Tuesday, June 21, 2011

Cerai isteri sebelum sentuh

Baqarah [236] Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: Suami yang senang (hendaklah memberi sagu hati itu) menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

Baqarah [237] Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

Dalam ayat pertama disebut “Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka.….”

Sah nikah walaupun tidak disebut maher atau maskahwinnya semasa akad nikah (ijabkabul). Mas kahwin adalah hak isteri. Dalam mazhab Syafie sah kahwin tanpa memberi mas kahwin tetapi dalam mazhab Hanafi tidak sah kahwin tanpa maskahwin.

Kahwin tanpa mas-kahwin hanya berlaku dalam satu kes sahabat Nabi sahaja. Namun pendapat ini menyalahi ayat Al-Quran yang menyebut supaya “carilah isteri atau berkahwinlah dengan menggunakan harta kamu”.

An-Nisaa [24] Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah) dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan mas kahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment