Monday, November 22, 2010

4 Penyebab Kecelakaan

Rasulullah s.a.w. bersabda ” Ada empat perkara yang merupakan kesialan iaitu mata yang tidak pandai menangis, hati yang keras, tamak haloba dan panjang angan-angan (Riwayat Abu Naim melalui Anas r.a.).

Mata yang tidak pandai menangis

Menangis berkedudukan tinggi disisi Allah dan Allah mengasihani orang yang menangis. Mata yang tidak boleh menangis kerana takutkan Allah adalah satu kesialan, sedangkan buraq pun menangis kerana takut tidak dipilih menjadi tunggangan Nabi. Semasa peristiwa Israk Mikraj, Allah swt menyuruh Malaikat Jibrail memilih seekor Buraq untuk dijadikan tunggangan Baginda naik ke langit. Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di Jannatu Adnin (taman Syurga) dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Jibril bertanya kepada Allah, buraq manakah yang harus dipilih kerana semuanya elok, maka Allah menyuruhnya memilih Buraq yang menangis.

Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq? “Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.” Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Hati yang keras.

Hati yang keras sukar dibentuk dan ia menunjukkan kedegilan seseorang. Pernah seorang wanita yang mendukung anaknya bertanya kepada Nabi, betulkah Allah menyayangi manusia lebih dari seorang ibu menyayangi anaknya. Nabi menjawab “Ya, betul“ Kemudian tanya peremuan itu lagi “Kalau begitu, mengapa Allah sanggup memasukkan manusia ke dalam neraka, sedangkan Allah menyayangi manusia lebih dari seorang ibu menyayangi anaknya. Nabi termenung seketika, mengalir air mata di pipinya. Sehinggalah Allah memberikan jawapan, yang dimasukkan ke neraka adalah mereka yang degil atas kejahatan, maksiat dan tidak bertaubat.

Qaf [24] (Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam Neraka Jahanam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya.

Qaf [25] Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragukan kebenaran,

Qaf [26] Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya

Tamak Haloba

Jauhi sifat tamak haloba kerana sifat inilah yang mendorong Nabi Adam memakan buah larangan dan dikeluarkan dari syurga. Nabi Adam tamak kerana ingin tinggal di dalam syurga buat selama-lamanya. Nabi Adam akhirnya tertipu dengan syaitan dan terpengaruh dengan pujukan isterinya Hawa. Syaitan telah bersumpah dengan menggunakan nama Allah bahawa Allah melarang mereka makan buah itu kerana tidak mahu mereka kekal dan menjadi malaikat.

Al-A’raf [20] Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).

Panjang Angan-angan

Panjang angan-angan berbeza dengan tinggi cita-cita. Seseorang yang berangan-angan tidak membuat kerja atau sesuatu berbanding orang yang bercita-cita akan berusaha mendapatkannya.Umat Islam hendaklah bercita-cita tinggi. Dalam hadith disebut “Tinggi cita-cita itu cetusan iman. Panjang cita-cita tidak mengapa misalnya bercita-cita ingin membina kapalterbang agar dapat memajukan umat Islam, yang dilarang ialah panjang angan-angan yang tidak kesudahan..

Src : Suraya Harun (MITCO Petronas)

0 comments:

Post a Comment