Friday, October 7, 2011

Segala Perkataan Nabi Adalah Benar

Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata: “Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka? ” Setelah itu aku pun berhenti dan menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: “Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dari mulutku ini melainkan yang benar. ” (Abu Daud)

Pada permulaan Islam Rasulullah s.a.w. melarang percakapannya ditulis kerana bimbang sahabat keliru di antara hadith dan ayat quran. Namun akhirnya setelah Islam semakin mantap, baginda mengizinkan sahabat menulisnya.

Nabi Muhammad s.a.w. bersifat Siddik iaitu Baginda hanya mengatakan apa yang benar dan tidak memperkatakan sesuatu mengikut hawa nafsunya, melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah.

An-Najm [3] Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.[4] Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya

Hadith tidak bercanggah dengan quran, cuma kadangkala terdapat kesalahan dalam memahaminya. Selain itu terdapat perubahan dalam hadith setelah hukum-hakam Islam dimantapkan. Misalnya dipermulaan Islam dibenarkan bercakap-cakap dalam sembahyang namun akhirnya ia dibatalkan. Dipermulaan Islam, dibenarkan orang yang belum sembahyang boleh bertanya bilangan rakaat kepada orang yang sedang sembahyang dan dibenarkan mereka menjawab pertanyaan itu. Selain itu ada juga hadith yang tidak dibatalkan tetapi ditinggalkan (tidak diamalkan) oleh Rasululllah s.a.w. misalnya bacaan qunut dalam sembahyang Subuh. Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya dibaca qunut kerana hadith tentang qunut tidaklah dibatalkan oleh hadith yang lain.

Hadith menerangkan dan menjelaskan ayat-ayat quran. Misalnya hadith menerangkan cara sembahyang secara terperinci misalnya tentang bacaan tahiyyat, bacaan fatihah dalam sembahyang, sedangkan quran cuma menyebut tentang sujud, rukuk dan membaca apa-apa ayat quran sebagai bacaan dalam sembahyang.


Src : Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment