Tuesday, February 21, 2012

Nasib Ahli Neraka

Al-Haqqa [30] (Lalu diperintahkan malaikat penjaga Neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia.

Al-Haqqa [31] Kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahiim.

Al-Haqqa [32] Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!

Sudahlah neraka itu panas, diberi pula minuman yang panas menggelegak.

Muhammad [15]…..orang-orang yang tinggal kekal di dalam Neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?….

Waqiah [53] Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, [54] Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas

Api Neraka itu membakar muka mereka dan tinggallah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat. (Mukminun: 104).

Mereka merayu agar dikeluarkan dari neraka, namun dijawab oleh Allah “duduklah kamu terperap di situ”.

Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari Neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim. (Mukminun:107)

(Allah) berfirman: Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam Neraka dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu! (Mukminun:108)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Kepentingan Kaedah-Kaedah Fiqh

Salah satu ciri yang istimewa dalam syariah Islam ialah ianya fleksibel dan sesuai dengan setiap zaman. Syariah Islam tidak jumud atau beku seperti yang difikirkan oleh segelintir orang. Hukum-hakam Islam tidak hanya terikat kepada nas-nas secara tekstual, literal dan zahir tetapi harus diselaraskan dengan prinsip dan kaedah fiqh bagi mendepani permasalahan umat dan peredaran zaman.

Islam bukan agama bersifat ritual semata-mata tetapi merangkumi persoalan urusan kemasyarakatan seperti kekeluargaan, pendidikan, ekonomi (iktisad), perundangan (nizam), jihad dan pemerintahan (siasah) yang mana mesti diurus dengan penuh kebijaksanaan.

Cabaran zaman dengan kemajuan teknologi, sistem ekonomi yang kompleks, urusan manusia yang makin rencam menyebabkan pelbagai permasalahan baru timbul. Untuk itu, para ulama’ perlu menguasai pelbagai bidang ilmu fiqh dengan lebih meluas untuk memenuhi keperluan umat seperti fiqh perbandingan, fiqh awlawiyyat, fiqh kenegaraan, fiqh ekonomi dan sebagainya.

Para ulama mazhab telah banyak membicarakan perkara seperti ini. Di antara mazhab yang begitu luas mengambilkira kaedah-kaedah fiqh dalam ijtihadnya ialah mazhab Imam Abu Hanifah dan as-Syafi’i.

Mengaplikasikan kaedah-kaedah fiqh bukan bermakna mengetepikan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah tetapi sebaliknya untuk mengurus dan memandu urusan agama dan urusan manusia agar diselaraskan dengan keadaan dan masa demi kemaslahatan umat itu sendiri dan mencapai tujuan syariah (maqasid syariah).

Para ulama telah menyenaraikan begitu banyak kaedah-kaedah fiqh yang boleh menjadi panduan umat pada masa hadapan. Di bawah ini adalah di antara kaedah fiqh yang biasa dipraktikkan:-

1. Dharurat mengharuskan sesuatu larangan.

2. Yang satu tidak boleh diasingkan dan yang berasingan tidak boleh disatukan.

3. Banyak itu dikira semua (‘most’ is considered as ‘all’)

4. Setiap perkara dinilai mengikut niat dan tujuan

5. Adat (uruf) adalah sumber hukum

6. Apabila yang wajib tidak sempurna kerana sesuatu perkara, maka perkara itu juga menjadi wajib. (CTH: Wuduk utk solat)

7. Tidak boleh memudaratkan diri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.

8. Mudarat itu dicegah seberapa yang mampu.

9. Mudharat itu dihilangkan seberapa yang mampu.

10. Mudharat tidak boleh dihilangkan dengan satu mudharat yang sama atau yang lebih besar.

11. Mudharat yang khusus boleh ditanggung untuk menolak mudharat yang umum.

12. Mudharat yang rendah boleh ditanggung untuk menolak mudharat yang lebih tinggi.

13. Boleh menanggung mudharat yang lebih ringan dari dua mudharat yang ada.

14. Menolak kerosakan lebih utama dan mengambil manfa’at.

15. Kerosakan yang sedikit dimaafkan demi untuk mengambil maslahat yang besar.

16. Ditinggalkan maslahat yang lebih rendah dan dua maslahat yang ada.

17. Kesulitan akan mendatangkan kemudahan.

18. Jika sesuatu perkara menjadi sempit, ia sendiri akan menjadi luas.

19. Harus bagi yang mengikut apa yang tidak harus bagi yang asal.

20. Harus bagi sesuatu yang kekal dan berakhir apa yang tidak harus bagi sesuatu yang bermula.

21. Asal bagi segala sesuatu adalah harus.

22. Asal bagi segala persoalan kebiasaan dan muamalat, ialah melihat pada sebab dan maslahah.

23. Seseorang itu memikul tanggungjawab sendiri atas harta yang perlu dibayar olehnya sebagaimana dia berhak penuh atas harta yang diperolehinya.

24. Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang dipersetujui bersama.

25. Sesuatu yang telah diketahui secara adat adalah ibarat sesuatu yang telah disyaratkan sebagai satu syarat.

26. Tiada pertimbangan hukum bagi sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

27. Sesuatu yang majoriti, mengambil hukum umum.

28. Hak-hak Allah dibina atas prinsip tolak ansur. Hak-hak manusia dibina atas prinsip berkira.

29. Hak umat didahulukan dari hak individu.

30. Fardhu ‘ain didahulukan dari fardhu kifayah.

31. Fardhu kifayah yang belum dilaksanakan oleh sesiapa diutamakan atas fardhu kifayah yang telah dilaksanakan oleh sebahagian manusia.

32. Tidak diterima amal sunat kecuali telah ditunaikan amal yang fardhu.

33. Orang yang ketat/tegar, Allah akan bersifat ketat dengannya.

34. Penilaian itu ialah berdasarkan pada akhir-akhir satu perkara.

35. Amal hati lebih afdhal dari amal tubuh.

36. Kemungkaran tidak boleh dihilangkan dengan kemungkaran yang lebih besar.

37. Islam menghapuskan apa yang sebelumnya dan taubat menghapuskan juga apa yang sebelumnya.

38. Apa yang hampir sama dengan sesuatu perkara, maka diambil hukumnya.

39. Apa yang diasaskan atas kebatilan, maka ia juga adalah satu kebatilan.

40. Tiada dosa lagi setelah kekufuran.

41. Bid’ah lebih buruk dari maksiat.

42. Sesuatu yang zanni tidak boleh mengatasi apa yang qat‘ii, apatah lagi untuk mendahulukannya.

43. Sesuatu yang telah diyakini, tidak dihilangkan kerana keraguan.

44. Sesuatu fatwa tidak membatalkan fatwa yang lain.

45. Hukum asas dalam urusan mua’malat (jual beli) adalah kembali melihat tujuannya dan maslahat kebaikan (yang boleh dicapai daripadanya).

46. Apa-apa yang diharuskan kerana sebab dharurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu. (As-Ashbah Wa An-Nazair, As-Suyuti, 1/82; Hawashi Asy-Syarwani, 3/27 )

47. Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). (Majallah al-Ahkam Al-Adliyah)

48. Kesukaran yang bersangatan boleh membawa kepada keringan (dalam menentukan hukum).

49. Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram. (Majma Al-Anhar, 4/25 ; rujuk perincian dalam ‘Ilam Al-Muwaqqi’ien, Ibn Qayyim, 3/137)

Wallahu a’lam.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

ABAD 21 MILIK ISLAM

Sejarah dan fakta telah membuktikan bahawa abad ke 19 adalah milik Kristian, abad 20 dikuasai Yahudi dan abad 21 adalah milik Islam, InsyaAllah.

Terdapat beberapa hadis yang menerangkan perkara ini di antaranya:

Abu Hurairah (RA) meriwayatkan dari Nabi S.A.W yang bersabda: “Kiamat (as-Sa’ah) tidak akan berlaku sebelum orang Islam memerangi Yahudi dan orang Islam akan membunuh mereka dan menyebabkan orang Yahudi berlindung di sebalik batu dan pokok, sehingga batu dan pokok akan berkata, “Wahai orang Islam, Wahai hamba Allah! Orang Yahudi ada di belakangku, sila datang dan bunuh ia” (HR Muslim)

“Tidak berlaku kiamat sehinggalah dibuka Rom…” (HR Muslim). Hadis ini berkaitan kebangkitan Islam di Eropah Barat.

Namun, kemenangan Islam tidak akan datang dengan hanya berpeluk tubuh. Perjuangan, kesungguhan dan pengorbanan umat Islam diperlukan ke arah kejayaan ini.

Wallahu’alam.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Kelebihan Keluarga Rasulullah

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji). (Ahzab:33)

Apa jua yang diperintahkan oleh Allah adalah untuk membersihkan kita walaupun ianya susah, misalnya sembahyang adalah untuk menyucikan kita daripada kotoran najis dan dosa. Tarbiyyah (pendidikan) Islam adalah bertujuan untuk menyucikan zahir (najis) dan batin (dosa) umatnya.

Begitu juga ahlulbait atau ahli rumah Rasulullah s.a.w. iaitu para isteri Baginda juga tidak terkecuali kerana mereka adalah ibu orang mukmin dan juga ahli syurga. Oleh itu mereka mesti menunjukkan contoh yang baik kepada orang awam dan masyarakat.

Bahkan setiap kesalahan dan kebaikan mereka diganda dua kali pahala atau dosa.

Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (Ahzab:30)

Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia. (Ahzab:31)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Kelebihan AhlulBait

Dari Yazid bin Hayyan yang berkata ”Aku, Husain bin Sabrah dan Umar bin Muslim pergi menemui Zaid bin Arqam. Setelah kami duduk bersamanya berkata Husain kepada Zaid ”Wahai Zaid sungguh engkau telah mendapat banyak kebaikan. Engkau telah melihat Rasulullah SAW, mendengarkan hadithnya, berperang bersamanya dan sembahyang di belakangnya. Sungguh engkau mendapat banyak kebaikan wahai Zaid. Cuba ceritakan kepadaku apa yang kamu dengar dari Rasulullah SAW.

Berkata Zaid “Hai anak saudaraku, aku sudah tua, ajalku hampir tiba, dan aku sudah lupa akan sebahagian yang aku dapat dari Rasulullah SAW. Apa yang kuceritakan kepadamu terimalah dan apa yang tidak kusampaikan janganlah kamu memaksaku untuk memberikannya.

Lalu Zaid berkata ”pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di hadapan kami di sebuah tempat yang bernama Khum seraya berkhutbah, maka Beliau SAW memanjatkan puja dan puji atas Allah SWT, menyampaikan nasihat dan peringatan.

Kemudian Beliau SAW bersabda “Ketahuilah wahai manusia sesungguhnya aku hanya seorang manusia. Aku merasa bahawa utusan Tuhanku (malaikat maut) akan segera datang dan Aku akan memenuhi panggilan itu. Dan Aku tinggalkan padamu dua pusaka (Ats-Tsaqalain). Yang pertama Kitabullah (Al-Quran) di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya,maka berpegang teguhlah dengan Kitabullah”. Kemudian Beliau melanjutkan, “dan Ahlul Bait-Ku, kuperingatkan kalian akan Ahlul Bait-Ku, kuperingatkan kalian akan Ahlul Bait-Ku, kuperingatkan kalian akan Ahlul Bait-Ku”

Lalu Husain bertanya kepada Zaid ”Hai Zaid siapa gerangan Ahlul Bait itu? Tidakkah isteri-isteri Nabi termasuk Ahlul Bait? Jawabnya “Isteri-isteri Nabi termasuk Ahlul Bait. Tetapi yang dimaksud Ahlul Bait disini adalah orang yang tidak diperkenankan menerima sedekah setelah wafat Nabi SAW”, Husain bertanya “Siapa mereka?”.Jawab Zaid ”Mereka adalah Keluarga Ali, Keluarga Aqil, Keluarga Ja’far dan Keluarga Ibnu Abbes”. Apakah mereka semua diharamkan menerima sedekah (zakat)?” tanya Husain; “Ya”, jawabnya.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Thursday, February 2, 2012

Doa Kedamaian dan Perpaduan Sesama Islam

Ya Allah, damaikanlah persengketaan yang ada di antara kami, satukanlah hati-hati kami.

