Wednesday, December 15, 2010

ESOK 10 MUHARRAM, JOM PUASA!

Ibnu Abbas RA berkata , Aku tidak melihat Nabi SAW mencari-cari puasa pada satu hari, Baginda mengutamakannya daripada hari-hari selainnya, kecuali hari ini iaitu “hari Asyura, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan” ( Riwayat Bukhari )


ULASAN HADIS :

1. Dalam bulan Muharram ini terdapat satu tarikh yang dianggap istimewa iaitu
tarikh 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Pada tarikh
ini banyak berlaku peristiwa-peristiwa penting, antaranya Nabi Adam AS
bertaubat kepada ALLAH, turunnya kitab Taurat kepada Nabi Musa AS dan
lain-lain peristiwa yang dapat dijadikan iktibar bagi ummat Islam.

2. Di samping keistimewaan hari Asyura’ yang berlaku, hari Asyura’ juga
merupakan peluang untuk meraih ganjaran amalan-amalan yang disunatkan
untuk dilakukan pada hari tersebut. Antaranya ialah berpuasa.

3. Terdapat banyak hadis yang menerangkan tentang keutamaan berpuasa pada
hari Asyura;

Di dalam hadis riwayat Bukhari “ Nabi SAW ketika sampai ke Madinah lalu
melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda SAW
bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah
hari di mana ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka
lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda SAW bersabda: “Aku lebih
berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi SAW berpuasa hari
‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”

Didalam riwayat Muslim pula menyebut : Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud : Berpuasa pada hari Asyura’, bahawa ALLAH akan menebus dosa
tahun yang dahulunya ( bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).

Daripada Abu Hurairah RA, NAbi SAW bersabda yang bermaksud : Sebaik-baik
puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharran dan sebaik-baik
sembahyang selepas fardhu ialah sembahyang pada waktu malam. “
( Riwayat Muslim )

4. Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah SAW menggalakkan
ummat Islam supaya melakukan puasa hari Asyura’. Dengan galakkan daripada
Baginda SAW sendiri, peluang seumpama ini tidak boleh dilepaskan oleh
ummat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka
yang melakukan puasa hari ‘Asyura’.

5. Berpuasa pada hari Ayura’ ( 10 Muharram ) adalah sangat dituntut kerana
Nabi SAW melaksanakannya. Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan
daripada Firaun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran.
Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada
Asyura‘) kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa, sepertimana yang
dinyatakan oleh Nabi SAW.

6. Bilakah ‘Asyura? Pendapat pertama : Ibn Abbas RHM berpendapat Asyura‘
adalah pada 9 Muharram. Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha‘ berpendapat
Asyura‘ adalah pada 10 Muharram. Berpuasa pada hari ke 9 Muharram ianya
termasuk dalam bulan Muharram yang disunnahkan berpuasa selain ianya dapat
membezakan antara amalan yahudi, juga sebagai langkah berjaga-jaga jika
tersilap kiraan taqwim. Di tuntut juga untuk berpuasa pada hari ke 11
Muharram di mana ianya juga langkah berjaga dan membezakan antara amalan
yahudi.

7. Selain daripada berpuasa, kita juga digalakkan untuk mengamalkan apa jua
kebaikan sepertimana yang di lakukan oleh para Ulama dan orang soleh
seperti bersedekah, bersolat, bersiwak, bercelak, mengusap kepala anak
yatim dan sebagainya.

8. Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada di hadapan mata
kita, kerana belum tentu peluang yang bakal tiba di hari hadapan kita
mampu mendapatkannya kerana kita tidak tahu apakah kita sempat bertemu
pada hari esok ataupun tidak. Justeru itu, segala amal soleh, kebaikan dan
taubat jangan di tangguh lagi. Ajal tidak menunggu kita. Bila tiba masa
dia akan datang menjemput . Jom PUASA ESOK, beramal ! WALLAHU’ALAM

Src: Suraya Harun ( MITCO Petronas )

0 comments:

Post a Comment