Thursday, January 5, 2012

Bila Dunia Dibesar-besarkan Dan Dakwah Ditinggalkan

Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila umatku membesar-besarkan dunia nescaya kehebatan Islam akan dihapuskan dari mereka, dan apabila umatku mengabaikan amal-makruf dan nahi-mungkar nescaya mereka akan diharamkan dari keberkatan wahyu.”

1) Apabila dunia terlalu dibesar-besarkan, tercabutlah kehebatan agama Islam. Misalnya kerana terlalu mengejar kemewahan dunia, sembahyang jemaah dan pengajian agama ditinggalkan.

Dunia ini sangat kecil berbanding akhirat. Bahkan dijelaskan dalam hadith dari Aisyah dari Nabi s.a.w sabdanya “ Dua rakaat sebelum subuh lebih baik daripada dunia dan seisinya .” (HR Muslim )

Islam menekankan kedua-duanya, dunia dan akhirat.

Qasas [77] Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia …

Dunia ini adalah jambatan untuk ke akhirat. Hadis daripada Anas r.a yang diriwayatkan oleh Ibn `Asakir, maksudnya:

Tidaklah dikira baik sifat orang yang membelakangkan “keadaan hidupnya” di alam dunia ini kerana berusaha untuk kebaikan dan kebahagiaan akhiratnya semata-mata, juga tidak dikira baik sifat orang yang membelakangkan kewajipan akhiratnya kerana berusaha untuk “keadaan hidupnya” di alam dunia ini semata-mata; tetapi baiknya sifat seseorang apabila ia berusaha untuk “keadaan hidupnya” di alam dunia ini dan untuk kebaikan, kebahagiaan akhiratnya sama, kerana keadaan hidup di alam dunia ini sungguhpun telah ditetapkan Allah menjadi sebab yang menyampaikan seseorang kepada kebahagiaan akhiratnya tetapi janganlah seseorang membiarkan dirinya menjadi beban kepada orang lain menjaga “keadaan hidupnya” di alam dunia ini, bahkan hendaklah ia sendiri berusaha menjaganya.

Tiap-tiap kebaikan atau dosa yang dilakukan di sini (dunia) akan dihantar ke sana.

Ali-Imran [30](Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya) dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya…

An-Nahl [96] (Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.

2) Apabila amal ma’ruf dan nahi mungkar ditinggalkan, hilanglah keberkatan wahyu.

Bila manusia tidak mengajak ke arah kebaikan dan melarang kejahatan(berdakwah), maka ayat quran yang dibaca tidak lagi difahami hakikatnya dan tidak menjadi penawar. Sepertimana bila dakwah ditinggalkan. Tanpa usaha dakwah (amal ma’ruf dan nahi mungkar) Allah tidak terima doa.

Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah (SWT) s.w.t yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Jika kalian tidak melakukannya Allah (SWT) s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan.(Riwayat Tirmidzi)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Sayangilah Allah dan Zikrullah

Sayangilah Allah, “sebut-sebutlah Allah ” dan ingatlah Allah samada melalui zikir lidah, zikir hati atau berfikir tentang kebesaran Allah. Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Sayangilah 4 perkara iaitu Allah, Rasulullah, Agama Islam dan Orang Islam. Belajarlah 4 perkara iaitu Quran, Hadith, Akidah dan Fekah.

Siapa yang menyayangi sesuatu, dia akan sentiasa menyebutnya (melalui mulut) atau mengingatinya (melalui hati).

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Ahzab:21)

Dari Abu Darda ra bahwa Rasulullah saw bersabda :Mahukah kamu akan ku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu,paling disenangi oleh TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah atau ketika kamu menang? Jawab mereka : Mahu, wahai Rasulullah. Sabda beliau: Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(HR, Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.

Berzikir boleh dilakukan sambil berjalan kaki, memandu kereta, bahkan sambil berbaring di atas tilam yang empuk pun boleh berzikir. Ramai juga yang masuk syurga VIP kerana berzikir di atas tilam yang empuk.

Abu Said Al-K hudri r. a memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati ALLAH s.w.t di atas tilam yang empuk, yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat tertinggi di dalam syurga.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa yang Mantap

Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".

Ini adalah salah satu doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Baginda suka doa yang ringkas tetapi padat. Misalnya cukuplah sekadar
meminta syurga, tidak perlulah diperincikan bentuk mahligai syurga itu
seperti yang diminta oleh seorang sahabat:

Diriwayatkan daripada Abi Nu'amah, bahawa Abdullah bin Mughaffal
mendengar anaknya berdoa, dengan katanya : Ya Allah, aku memohon agar
dikurniakan mahligai putih di sebelah kanan syurga apabila aku masuk ke
dalamnya (syurga) nanti. Sabda Nabi saw: Diriwayatkan daripada Aisyah ra
katanya : Nabi saw sukakan doa yang menyeluruh dan baginda tinggalkan
selain dari itu.

Banyak lagi doa-doa yang diajar dan disebut dalam hadith-hadith Baginda
misalnya:

""Ya Allah bantulah aku dengan memudahkan setiap yang susah kerana
memudahkan yang susah itu senang sahaja bagiMu dan aku memohon kepadaMu
kemudahan dan kemaafan, dunia dan akhirat" (Riwayat Thabrani daripada
Abu Hurairah r.a.)"

Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku (kasihani) dan masukkanlah aku
(ke dalam syurga) bersama orang-orang yang dikurniakan nikmat".

Wahai tuhan kami, tidak ada kehidupan yang sebenar melainkan di akhirat.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa Untuk Dapat Cinta Allah

Ya Allah, kurniakanlah aku kasih sayang kepada-Mu, kasih sayang kepada orang yang kasih kepadanya berfaedah bagiku, Ya Allah, apa yang engkau telah kurniakan kepadaku yang aku sukai, jadikanlah ia sebagai kekuatan untuk melakukan apa yang engkau sukai. Ya Allah, apa yang engkau telah palingkan (tidak dikurniakan), jadikanlah ia sebagai kesempatan untuk melakukan apa yang engkau sukai (Riwayat Tirmidzi).Ya Allah, kurniakanlah aku kasih sayang kepada-Mu

Rasa cinta kepada Allah ialah rasa seronok apabila mengingati Allah. Allah menerima cinta walaupun daripada hambanya sendiri. Perlu ada perasaan cinta kepada Allah untuk menjadi seorang wali. Cinta itu adalah satu seni yang suci, cuma manusia yang mengotorkannya dengan maksiat. Ibadat yang besar ialah menyayangi Allah. Apabila seseorang menyayangi Allah, maka Allah menyayanginya, dan diletakkan orang yang disayanginya itu di syurga, sebuah tempat kepunyaan Allah untuk menzahirkan kasih sayangnya kepada hamba yang taat.

Kasih sayang kepada orang yang kasih kepadanya berfaedah bagiku.

Misalnya kasih kepada Rasulullah s.a.w. , kepada para sahabat dan umat Islam yang lain.

Ya Allah, apa yang engkau telah kurniakan kepadaku yang aku sukai, jadikanlah ia sebagai kekuatan untuk melakukan apa yang engkau sukai.

Sebagai contoh, kita suka dengan rezeki halal yang diberikan oleh Allah. Maka gunakanlah ia untuk melakukan perkara yang disukai Allah seperti ibadat umrah dan sebagainya. Kita suka dengan kereta atau motor yang dimiliki, maka gunakanlah ia untuk ke masjid sembahyang berjemaah dan menghadiri majlis ilmu.

Ya Allah, apa yang engkau telah palingkan (tidak dikurniakan), jadikanlah ia sebagai kesempatan untuk melakukan apa yang engkau sukai.

Misalnya jikalau kita tidak mendapat sesuatu yang diidamkan seperti projek atau tidak berjaya dalam tender, maka bentuklah hati untuk menerima kekecewaan dan janganlah merajuk dengan Allah.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa Mohon Kebaikan dan Seronok Melakukan Kebaikan

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan samada yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui, dan aku berlindung denganmu daripada semua kejahatan samada yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui. (Riwayat Thabrani melalui Jabir Ibnu Samurah)

Ya Allah, jadikanlah aku daripada orang-orang yang gembira apabila melakukan kebaikan dan berdukacita apabila melakukan kejahatan. (Riwayat Ibnu Majah melalui Siti Aisyah r.a.)