Islam adalah agama perdamaian dan umat Islam mestilah bersatu padu.

Hujurat [10] Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Bahkan dalam Islam, haram tidak bertegur sapa sesama Islam selama tiga hari (kerana bergaduh). Dari tidak bertegur sapa boleh membawa kepada perpecahan dan akhirnya umat Islam menjadi lemah. Kata pepatah Melayu, “Bersatu teguh, bercerai roboh”.

Anfal [46] Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

Semasa Perang Ahzab, pelbagai qabilah kafir pada masa itu mula bersatu untuk menentang Islam kerana mereka tahu “kekuatan itu ada dalam kesatuan”. Peristiwa yang bersejarah ini kita sebut apabila tiba dua hari raya dalam lafaz takbir ‘wahazamal Ahzaaba wahdah’ yang bermaksud: “Dan Allah S.W.T. menghancurkan tentera Al-Ahzab dengan keesaan-Nya.”

Rapatkan saf dalam sembahyang jemaah kerana saf yang renggang adalah punca utama perpecahan. Rapatkan saf nescaya ALLAH akan betulkan hati sesama kamu (mencetuskan perpaduan). Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a.. dia berkata,

“Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, memegang dada dan bahu kami lalu bersabda, “Jangan lah kamu berbeza (tidak lurus safnya), kerana ia akan menjadikan hati kamu berselisih.” (Hadis Riwayat Muslim)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa Buka Telinga Hati

“”Ya Allah bukakanlah pendengaran hatiku untuk mengingatiMu … dan kurniakan ketaatan kepadaMu dan ketaatan pada RasulMu serta beramal dengan kitabMu” (Riwayat Thabrani daripada Sayyidina Ali)

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar berdoa supaya dibuka telinga hati. Dalam hadith yang lain pula disebut pintu hati, sepertimana kita orang Melayu biasa menyebut “semoga dibukakan pintu hatinya.

Hati sanubari adalah seumpama radar, baik hati itu maka baiklah seseorang itu. Hati jugalah yang akan diperiksa di ahkirat nanti.

Al-A’diyat [10] Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?[11] Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu

Setiap dosa atau maksiat menumbuhkan satu titik hitam dalam hati, sekiranya tidak dibersihkan dengan taubat atau istigfar, maka ia akan menutup cahaya iman dalam hati kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Cahaya iman dalam hati adalah cahaya yang lahir daripada dua kalimah syahadah. Cahaya iman inilah yang menunjukkan kita jalan yang perlu diikuti. Apabila dosa dilakukan dan tidak dicuci dengan istigfar, maka malaplah cahaya iman. Setelah cahaya iman itu malap, maka dosa yang besarpun dianggap kecil, sehingga ada yang berkata “aku minum arak je” atau “aku cuma tinggal sembahyang je”, sedangkan satu sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja itu akan mencampak mereka ke dalam neraka selama 80 tahun. Apabila cahaya iman sudah lemah, tidak semarak dan tidak bertenaga, maka tiada keinsafan yang akan lahir daripada hati.

Apabila seseorang itu merasa seronok dalam melakukan kebaikan dan berasa sedih dalam melakukan kejahatan, maka rasa itu adalah tanda iman sudah mula terserap dalam hatinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati ” (Riwayat At-Tirmizi)

Taatlah kepada Allah yang merupakan tuan dunia dan juga tuan agama kita. Patuhlah kepada syariat yang diperintahkan dan patuhlah kepada Nabi yang dilantik untuk menyampaikan syariatnya.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa Minta Ilmu, Sifat Lemah-Lembut, Ketakwaan dan Kesihatan

“ Ya Allah, Kayakanlah aku dengan ilmu, hiasi diriku dengan sifat lemah-lembut, muliakanlah aku dengan sifat ketakwaan dan cantikkanlah aku dengan nikmat kesihatan”.

Semua perkara berpunca daripada ilmu. Allah membantu kita untuk hidup di dunia dan juga di akhirat ini melalui ilmunya. Untuk mencari kehidupan di dunia ini kita perlu kepada ilmu, bahkan untuk masuk ke syurga juga kita perlu kepada ilmu. Ilmu adalah kunci kejayaan dunia dan akhirat.

