Thursday, February 2, 2012

Doa Minta Ilmu, Sifat Lemah-Lembut, Ketakwaan dan Kesihatan

“ Ya Allah, Kayakanlah aku dengan ilmu, hiasi diriku dengan sifat lemah-lembut, muliakanlah aku dengan sifat ketakwaan dan cantikkanlah aku dengan nikmat kesihatan”.

Semua perkara berpunca daripada ilmu. Allah membantu kita untuk hidup di dunia dan juga di akhirat ini melalui ilmunya. Untuk mencari kehidupan di dunia ini kita perlu kepada ilmu, bahkan untuk masuk ke syurga juga kita perlu kepada ilmu. Ilmu adalah kunci kejayaan dunia dan akhirat.

Siapa yang berkehendakan kejayaan dunia, hendaklah mereka mencari ilmunya. Siapa yang berkehendakkan kejayaan akhirat, hendaklah mereka mencari ilmunya, tetapi siapa yang berkehendakkan kedua-duanya, hendaklah mereka mencari ilmu dunia dan akhirat.

Bahkan sifat Allah itu sendiri ialah ‘ilmun”. Ilmunya adalah ilmu yang asli, dan diberikan sedikit kepada makhluknya.

Sifat lemah-lembut adalah sifat para nabi. Dalam sebuah hadith disebut “hampir semua orang yang lemah-lembut menjadi nabi”. Setiap nabi bakal ditentang oleh umatnya dalam menyampaikan dakwah mereka. Para nabi akan dituduh dengan pelbagai tuduhan seperti gila, ahli sihir, dirasuk jin, penyair, pawang dan sebagainya. Orang yang tidak mempunyai sifat lemah-lembut tidak akan mampu bersabar dengan tuduhan-tuduhan seperti ini.

Ketakwaan adalah kepala atau kemuncak segala ketaatan (ibadah). Hanya dengan takwa (takut) kepada Allah sahajalah seseorang itu dapat melakukan segala ibadah. Semakin bertakwa, semakin rajinlah seseorang itu beribadah. Bahkan lafaz “ittaqullah” (bertakwalah kamu kepada Allah) adalah rukun dalam khutbah sembahyang jumaat bagi mazhab Syafie dan tidak boleh ditukarkan dengan perkataan lain.

Hanya dengan kesihatan yang baik kita dapat melakukan ibadah. Beribadatlah semasa muda lagi kerana masa muda kita masih lagi bertenaga dan mempunyai kesihatan yang baik. Selain itu pemuda yang melakukan ibadat digandakan pahalanya kerana semasa muda pelbagai godaan nafsu terpaksa ditempuhi berbanding mereka yang tua. Bahkan dengan kesihatan juga kita dapat mencari harta dunia, seorang yang sihat dapat bergerak cergas untuk mencari kehidupan dunianya.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment