Friday, October 7, 2011

Segala Perkataan Nabi Adalah Benar

Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata: “Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka? ” Setelah itu aku pun berhenti dan menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: “Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dari mulutku ini melainkan yang benar. ” (Abu Daud)

Pada permulaan Islam Rasulullah s.a.w. melarang percakapannya ditulis kerana bimbang sahabat keliru di antara hadith dan ayat quran. Namun akhirnya setelah Islam semakin mantap, baginda mengizinkan sahabat menulisnya.

Nabi Muhammad s.a.w. bersifat Siddik iaitu Baginda hanya mengatakan apa yang benar dan tidak memperkatakan sesuatu mengikut hawa nafsunya, melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah.

An-Najm [3] Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.[4] Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya

Hadith tidak bercanggah dengan quran, cuma kadangkala terdapat kesalahan dalam memahaminya. Selain itu terdapat perubahan dalam hadith setelah hukum-hakam Islam dimantapkan. Misalnya dipermulaan Islam dibenarkan bercakap-cakap dalam sembahyang namun akhirnya ia dibatalkan. Dipermulaan Islam, dibenarkan orang yang belum sembahyang boleh bertanya bilangan rakaat kepada orang yang sedang sembahyang dan dibenarkan mereka menjawab pertanyaan itu. Selain itu ada juga hadith yang tidak dibatalkan tetapi ditinggalkan (tidak diamalkan) oleh Rasululllah s.a.w. misalnya bacaan qunut dalam sembahyang Subuh. Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya dibaca qunut kerana hadith tentang qunut tidaklah dibatalkan oleh hadith yang lain.

Hadith menerangkan dan menjelaskan ayat-ayat quran. Misalnya hadith menerangkan cara sembahyang secara terperinci misalnya tentang bacaan tahiyyat, bacaan fatihah dalam sembahyang, sedangkan quran cuma menyebut tentang sujud, rukuk dan membaca apa-apa ayat quran sebagai bacaan dalam sembahyang.


Src : Suraya Harun (Mitco Petronas)

Ikut Quran dan Sunnah Tidak Sesat

Dari Zaid bin Arqam, r.a. katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kitab Allah Azza wa Jalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya: Beradalah ia dalam hidayat pertunjuk yang sebenar-benarnya dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya: Beradalah ia dalam kesesatan. ” (Muslim)

Ali-Imran [103] Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) …..

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: “Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah,” (s.a.w.).(Imam Malik).

Src : Suraya Harun (Mitco Petronas)

Thursday, October 6, 2011

Kenapa Umat Islam Sembah Ka'abah?

Satu hari di majlis hi-tea Inter Faith Gathering di sebuah restoran mamak……

Missionary : Mengapa orang Islam, dia sembah kotak hitam ?

Pendakwah : Salah tu bro. Umat Islam sembah ALLAH bukan kotak hitam.

Missionary : Bukankah orang Islam sembah menghadap ke Kaabah, satu kotak berwarna hitam ? Apakah ALLAH itu dalam Kaabah ?

Belum sempat pendakwah menjawab …. Handphone N95 missionary berbunyi ….. Missonary menjawab panggilan telefonnya …. Pendakwah sabar menanti ….. Setelah Missionary selesai menjawab panggilan di N95-nya, dia merenung kepada Pendakwah …. Pendakwah tersenyum ….

Missionary : Mengapa tersenyum ? Bila awak hendak jawab soalan saya ?

Pendakwah : Erm … perlukah saya menjawab soalan awak ?

Missionary : Awak tak ada jawapan ?

Pendakwah : Bukan itu maksud saya. Tadi saya cuba gunakan teori yang awak gunakan untuk membuat soalan yang awak ajukan kepada saya. Saya dapati awak kurang siuman.

Missionary : Mengapa awak caka begitu ?

Pendakwah : Tadi saya lihat awak bercakap seorang diri, ketawa dan tersenyum seorang diri. Dan awak mencium handphone tu sambil cakap “I love you mom” …

Missionary : Saya bukan cakap seorang diri. Saya bercakap dengan emak saya. Dia yang telefon saya tadi.

Pendakwah : Mana ada emak awak. Saya tak nampak pun emak awak.

Missionary : Emak saya di Penang. Dia telefon saya, saya jawab gunakan telefon. Apa masalahnya ? (Nada suara Missionary semakin tinggi dan marah). Takkan itu pun awak tak boleh hendak fikir ?

Pendakwah : Boleh saya tengok handphone awak ?

Missionary menghulurkan N95nya kepada Pendakwah. Pendakwah mengambi N95 tersebut….. Pendakwah membelek-belek N95 tersebut …. Pendakwah menggooncang-goncang N95 tersebut sambil mengetuk-ngetuk N95 tersebut ke muka meja … Lantas …. Pendakwah menghempaskan sekuat hati N95 tersebut ke lantai ….. bersepaiiiiiiiiii …..

Merah padam muka Missionary menahan marah.

Pendakwah merenung muka Missionary sambil tersenyum ….

Pendakwah : Mana emak awak ? Saya tengok taka da pun. Saya pecahkan handphone ni pun taka da emak awak dalam handphone.

Missionary : MENGAPA AWAK NI BODOH SANGAT ? Teknologi komunikasi sudah maju. Kita boleh berhubung jarak jauh menggunakan talian telefon dan teknologi wireless. Awak tak guna otakkah ?

Pendakwah : Alhamdulillah (sambil tersenyum) …. Begitu juga halnya dengan ALLAH. Umat Islam menyembah menghadap Kaabah, bukan bermakna umat Islam menyembah Kaabah. Tetapi umat Islam menyembah atas arahan ALLAH. ALLAH mengarahkan umat Islam untuk sembahyang, kena menghadap Kaabah. Ini juga bukan bermakna ALLAH itu ada dalam Kaabah.

