup perjuangan dan pengorbanan dilakukan untuk melayakkan masuk ke dalam syurga, suatu tempat yang tidak dapat dibayangkan dengan akal. Di dalamnya terdapat sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengari oleh telinga.
Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. menyebut “Aku orang yang paling teruk diuji dalam menjalankan tugas Allah”. Baginda diancam dengan ugutan bunuh, diracun, disihir, giginya juga syahid dalam peperangan.
Para Nabi dan Rasul terdahulu juga teruk diuji dalam perjuangan mereka. Nabi Ibrahim dicampak ke dalam api kerana memperjuangkan Islam.
Ketika para sahabat Nabi dan juga pejuang Islam merasa goyang dan agak terumbang-ambing dalam perjuangan mereka, mereka akan bertanya “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
Maka jawabnya “Pertolongan Allah itu dekat” iaitu ia boleh datang sekelip mata dan bila-bila masa sahaja, asalkan mereka bersabar.
Rasulullah s.a.w. bersabda ” Pertolongan Allah datang dengan bersabar, jalan keluar itu ada bersama dengan bala (karb), dan sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Riwayat Ibnun Najjar melalui Anas r.a.)
Pertolongan akan diberi oleh Allah mengikut tahap kesabaran kita. Kalau kita bertindak dan tidak bersabar, maka tiadalah pertolongan Allah.
Semasa Perang Hunain para sahabat telah terlupa tentang pertolongan Allah. Mereka menyangka bilangan mereka yang ramai boleh memenangkan mereka kerana dalam beberapa perang sebelum itu mereka menang walaupun bilangan mereka sedikit.
At-Taubah [25] Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri
Akhirnya Rasulullah s.a.w. menggunakan mukjizatnya dengan berkata “Aku adalah nabi sebenar tiada mendusta, Akulah putera Abdul al-Muttalib” dan datanglah pertolongan Allah memberi kemenangan kepada tentera Islam.Gambaran Hari Qiamat
✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.
✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.