Monday, October 25, 2010

Bersabarlah

Rasulullah s.a.w. bersabda “Hairan sungguh urusan orang mukmin itu, semua urusannya baik belaka; perkara ini tidak akan didapati dalam diri seseorang kecuali pada orang mukmin. Iaitu apabila dia mendapat kebahagiaan maka dia bersyukur dan bersyukur itu baik baginya; apabila dia tertimpa musibah maka dia bersabar dan bersabar itu adalah hal yang baik baginya. (Riwayat Ahmad)

Mukmin ialah orang Islam yang patuh kepada Allah dan sentiasa mengambil kira dosa dan pahala dalam setiap urusannya, jika melakukan kesalahan dia akan cepat memohon keampunan.

Mukmin juga bersabar dalam apa jua urusannya.Bersabarlah dari melakukan kemaksiatan, sabarlah atas kemiskinan, sabarlah dalam melakukan ketaatan, sabarlah dalam penganiayaan, sabarlah dari kejian orang-orang kafir.

Az-Zumar [10] …Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Rasulullah s.a.w. bersabda ” Pertolongan Allah datang dengan bersabar, jalan keluar itu ada bersama dengan bala (karb), dan sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Riwayat Ibnun Najjar melalui Anas r.a.)

Pertolongan akan diberi oleh Allah mengikut tahap kesabaran kita. Kalau kita bertindak dan tidak bersabar, maka tiadalah pertolongan Allah.

Thoma’ninah

Abu Hurairah menceritakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. masuk masjid, lalu ada seorang lelaki datang ke masjid, kemudian dia bersembahyang. Setelah itu dia datang memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab salamnya dan bersabda: “Sembahyanglah semula, kerana sesungguhnya kamu belum bersembahyang”. Lalu lelaki itu pun pergi bersembahyang sebagaimana yang dia lakukan tadi. Kemudian dia datang berjumpa Nabi s.a.w. dan memberi salam. Rasulullah menjawab salam dan bersabda: “Sembahyang semula, kerana sesungguhnya kamu belum bersembahyang”. Lalu dia lakukan sehingga tiga kali. Akhirnya lelaki itu berkata: Demi Allah, hanya ini yang paling baik yang mampu aku lakukan. Ajarkanlah daku.

Baginda bersabda:“Bila kamu bangun untuk bersembahyang, maka sempurnakanlah wudhuk, kemudian hadapkanlah kiblat, kemudian kamu bertakbirlah. Bacalah apa sahaja yang kamu ingat daripada al-Qur’an , kemudian rukuklah sehingga tenang (thoma’ninah) dalam keadaan rukuk, kemudian bangunlah iktidal sehingga tenang berdiri (iktidal), kemudian sujudlah sehingga tenang bersujud, kemudian bangunlah (untuk duduk) sehingga tenang duduk, kemudian sujudlah sehingga tenang bersujud, kemudian bangunlah berdiri. Dan lakukanlah semua ini dalam setiap (rakaat) sembahyangmu”. [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim].

Ulasan

Dalam mazhab Syafie dan Hambali, thoma’ninah adalah salah satu dari rukun sembahyang.

Dalam mazhab Hanafi dan Maliki, thoma’ninah adalah sunat dan bukannya rukun sembahyang. Ini kerana nabi tidak menyuruh lelaki itu mengulangi solatnya setelah diajarkan cara solat yang betul.

Kaedah membuat hokum dalam mazhab

Hadith yang tidak diamalkan

Lelaki itu tidak mengamalkan hadith yang diriwayatkan. Apabila seorang perawi hadith tidak mengamalkannya maka ia bukanlah rukun atau wajib pada mazhab Hanafi. Namun mazhab Syafie tidak mengambil kira samada hadith itu diamalkan atau tidak oleh perawinya, selagi ia adalah hadith yang betul ia dikira rukun atau wajib.