Begitu juga dengan awak dan telefon. Emak awak menelefon awak menggunakan handphone Nokia N95, ini bukan bermakna emak awak ada dalam N95 tu. Tetapi Syarikat telekomunikasi menetapkan peraturan, kalau hendak cakap dengan emak melalui telefon kena dail nombor awak, barulah talian akan bersambung antara awak dan emak awak, dan awak boleh berbual melalui N95 walaupun emak awak tiada dalam handphone tu.

Kemudian Pendakwah bangkit dari kerusinya, mengeluarkan wallet, dan menghulurkan RM 1500 kepada Missionary … Nah ini duit untuk awak beli N95 yang baru …. Pendakwah terus meninggalkan Missionary yang masih kelihatan confuse …. Mungkin dia bingung. Bingung kerana Islam mempunyai jawapan kepada segala persoalan berbanding agamanya ……

Src : Suraya Harun ( Mitco Petronas )

Hari Kiamat Telah Hampir

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hari kiamat telah hampir dan manusia masih lagi bertambah tamak kepada dunia dan bertambah jauh daripada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. (Al-Anbiya:1)

Kiamat telah hampir kerana Nabi akhir zaman sudah pun diutuskan. Di akhir zaman penguasaan agama ke atas hati manusia semakin lemah. Dalam sebuah hadith disebut:

‘Wahai Jibril, apakah sepeninggalanku nanti umatku akan mengabaikan solah?’

‘Benar, wahai Muhammad, kelak di akhir zaman akan datang sekelompok manusia dari umatmu yang mengabaikan solah, mengakhirkan solah (hingga keluar dari waktunya), dan memperturutkan hawa nafsu. Bagi mereka satu dinar lebih berharga daripada solah.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA)

Src : Suraya Harun ( Mitco Petronas )

Tuesday, October 4, 2011

Tips Murah Rezeki

Rasulullah s.a.w. bersabda “Siapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim”. (Riwayat Bukhari).

Dalam hadith yang lain disebut disebut “Siapa yang rezekinya lambat, banyakkan istigfar. Dosa menyekat rezekinya dari sampai. Istigfarlah supaya diampunkan. Rasulullah s.a.w bersabda,

“Siapa yang banyak istigfar, nescaya dijadikan Allah s.w.t dukacitanya itu jalan keluar(kesukaan), kesempitannya itu jalan keluar(kelapangan) dan direzekikannya dari tempat yang tidak disangka (Riwayat Ahmad)

Doakan keampunan kedua ibu-bapa kerana Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila seseorang itu tidak lagi mendoakan kedua ibubapanya, sesungguhnya dia telah memutuskan jalan rezekinya”. (Hadith Riwayat ad-Dailani)

Dalam hadith yang lain disebut disebut “…..banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah,”

Kerja juga adalah satu amanah, sempurnakanlah kerja agar murah rezeki.

Src : Suraya Harun (Mitco Petronas)

Seruan Kepada Sekalian Manusia

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayat petunjuk. (Al:A’raf: 158)

Allah s.w.t sangat memanjakan manusia, walaupun manusia itu kafir dan tidak menyembahnya, namun mereka tetap diberi rezeki, makanan dan minuman. Rasulullah s.a.w. pula diutuskan kepada semua manusia dan semua bangsa, samada Arab atau bukan Arab. Baginda disuruh menyampaikan apa yang telah disampaikan kepadanya.

Al-Maidah [67] Wahai Rasul Allah! sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu….

Baginda menyeru isterinya, mengumpulkan ahli keluarganya dan menyeru mereka supaya menyembah Allah dan meninggalkan berhala-berhala hinggakan dimarahi oleh bapa saudaranya sendiri, Abu Lahab. Abu Lahab menyumpah Baginda, lalu Allah menyumpahnya “Binasalah Abu Lahab dan isterinya”.

Seruan itu adalah supaya beriman kepada Allah, tuhan yang satu dan Raja segala Raja, yang menguasai langit dan bumi.

Ali-Imran [26] Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Al-Anbiyaa [22] Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya…

Ta-Ha [6] Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.

Ar-Rad [2]Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya,

Tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah. Sembahan-sembahan lain seperti jin atau dewa-dewa itu sendiri pun sebenarnya ingin mendampingi Allah, mereka juga takutkan Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya. (Isra: 56)

Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti. (Isra: 57)

Tanda Allah adalah tuhan ialah dia menghidupkan dan dia juga yang mematikan.

Seruan kepada sekelian manusia agar menyembah Allah ini disampaikan oleh seorang Nabi yang Ummi Oleh itu ikutilah segala aqidah (kepercayaan) dan juga amalannya agar kita mendapat petunjuk.

Src : Suraya Harun (Mitco Petronas)

Tazkirah - Allah Yang Menanggung Rezeki Kita

Hud [6] Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).

Fikirkan bagaimana Allah menyediakan bekalan ayam dan kambing ke seluruh dunia. Berapa banyak ekor ayam yang disembelih setiap hari bagi menanggung keperluan manusia. Siapakah yang dapat membekalkan jutaan ayam ini ke seluruh dunia setiap hari. Jawabnya tidak lain melainkan Allah jualah yang menanggung rezeki kita ini.

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam juga ada bersabda : “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Dia akan memberi kamu rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung, dia keluar pada waktu pagi dengan perut yang kosong dan kembali pada waktu petang dengan perut yang kenyang.

Src : Suraya Harun (Mitco Petronas)