Friday, November 12, 2010

Apakah Perjuangan Kamu Sudah Cukup Untuk Masuk Syurga

Baqarah [214] Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Dalam ayat ini Allah swt bertanya, apakah sudah cukup perjuangan dan pengorbanan dilakukan untuk melayakkan masuk ke dalam syurga, suatu tempat yang tidak dapat dibayangkan dengan akal. Di dalamnya terdapat sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengari oleh telinga.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. menyebut “Aku orang yang paling teruk diuji dalam menjalankan tugas Allah”. Baginda diancam dengan ugutan bunuh, diracun, disihir, giginya juga syahid dalam peperangan.

Para Nabi dan Rasul terdahulu juga teruk diuji dalam perjuangan mereka. Nabi Ibrahim dicampak ke dalam api kerana memperjuangkan Islam.

Ketika para sahabat Nabi dan juga pejuang Islam merasa goyang dan agak terumbang-ambing dalam perjuangan mereka, mereka akan bertanya “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”

Maka jawabnya “Pertolongan Allah itu dekat” iaitu ia boleh datang sekelip mata dan bila-bila masa sahaja, asalkan mereka bersabar.

Rasulullah s.a.w. bersabda ” Pertolongan Allah datang dengan bersabar, jalan keluar itu ada bersama dengan bala (karb), dan sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Riwayat Ibnun Najjar melalui Anas r.a.)

Pertolongan akan diberi oleh Allah mengikut tahap kesabaran kita. Kalau kita bertindak dan tidak bersabar, maka tiadalah pertolongan Allah.

Semasa Perang Hunain para sahabat telah terlupa tentang pertolongan Allah. Mereka menyangka bilangan mereka yang ramai boleh memenangkan mereka kerana dalam beberapa perang sebelum itu mereka menang walaupun bilangan mereka sedikit.

At-Taubah [25] Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri

Akhirnya Rasulullah s.a.w. menggunakan mukjizatnya dengan berkata “Aku adalah nabi sebenar tiada mendusta, Akulah putera Abdul al-Muttalib” dan datanglah pertolongan Allah memberi kemenangan kepada tentera Islam.

0 comments:

Post a Comment