Sunday, January 23, 2011

Kisah Tsaalabah Yang Tidak Membayar Zakat

Pada zaman Rasulullah SAW ada seorang sahabat bernama Abu Tsaalabah yang hidup dalam keadaan miskin, tetapi terkenal sebagai seorang cukup taat mengerjakan sembahyang berjemaah bersama nabi serta sahabat. Nabi Muhammad SAW hairan kerana Abu Saalabah selalu balik cepat selepas selesai jemaah. Pada suatu hari Rasulullah SAW memanggilnya dan bertanya: “Wahai Tsaalabah, mengapa aku lihat engkau selalu terburu-buru pulang ke rumah.” Maka Saalabah pun menjawab: “Wahai Rasulullah, sebenarnya hamba ini seorang yang sangat miskin, kebetulan hanya inilah saja sehelai kain yang hamba miliki, oleh itu hamba tidak sempat untuk menunggu lama, sebab kain ini jugalah yang hendak dipakai oleh isteri hamba yang kini sedang menunggu untuk bersembahyang di rumah.

Pada suatu hari, Tsaalabah merayu, supaya Baginda mendoakan baginya semoga Allah Ta’ala memberinya harta kekayaan sehingga ia senang dan mewah. Mendengar permintaannya itu, Baginda menyuruhnya bersyukur dengan apa yang ada, kerana mungkin ia akan menyeleweng dan lupa daratan setelah ia menjadi kaya raya. Tsaalabah merayu lagi kepada Baginda sambil bersumpah, bahawa ia akan mengeluarkan sebahagian dan hartanya untuk membantu fakir miskin dan orang-orang yang berhak mendapat bantuan. Akhirnya Baginda berdoa ke hadrat Ilahi semoga Tha’labah diberi kemewahan sehingga ia menjadi seorang hartawan. Baginda memberinya 2 ekor kambing untuk dibela, lalu berkembang biaklah kambingnya itu sehingga dia terpaksa berpindah ke luar bandar Madinah kerana banyaknya kambing yang dibela dan kawasan ladang ternakannya sudah tidak mencukupi.

Pada ketika itu turun perintah Allah Taala mengenai zakat, lalu baginda mengutuskan dua orang pegawainya memungut zakat dengan membawa surat Baginda yang menerangkan jenis-jenis harta benda yang diwajibkan zakatnya. Mereka juga diperintahkan supaya singgah ke tempat Tsalabah mengambil zakat binatang ternaknya dan mengambil zakat dari seorang lagi yang tinggal tidak jauh dari situ. Setibanya mereka ke tempat Tsaalabah dan setelah mereka mengenalkan diri sebagai pemungut zakat dan membacakan surat Baginda kepadanya. Tsaalabah berbuat-buat tidak faham sambil merungut dengan mengatakan bahawa zakat yang dikenakan itu sama sahaja dengan cukai kepala jizyah, kemudian Tha’labah meminta mereka datang sekali lagi ke tempatnya sekembalinya mereka dari tempat lain.

Sekembalinya mereka singgah sekali lagi untuk memungut zakat dari Tsaalabah. Tsaalabah masih juga berdalih dan akhirnya dia meminta mereka pergi kerana dia hendak berfikir dahulu. Kembalilah mereka ke Madinah membawa zakat yang telah dipungut dan juga membawa berita Tsaalabah yang enggan membayar zakatnya. Sebaik-baik sahaja Rasulullah s.a.w melihat ketibaan ‘amil-’amilnya itu dan sebelum Baginda bertanya mereka, kedengaran Baginda menyebut bahawa Tsaalabah akan menerima balasan yang seburuk-buruknya.

Setelah Tsaalabah diberitahu oleh seorang sahabatnya tentang perkara itu, gementarlah dia lalu pergi bertemu Rasulullah s.a.w. untuk memohon maaf dan memohon hendak membayar zakatnya. Tetapi permohonannya ditolak oleh Baginda dengan bersabda: “Aku dilarang oleh Allah Taala menerima zakatmu”.

Tinggallah Tsaalabah dalam keadaan sesal dan merana, Ia menyesal atas apa yang dilakukannya. Dia berguling-guling di atas tanah sebagai tanda penyesalan, tetapi sesal kemudian tidak berguna, tinggallah dia sebagai seorang yang dimurkai sehinggalah Rasulullah s.a.w. wafat. Zakatnya juga telah ditolak oleh Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar dan Saiyidina Uthman r.a. dalam zaman pemerintahan masing-masing. Mereka tidak mahu menerima zakat daripada Tsaalabah kerana Rasulullah s.a.w. juga tidak menerima zakatnya. Demikianlah halnya sehinggalah ia mati dalam zaman Saiyidina Uthman r.a., dan kambing-kambing juga turut mati.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment