Sunday, January 23, 2011

Beristiqamahlah Dalam Beramal

Rasulullah s.a.w. bersabda “Beristiqamahlah, namun kamu tidak akan dapat menghitung nilai istiqamah. Ketahuilah, bahwa amalan kamu yang terbaik adalah solah (sembahyang). Yang dapat memelihara wudhu’ hanyalah mukmin (orang yang beriman)”. (HR Ahmad dan Ibnu Majah)

Beristiqamahlah iaitu tetapkanlah pendirian dan amalan. Sebaik-baik amalan yang istiqamah adalah sembahyang yang berterusan. Kerjakanlah sembahyang-sembahyang sunat disamping fardhu walaupun hanya sedikit bilangan rakaatnya tetapi lakukanlah secara berterusan.Sembahyang sunat itu dapat menampal kekurangan yang terdapat dalam sembahyang fardhu.

Hanya mukmin yang berkedudukan tinggi dapat istiqamah dalam memelihara wudhu’nya. Mereka ini akan mengulangi wudhu’ sekiranya terbatal dan sentiasa dalam keadaan berwuduk.

Amalan yang berterusan walaupun sedikit adalah perkara yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebagaimana di dalam hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya :”Ditanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun sedikit.”(Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah s.a.w. berkata “Aku ada masa aku untuk tuhanku”. Oleh itu peruntukkanlah masa yang khusus untuk berhubungan dengan Allah secara peribadi. Buatlah amalan atau wirid harian yang tetap walaupun sedikit, misalnya 10 minit setiap hari untuk berzikir atau istigfar kepada Allah. atau zikir “Laila ha illallah” 100 kali setiap sehari. Isilah masa dengan jadual atau program zikir supaya masa tidak terbuang begitu saja walaupun sedikit.


Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

0 comments:

Post a Comment