Terdapat juga contoh yang lain misalnya dalam kes samak pakaian atau bekas yang terkena jilatan anjing. Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Bersabda Rasulullah s.a.w;”Membersihkan bejana yang dijilat anjing, adalah dengan membasuhnya tujuh kali dan basuhan yang pertama dicampur dengan tanah.”. Walaubagaimanapun Abu Hurairah r.a. sendiri cuma membasuh sebanyak 3 kali dengan air biasa sahaja. Abu Hurairah r.a mengamalkan hadith yang mengatakan cuma perlu dibasuh dengan air biasa sahaja sebanyak 3 kali. Maka dalam Mazhab Hanafi samak hanya dengan basuhan 3 kali air biasa manakala dalam mazhab Syafie samak perlu dengan basuhan 7 kali.

Wallahu a’lam

Bila jenazah diusung

Diriwayatkan dari Abu Sa’id Al Khudri r.a. : Rasulullah Saw pernah bersabda, “Apabila jenazah telah siap dan para lelaki mengusungnya di atas bahunya, jenazah orang soleh akan berkata, ‘cepatlah’. Tetapi jenazah orang yang tidak soleh akan berkata, ‘celakah ! ke mana kamu akan membawaku?’. Suaranya terdengar oleh semua alam, kecuali manusia. Dan sekiranya manusia (dapat mendengarnya) ia akan jatuh pengsan”.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. : Nabi Muhammad Saw pernah bersabda, “bersegeralah dengan jenazah kerana apabila ia seorang yang saleh, kau membawanya ke sesuatu yang baik. Dan apabila sebaliknya (bukan seorang yang soleh), kau meletakkan keburukan di atas lehermu.”

Dalam satu hadith disebut, kubur itu pintu ke alam Barzakh (alam perantaraan). Ada orang rasa sekejap sahaja masa di alam barzakh, ada yang merasa lama. Rasulullah saw mengingatkan umatnya supaya mereka meminta perlindungan Allah s.w.t dari azab kubur. Azab kubur adalah azab yang halus. Selain dari azab halus, ada juga nikmat halus. Kubur itu satu taman dari taman syurga atau satu gaung dari gaung neraka. Terpulanglah kepada keadaan seseorang. Kitalah yang membentuknya. Dalam hadith yang lain pula, sesiapa yang meninggal dunia, maka tertegaklah hari kiamatnya” (kiamat kecil).

Dalam mazhab Hanafi, jenazah dihantar terlebih dahulu sebelum orang ramai pergi ke kubur. Dalam mazhab Syafie pula orang ramai pergi dahulu ke kubur sebelum jenazah mengikuti dari belakang. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dari hadith-hadith.

Dalam hadith ada disebut supaya jangan menceritakan keburukan orang yang telah mati.

Amalan talkin yang sebenarnya ialah mengajar seseorang itu menyebut “La ilaha illallah” sebelum dia meninggal dunia. Dari Abu Hurairah, Rasululullah saw bersabda “Ajarlah orang yang akan mati (dekat saat kematian) dikalangan kamu “La ilaha illallah”(Riwayat Muslim). Talkin yang dibaca selepas seseorang meninggal dunia bukanlah dari mana-mana mazhab, cuma dari seorang murid Imam Syafie iaitu Imam Muzani. Paderi-paderi Kristian yang berkedudukan juga mengamalkan talkin iaitu sebelum mereka meninggal dunia, mereka akan mengajar talkin. “kalau ada malaikat datang dan bertanya beritahu mereka Nabi Muhammad itulah nabi yang sebenarnya”.

Soal-jawab dalam kubur

Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:Apabila ditanam mayat, maka didatangi dua malaikat yang hitam legam dan matanya biru dikenali dengan Mungkar dan Nakir yang mendudukkan mayat itu dan memasukkan roh ke dalam jasadnya dan bertanya:“Apa yang kamu katakan (apa pendapat kamu) tentang lelaki ini”

Dalam Riwayat Abu Daud disebut, “Apa akidah kamu tentang lelaki ini?Allah akan memberi hidayah kepada orang mukmin yang akan menjawab “Ini Rasul kami” dan kami telah beriman dengannya”

Dalam satu riwayat yang lain, “Siapa lelaki ini yang diutuskan kepada kamu?” Orang mukmin akan menjawab itu hamba Allah dan Rasulnya. Aku naik saksi Muhammad itu hamba Allah dan rasul kamu. Malaikat mengatakan “aku tahu kamu boleh jawab”

Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?

Al-Mu’minuun [112] Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?

Al-Mu’minuun [113] Mereka menjawab: Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung (umur).

Dalam hadith ada disebut 500 tahun di bumi (dunia) ini adalah bersamaan setengah hari di akhirat. Dikatakan Nabi Adam yang tinggal selama 153 tahun di dunia ini pula hanyalah bersamaan sekitar 1 jam di akhirat nanti.

Dunia yang sekejap ini tempat ujian

Al-Mu’minuun [114] Allah berfirman: Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

Sedikit sahaja masa diberi di dunia ini kerana ia hanyalah tempat ujian.Untuk masuk ke syurga pelbagai ujian harus dilalui. Ujian pertama ialah ujian keimanan iaitu 6 rukun iman yang terdiri dari 4 perkara ghaib dan hanya 2 perkara yang nampak iaitu kitab dan nabi (orang terdahulu boleh melihat para Nabi). Seterusnya manusia diuji dengan ujian Islam seperti yang terkandung dalam 5 Rukun Islam iaitu mengakui Allah itu tuhan, Nabi Muhammad itu Rasul dan apa yang dibawanya adalah benar, mengerjakan sembahyang, puasa, menunaikan zakat dan haji. Masuk ke syurga ialah satu kejayaan yang besar dalam ujian ini kerana syurga ialah hari raya yang sebenar dan di sana kita menjadi tetamu Allah.

Juga diuji dengan kemewahan, mereka yang gagal dan mati dalam kekafiran pula disediakan neraka

At-Taubah [55] Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

Baqarah [24]……(iaitu Neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. ;

Allah cipta manusia tidak sia-sia

Al-Mu’minuun [115] Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Di dalam sebuah hadits qudsi, Allah berfirman: Aku adalah khazanah tersembunyi dan aku ingin diketahui. Kerana itu lalu aku menciptakan makhluk agar aku diketahui

Allah mencipta manusia untuk diberikan syurga. Syurga itu milik Allah yang diwariskan:

Maryam [63] Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertakwa dari hamba-hamba Kami.

Allah Tuhan Yang Sebenar

Al-Mu’minuun[116] Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.

Allah menegaskan bahawa dia adalah tuhan yang sebenar.

Al-Hajj [73] Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya) dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

Cinta

Dalam satu hadith disebut “Cinta kamu pada sesuatu membuat matamu buta dan telingamu tuli. Cinta Allah dan Rasul sahaja yang tidak begitu”

Seperti kata pepatah melayu “cinta itu buta”, malah ada yang sanggup meninggalkan keluarga dan ibu-bapa kerana cinta pada seseorang.

Cinta yang sia-sia adalah umpama dalam kisah cinta Laila Majnum. Majnum bermaksud “orang gila”. Gila sehingga dia menulis nama Laila di pasir dan memadamnya berulang kali. Apabila ditanya kenapa dia menulis nama Laila berulang kali, jawabnya “aku bimbang aku akan lupa namanya”. Majnum juga akan memberi makan roti kepada anjing-anjing yang dikatakan tidur di lorong Laila. Pendek-kata semuanya untuk Laila. Segala sesuatu yang berasal dari tempat kekasihnya akan dikasihi dan disayangi sama seperti kekasihnya sendiri.

Perasaan cinta adalah dari Allah, manakala benci pula dari syaitan. Dalam satu hadith disebut “sesiapa yang meninggal dunia kerana rindu, dia dikira mati syahid” (misalnya seseorang yang merindui keluarganya lalu pulang ke kampungnya dan meninggal dalam perjalanan.

Cinta itu sebenarnya suci cuma manusia yang mengotorkannya dengan nafsu buruk mereka. Kerana cinta kepada Allah jugalah terhasilnya para ulama dan wali Allah seperti diceritakan dalam kisah Rabiatul Adawiyyah dan Syed Muhyiddin yang sangat cintakan Allah.

