Thursday, February 2, 2012

Doa Buka Telinga Hati

“”Ya Allah bukakanlah pendengaran hatiku untuk mengingatiMu … dan kurniakan ketaatan kepadaMu dan ketaatan pada RasulMu serta beramal dengan kitabMu” (Riwayat Thabrani daripada Sayyidina Ali)

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar berdoa supaya dibuka telinga hati. Dalam hadith yang lain pula disebut pintu hati, sepertimana kita orang Melayu biasa menyebut “semoga dibukakan pintu hatinya.

Hati sanubari adalah seumpama radar, baik hati itu maka baiklah seseorang itu. Hati jugalah yang akan diperiksa di ahkirat nanti.

Al-A’diyat [10] Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?[11] Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu

Setiap dosa atau maksiat menumbuhkan satu titik hitam dalam hati, sekiranya tidak dibersihkan dengan taubat atau istigfar, maka ia akan menutup cahaya iman dalam hati kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Cahaya iman dalam hati adalah cahaya yang lahir daripada dua kalimah syahadah. Cahaya iman inilah yang menunjukkan kita jalan yang perlu diikuti. Apabila dosa dilakukan dan tidak dicuci dengan istigfar, maka malaplah cahaya iman. Setelah cahaya iman itu malap, maka dosa yang besarpun dianggap kecil, sehingga ada yang berkata “aku minum arak je” atau “aku cuma tinggal sembahyang je”, sedangkan satu sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja itu akan mencampak mereka ke dalam neraka selama 80 tahun. Apabila cahaya iman sudah lemah, tidak semarak dan tidak bertenaga, maka tiada keinsafan yang akan lahir daripada hati.

Apabila seseorang itu merasa seronok dalam melakukan kebaikan dan berasa sedih dalam melakukan kejahatan, maka rasa itu adalah tanda iman sudah mula terserap dalam hatinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati ” (Riwayat At-Tirmizi)

Taatlah kepada Allah yang merupakan tuan dunia dan juga tuan agama kita. Patuhlah kepada syariat yang diperintahkan dan patuhlah kepada Nabi yang dilantik untuk menyampaikan syariatnya.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment