Tuesday, October 25, 2011

Seruan Haji dan Tidak Diterima Haji Duit Haram

Orang yang melakukan haji akan membaca talbiah (Labbaikallah) yang bermaksud “Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Haji, wahai Tuhanku!

Sesetengah orang beralasan “belum sampai seru” untuk mengerjakan haji. “Belum sampai seru” bukanlah alasan untuk menangguhkan ibadat haji kerana seruan haji sudah lama disampaikan oleh Allah melalui Nabi Ibrahim secara zahirnya. Setelah Nabi Ibrahim membina Kaabah dan tawaf sebanyak tujuh kali dan Allah s.w.t mewahyukan kepadanya supaya menyeru kepada manusia untuk mengerjakan haji.

AL-Hajj [27] Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh

Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah “Wahai Tuhanku, sampai ke manalah suara aku? FirmanNya: “Hai Ibrahim! Tugas engkau menyeru dan aku akan menyampaikannya.

Maka naiklah Nabi Ibrahim ke atas Jabal Qubais, (ada yang kata di Safa, ada yang kata di atas batu maqam Nabi Ibrahim) dan menyeru ” Ya ibadallah(hamba Allah)! Sesungguhnya tuhan kamu telah membina rumah dan menyuruh kamu mengerjakan haji, maka datanglah kamu untuk mengerjakan haji.” Maka Allah memperdengarkan kepada semua yang ada di bumi. Lalu dijawab oleh manusia, jin, batu, kayu, bukit, pasir, tiap yang basah dan kering daripada Masyriq dan Maghrib, dan yang ada di dalam perut ibunya dan sulbi bapanya:

Aku menyahut seruanMu,wahai Tuhanku! Aku menyahut seruanMu,wahai Tuhanku! Aku menyahut seruanMu,wahai Tuhanku! Tiada sekutu bagiMu, Aku menyahut seruanMu,wahai Tuhanku!Sesungguhnya segala pujian dan kenikmatan bagiMu dan juga kerajaan, tiada sekutu bagiMU.

Maka yang menjawab sekali, hajilah dia sekali. Dan yang menjawab dua kali, maka dua kalilah dia haji. Yang menjawab lebih dari itu, maka ia haji mengikut kadar jawabnya.

Labbaik Yang Tidak Diterima.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila seorang anggota jamaah haji berangkat dengan harta haram dan mengenjakkan kaki di kenderaannya kemudian dia membaca Labbaik allahumma labbaik, maka ada suara (jawaban) dari langit: “Tidak ada labbaik dan tidak ada sa’daik (kebahagiaan) bagimu kerana bekalmu haram, kenderaanmu haram, hajimu penuh dosa, tidak diterima (tertolak)”[Riwayat Thabrani]

Allah itu bersih dan suci, Allah tidak terima benda yang tidak bersih. Tidak boleh mendampingi Allah dengan duit yang haram.

Dari Abu Hurairah r.a katanya,:Rasulullah SAW bersabda:”Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. …

Yang paling penting pastikan duit untuk buat haji adalah dari sumber yang halal. Dalam hadith disebut “Siapa buat haji dengan duit yang halal, tidak celupar mulutnya, tidak bercakap perkara keji, tidak bergaduh dan tidak bercakap perkara yang menaikkan nafsu, dia akan pulang dengan haji yang mabrur.

Dalam hadith yang lain, “Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika ada hutang, selesaikan atau minta izin pemberi hutang dahulu atau cari “guarantor” yang boleh menyelesaikan hutang jika berlaku sesuatu. Hutang itu hak manusia, haji hak Allah jika ada kemampuan dari segi kewangan yang melebihi keperluan. Sempurnakan dulu hak manusia dan keluarkan zakat simpanan dari duit yang disimpan.

Src: Suraya Harun ( Mitco Petronas )

0 comments:

Post a Comment