Siapa yang berkehendakan kejayaan dunia, hendaklah mereka mencari ilmunya. Siapa yang berkehendakkan kejayaan akhirat, hendaklah mereka mencari ilmunya, tetapi siapa yang berkehendakkan kedua-duanya, hendaklah mereka mencari ilmu dunia dan akhirat.

Bahkan sifat Allah itu sendiri ialah ‘ilmun”. Ilmunya adalah ilmu yang asli, dan diberikan sedikit kepada makhluknya.

Sifat lemah-lembut adalah sifat para nabi. Dalam sebuah hadith disebut “hampir semua orang yang lemah-lembut menjadi nabi”. Setiap nabi bakal ditentang oleh umatnya dalam menyampaikan dakwah mereka. Para nabi akan dituduh dengan pelbagai tuduhan seperti gila, ahli sihir, dirasuk jin, penyair, pawang dan sebagainya. Orang yang tidak mempunyai sifat lemah-lembut tidak akan mampu bersabar dengan tuduhan-tuduhan seperti ini.

Ketakwaan adalah kepala atau kemuncak segala ketaatan (ibadah). Hanya dengan takwa (takut) kepada Allah sahajalah seseorang itu dapat melakukan segala ibadah. Semakin bertakwa, semakin rajinlah seseorang itu beribadah. Bahkan lafaz “ittaqullah” (bertakwalah kamu kepada Allah) adalah rukun dalam khutbah sembahyang jumaat bagi mazhab Syafie dan tidak boleh ditukarkan dengan perkataan lain.

Hanya dengan kesihatan yang baik kita dapat melakukan ibadah. Beribadatlah semasa muda lagi kerana masa muda kita masih lagi bertenaga dan mempunyai kesihatan yang baik. Selain itu pemuda yang melakukan ibadat digandakan pahalanya kerana semasa muda pelbagai godaan nafsu terpaksa ditempuhi berbanding mereka yang tua. Bahkan dengan kesihatan juga kita dapat mencari harta dunia, seorang yang sihat dapat bergerak cergas untuk mencari kehidupan dunianya.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Allah Pemberi Rezeki, Seorangpun Tidak Dilupakan

Dalam sebuah syair disebut ” Maha Suci Allah yang memberi rezeki kepada hambanya dan seorangpun dia tidak lupa.

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut:” Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan yang cukup untuk kamu”.

Semut pun menjawab: “Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku“.

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya:” Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?“

Jawab semut:”Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan“.

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan:”Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong”.

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: “Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah“.

Jawab semut:”Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku.

Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa“.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

SATU MINIT Yang Singkat

Apabila ditanya apakah yang telah kita dilakukan satu jam yang lepas, mungkin kita akan berfikir-fikir dan akan cuba mengingatinya. Mungkin kita katakan, kita menonton TV atau berbual-bual kosong sahaja. Jika diukur dari sudut agama, mungkin satu jam yang lalu tiada langsung atau sedikit sahaja yang boleh dikaitkan untuk agama sebagai bekalan hidup kita selepas kematian.

Itu kalau ditanya untuk satu jam yang lalu. Bagaimana pula kalau ditanya, apa yang telah kita lakukan SATU MINIT yang lalu? Mungkin kita berkata tiada apa yang boleh diukur dan dinilai bagi tempoh tersebut kerana ia terlalu singkat.

Sedarkah bahawa dalam SATU MINIT kita boleh manfaatkan dengan pelbagai jenis amalan untuk mendapatkan pahala di sisi Allah (swt). Di antara amalan yang boleh kita lakukan dalam SATU MINIT adalah:-

· Bertasbih sebanyak 100 kali

· Membaca separuh atau lebih halaman mashaf al-Quran

· Menelaah satu halaman buku agama

· Menulis nasihat-nasihat

· Membaca surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali

Inilah yang telah disebutkan oleh Allah (swt) dalam al-Quran;

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan-pesan dengan hak (kebenaran) serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-‘Asr, ayat 1-3)

(Dipetik dengan sedikit ubahsuai buku adaptasi karya Dr. ‘Aidh al-Qarni)

Wallahu a’lam.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)