Ilmu tasauf atau tarikat mempunyai kelebihannya seperti ia boleh menghidupkan hati agar mencintai Allah. Dalam ilmu tarikat ada 3 jenis fana’ (tenggelam dalam kasih sayang) iaitu Fana’ pada guru, Fana’pada Nabi s.a.w, Fana’ pada Allah. Bila sesorang itu mencapai tahap fana’ fillah ia akan merasakan dirinya terlalu kecil berbanding Allah, sehingga ia merasa lebih kecil dari semut.

Secara mudahnya fana fillah ini ialah seperti mana kasih antara suami isteri yang berkata ” dalam hatiku tiada yang lain, cuma ada kamu“. Yang dimaksudkan bukanlah badan suami atau badan isteri yang berada dalam hatinya tetapi kasih sayang. Ini juga yang berlaku dalam kisah wali, Ba Yazid (Abu Yazid Al-Busthani) yang mengatakan : “tidak ada dalam jubah ini (jubah yang dia pakai) kecuali Allah”. Hakikatnya, bukan Allah menjelma dalam jubahnya yang dimaksudkan tetapi kasih sayang Allah yang berada dalam jubahnya

Selain dari mempelajari ilmu tarikat, ada juga yang berjaya mendapat cinta Allah dan menjadi wali melalui sembahyang-sembahyang sunat nawafil (sembahyang sunat mutlak, semata-mata kerana Allah selain dari sembahyang sunat rawatib yang mengiringi sembahyang 5 waktu).

Sabda Rasulullah “Wala Yazalu ‘Abdi Yataqarrabu Ilayya Bin Nawafil… sentiasalah ada hamba-hambaku yang mendekatkan dirinya kepadaku melalui sembahyang-sembahyang sunat nawafil, Aku akan mencintainya, dan apabila aku mencintainya maka aku akan menjadi telinga yang denganya ia mendengar, aku akan menjadi penglihatannya yang dengan itu ia melihat dan aku akan menjadi tangannya yang dengan itu ia berbuat dan aku akan menjadi kakinya yang dengan itu ia melangkah”.

Dalam Hadith Qudsi Nabi s.a.w. bersabda bahwa Allah SWT berkata: “Kalau Allah SWT mencintai seorang hamba, maka beliau memanggil Jibril. “Wahai Jibril! Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia. Lalu Jibril memanggil penghuni langit. “Wahai penghuni langit! Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia. Lalu penghuni bumipun mencintainya”

Sayangilah Allah, “sebut-sebutlah Allah ” dan ingatlah Allah samada melalui zikir lidah, zikir hati atau zikir nafas. Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Syurga adalah satu tempat yang melahirkan “Rahim” (kasih sayang) Allah s.w.t. Siapa ingin melihat kasih sayang Allah di Syurga hendaklah mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangannya. Patuhilah Allah supaya kita selamat dan Allah akan menolong walau dimana kita berada. Allah menyayangi kita lebih dari kita sayang kepada anak kita. Allah mahu semua manusia masuk syurga, tapi Allah tak paksa kerana hidup ini adalah satu ujian

Oleh itu sayangilah Allah dan Rasul.Jangan mencintai perkara lain lebih daripada Allah, Rasul dan jihad.

At-Taubah [24] Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

Perempuan dan aurat

Dalam satu hadith disebut, “Syaitan menunggu-nunggu bila perempuan hendak keluar dari rumahnya”. Apabila perempuan berjalan keluar, dua syaitan meng”eksploitasi”nya, satu syaitan menghiasi depan dan satu lagi menghiasi belakangnya. Syaitan mengguna-pakai perempuan untuk mempesona para lelaki di luar rumahnya.

Ibnu Mas’ud ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda , “Wanita adalah objek yang tersorok (aurat), apabila ia keluar syaitan akan menghias mereka untuk menggoda kaum lelaki” (At-Tirmizi).

Tutup aurat itu terdiri dari dua perkara iaitu menutup kulit badan dan menutup bentuk badan (susuk badan). Pakai baju yang longgar-longgar supaya tidak nampak bentuk badan. Ini kerana pakaian yang ketat boleh menarik perhatian orang. Selain itu pakaian yang jarang menampakkan aurat tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampakkan warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.

Apabila nafsu seseorang lelaki terangsang setelah melihat perempuan yang mendedahkan aurat, ia mungkin terbawa-bawa sehingga ke bilik tidurnya semasa berjimak dengan isterinya. Akibatnya ramailah anak perempuan yang lahir setelah melihat perempuan yang membuka selera nafsu lelaki. Dalam hadith disebut bahawa pada akhir zaman bilangan perempuan melebihi lelaki.

Di antara tanda qiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus limapuluh orang perempuan.”H.R. Bukhari Muslim

Perempuan yang dedah aurat tidak cium bau syurga

Nabi bersabda bermaksud: “Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia, dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liuk badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.” (Hadis riwayat Muslim)

Nabi SAW pernah bersabda: “Perempuan yang memakai baju tetapi telanjang, dan dia memandang lelaki lain, dan membuatkan lelaki-lelaki lain terpandang kepadanya, maka perempuan ini tidak akan cium bau syurga. Sedangkan bau syurga sudah pun boleh dibau dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Ahli Sunnah Wal-Jamaah berpendapat bahawa tidak mencium bau syurga bermaksud mereka lambat masuk syurga (tetap masuk syurga sekiranya mereka memiliki iman)


Seimbang dunia akhirat, berdikari dan tidak meminta

Rasulullah s.a.w. bersabda, Siapa mencintai dunianya, mudarat lah akhiratnya, dan siapa yang mencintai akhirat, mudaratlah dunianya; oleh itu utamakanlah yang kekal berbanding yang fana. (Riwayat hakim melalu Abu Musa r.a.)

Kalau kita suka sangat dunia, mudaratlah akhirat kita. Terlalu mengejar dunia boleh mencederakan akhirat, tiada masa untuk ibadat seperti sembahyang berjemaah. Begitu juga sebaliknya. Kalau kita suka sangat akhirat, mudaratlah dunia kita.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. kata dua-dua kena seimbang. Dunia pun buat, akhirat pun buat. Cari dunia supaya tidak menyusahkan orang lain, tidak payah minta derma dan pertolongan orang lain. Dalam satu hadis yang panjang, “tidak dikira baik orang yang kejar akhirat semata-mata dan tinggal dunianya, dan tidak dikira baik orang yang kejar dunia semata-mata dan tinggal akhiratnya“.

Dalam hadis yang lain, jangan bebankan diri kamu ke atas orang lain. Seperti dalam satu kisah seorang yang sentiasa duduk dalam masjid dan tidak keluarga untuk bekerja. Beliau hanya mengharapkan makanan dari adik-beradiknya. Rasulullah kata adik-beradiknya lebih baik. Mereka sembahyang jemaah dan bekerja.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang dapat memberi jaminan kepada aku yang dia tidak meminta sesuatu dari manusia, aku jamin syurga baginya. (Riwayat Abu Daud dari Thauban) Islam menggalakkan umatnya berdiri atas kaki sendiri (berdikari) dan tidak meminta dari orang lain, kecuali sekadar keperluan. Misalnya meminta bantuan setelah ditimpa kecurian, itupun meminta sekadar untuk keperluan seperti makan dan duit tambang.

Dalam satu hadith yang panjang, antara isinya ialah ” jangan kamu beratkan masalah kamu pada orang lain”.Dalam hadith yang lain, lebih kurang maksudnya ” gugur daging muka di akhirat” kerana meminta melebihi keperluan. Ia boleh menjatuhkan airmuka sendiri.

Kisah jemaah haji Yaman

Pada satu masa para jemaah dari Yaman telah pergi mengerjakan haji tanpa membawa sebarang bekal. Apabila ditanya kenapa tidak berbekal, jawab mereka “kami bertawakkal kepada Allah”. Rupa-rupanya mereka telah meminta sedekah untuk menampung perbelanjjan haji mereka. Lalu turun ayat:

Baqarah [197] (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).