Saturday, March 31, 2012

Amalan Yang Paling Afdhal

Hadith daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu bahawasanya seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. “Amalan apakah yg paling afdhal? Baginda menjawab”Beriman kepada Allah dan Rasul Nya“. Ditanyakan kemudian apa lagi? Baginda menjawab “Berjihad di jalan Allah“. Ditanyakan lalu apa lagi? Baginda menjawab “Haji mabrur“.

Beriman kepada Allah dan Rasulnya adalah amalan yang paling utama. Setiap amalan hendaklah dilakukan kerana Allah. Tanpa iman, amalan tidak bernilai dan amalan yang dilakukan oleh golongan kafir adalah umpama debu yang berterbangan.

Furqan [23] Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.

Berjihad pula adalah bertujuan untuk meninggikan agama Islam, mendaulatkan atau menegakkan undang-undang, perintah, hukum Islam dan mempertahankan negara Islam daripada serangan musuh. Jihad hanyalah untuk Allah semata-mata, tidak ada jihad untuk mempertahankan bangsa.

Haji yang mabrur bermaksud haji yang diterima. Ulama berpendapat seseorang itu mendapat haji mabrur sekiranya dia menjadi lebih baik dari segi amalan dan meninggalkan perkara buruk yang pernah dilakukan sebelum mengerjakan haji. Untuk mendapatkan haji yang mabrur yang paling penting ialah memastikan duit untuk digunakan untuk mengerjakan haji adalah dari sumber yang halal. Dalam hadith disebut “Sesiapa yang mengerjakan haji dengan duit yang halal, tidak celupar mulutnya, tidak bercakap perkara keji, tidak bergaduh dan tidak bercakap perkara yang menaikkan nafsu, dia akan pulang dengan haji yang mabrur.

“Sesiapa yang melakukan Ibadah Haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya.” (Bukhari Muslim)

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. (Baqarah: 197)

Haji yang mabrur menghapuskan dosa yang lalu dan dijanjikan ganjaran syurga. Dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Haji mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Src: Suraya Harun (PSI Petronas)

0 comments:

Post a Comment