Apabila seseorang itu berasa gembira dalam melakukan kebaikan dan berasa dukacita melakukan kejahatan, maka rasa itu adalah tanda iman sudah mula terserap dalam jiwanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati ” (Riwayat At-Tirmizi)

Apabila sesorang itu melakukan dosa, gelaplah cahaya imannya kerana titik hitam mula tumbuh dalam hatinya:

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda: “Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Doa Keampunan

Wahai Tuhan ampuni kesalahanku, kejahilanku dan keterlanjuranku semuanya, dan apa yang Engkau lebih tahu tentangnya daripada aku, Ya Allah ampuni aku, juga kesengajaanku, kebodohanku, dan kealpaanku, dan semuanya daripada aku, Ya Allah ampuni dosa apa yang terdahulu dan apa yang terkemudian, apa yang tersembunyi dan apa yang nyata, Engkau Yang Terdahulu dan Engkaulah Yang Tiada Kesudahan, dan Engkau Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu (Riwayat Al Bukhari)

Di dalam Al-Quran, Allah berfirman bahawa dosa yang diampunkan ialah dosa yang dilakukan kerana disebabkan kejahilan (tidak tahu perkara yang dilakukan itu salah).

Sesungguhnya penerimaan taubat itu diampun oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (An-Nisaa:17)

Ada dua pendapat ulama dalam kes ini.

Pendapat pertama mengatakan bahawa orang yang melakukan dosa kerana kejahilannya sahaja yang boleh bertaubat.

Pendapat kedua pula ialah orang yang melakukan dosa itu sebenarnya adalah seorang yang jahil (walaupun dia mengetahui). Mereka ini masih boleh bertaubat dan hendaklah tidak mengekalkan (berterusan dalam melakukan dosa)

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Ali-Imran:135)

Kesimpulannya, mereka yang melakukan dosa samada kerana jahil atau tidak (tahu perkara yang dilakukan itu salah) masih boleh bertaubat selagi tidak menghampiri kematian atau tidak mati dalam kekafiran.

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, (sedang taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (An-Nisaa:18)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Tazkirah - Doa Jadi Hamba Sabar, Syukur dan Tawadduk

Doa Jadi Hamba Sabar, Syukur dan Tawadduk

"Ya Allah jadikan aku ini hambamu yang banyak bersyukur, dan jadikan
aku ini hambamu yang banyak bersabar dan jadikan aku hambamu yang kecil
pada pandanganku tapi besar di mata orang".

Bersyukurlah dalam semua keadaan, ucapkanlah Alhamdulillah dalam apa jua
keadaan, samada mendapat kurniaan yang banyak atau sedikit dan janganlah
pula merajuk dengan Allah s.w.t.

Salah satu daripada nama Allah ialah As-Sobur. Sabar ialah tetap
pendirian di atas kebaikan. Allah paling banyak bersabar. Walaupun ramai
manusia yang derhaka, namun Allah tidak membinasakannya serta merta.

Allah bersama-sama dengan orang yang sabar dan pertolongan Allah datang
beserta dengan kesabaran.

Al-Baqarah [249] ....dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang
sabar.

Rasulullah s.a.w. bersabda "

Pertolongan Allah datang dengan bersabar, jalan keluar itu ada bersama
dengan bala (karb), dan sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai
kemudahan, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Riwayat
Ibnun Najjar melalui Anas r.a.)

Kata pepatah asing "Hasil kesabaran ialah buah yang manis"

Mintalah agar menjadi seorang yang kecil pada pandangan mata sendiri.
Jangan jadi seperti iblis yang merasa dirinya besar.

Al-A'raf [12] Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekatmu
daripada sujud ketika Aku perintahmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik
daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia
Engkau jadikan dari tanah.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)