Tuesday, May 31, 2011

Kelebihan La ilaaha illallah

Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan “La ilaaha illallah” maka dia dimasukkan kedalam syurga” (HR. Hakim)

Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda:Jibril telah datang kepada aku lalu berkata,”Sampaikanlah khabar gembira kepada umatmu, bahawa sesungguhnya sesiapa yang mati dengan tidak mempersekutukan Allah Subhanahu Wata’ala, maka dia akan masuk syurga.”

Aku bertanya, “Ya Jibril, sekalipun dia telah mencuri dan berzina?” Jibril menjawab, “Ya“.

Aku bertanya lagi, “Sekalipun dia telah mencuri dan berzina?. Jibril menjawab, “Ya“.

Aku bertanya lagi sekali, “Sekalipun dia telah mencuri dan telah berzina?”

Jibril menjawab, “Ya, dan sekalipun dia telah minum arak”
[Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Hibban dari Abu Dzar]

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Friday, May 27, 2011

Azab Tidak Mengeluarkan Zakat

Dibelit Dan Dipatuk Oleh Ular

Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang diberikan oleh Allah harta benda kemudian ia tidak mengeluarkan zakatnya maka harta itu akan menjadilah baginya pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan yang licin berkilat kepalanya (kerana bisanya dan mempunyai 2 tanda hitam di atas keningnya). Ular itu akan membelit badannya pada hari itu dan kemudian mematuk-matuknya lalu berkata : “Aku hartamu, akulah hartamu yang engkau tidak mengeluarkan zakatnya” .

Abdullah bin Jubair meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Bahawa di dalam neraka ada ular-ular sebesar leher unta, jika menggigit maka rasa pedih biasanya tetap terasa hingga empat puluh tahun. Juga di dalam neraka ada kala jengking sebesar keldai, jika menggigit maka akan merasa pedih biasanya selama empat puluh tahun.

Dituang Dengan Leburan Emas Dan perak
Daripada Abi Hurairah r.a. dan katanya, Rasulullah SAW bersabda mana-mana pemilik emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakatnya pada hari kiamat akan disediakan kepingan-kepingan leburan dari api, lalu leburan itu dibakar dalam neraka jahanam, kemudian diselar kepada orang yang enggan mengeluarkan zakat di dahi, dirusuk dan dibelakang mereka.

Manakala di dalam hadis lain yang juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya. Setiap kali kepingan tersebut sejuk, ia akan dipanaskan kembali kemudian digosok lagi kepadanya secara berterusan pada satu masa yang mana tempohnya sama seperti 50 ribu tahun sehinggalah selesai diputuskan nasib seluruh manusia. Pada waktu itu setiap orang masing-masing dapat melihat nasibnya (jalannya) adakah dia ditempatkan ke syurga atau ke neraka). (Hadis riwayat Imam Muslim).

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Friday, May 20, 2011

Bersedekah Tidak Mengurangkan Harta

Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” (Hadith riwayat Tirmidzi).

Sebaliknya Allah akan mengganti setiap yang disedekahkan atau dikeluarkan zakat.

Saba [39] Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :” Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun didarat melainkan dengan menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”

Hanya Syaitan yang membisikkan bahawa bersedekah itu menyebabkan kemiskinan sedangkan Allah menjanjikan keampunan bagi mereka yang bersedekah.

Baqarah [268] Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.

Src: Suara Harun (Mitco Petronas)

Thursday, May 19, 2011

Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran

Rasulullah s.a.w. bersabda “Carilah kesempurnaan hajat kamu dengan jiwa yang murni, kerana sesungguhnya semuanya telah ditetapkan (sesuai dengan takdir) [Riwayat Ibnu AsSakir melalui Abdullah Ibnu Bisr]

Janganlah menggadai maruah untuk mendapatkan sesuatu samada harta, kedudukan atau sebagainya kerana semuanya telah diatur dan ditetapkan oleh Allah.

Sememangnya kita perlu berusaha dan berkorban untuk mendapatkan sesuatu tetapi jangan sampai mengorbankan maruah dan nama baik.

Janganlah digadai apa yang telah ada untuk mendapatkan lebih banyak daripada apa yang telah ada. Ada yang sangup menggadaikan rumah dan tanah untuk mendapatkan pinjaman agar mereka dapat menggandakan harta mereka, tetapi akhirnya mereka gagal dan harta tergadai, seperti kata pepatah “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”atau “Dengar Guruh Di Langir, Air Di Tempayan Dicurahkan”.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Sakhi dan Bakhil

Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sakhi (Murah hati) adalah pohon yang tumbuh di syurga, Oleh kerana itu tidak akan masuk syurga kecuali orang yang murah hati. Dan bakhil adalah pohon yang tumbuh di neraka. Oleh kerana itu, tidak akan masuk neraka kecuali orang bakhil.”

“Sifat bakhil adalah pokok yang ada di neraka yang dahan berserta cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke neraka.

“Demikian pula kemurahan hati adalah pokok yang ada di dalam syurga yang dahan dan cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke dalam syurga, kerana syurga adalah rumah bagi para pemurah.”

Seorang pemurah hati dekat kepada Allah, dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga. Seorang yang bakhil itu jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan jauh dari syurga tetapi dekat dengan neraka

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Sunday, May 15, 2011

50 Dalam 2

41 Sifat Allah Yang Penting

Sifat-sifat Allah bukanlah terhad kepada sifat 20 sahaja, cuma yang pokoknya sahaja dibincangkan dalam pelajaran sifat 20. 20 sifat adalah sifat yang wajib bagi Allah dan 20 sifat yang mustahil manakala 1 sifat yang harus. Sifat yang wajib bagi Allah ialah Allah ada, mustahil Allah tiada kerana jika Allah tiada tidak wujudlah alam ini.

Sifat yang mustahil ialah sifat yang berlawanan (opposite), misalnya wajib bagi Allah mendengar, mustahil bagi Allah bersifat tuli, jika Allah tuli bagaimana Allah hendak mendengar doa dan permintaan hambanya.

Sifat yang harus bagi Allah ialah harus bagi Allah melakukan atau tidak melakukan sesuatu, tidak ada paksaan ke atas Allah, misalnya harus bagi Allah menciptakan makhluk. Allah tidak tertakluk kepada undang-undang atau peraturan, sebagai contoh Allah tidak perlu menghidupkan makhluk yang telah dimatikan, namun kerana Allah bersifat maha mulia, Allah tetap menyempurnakan janjinya walaupun Allah tidak tertakluk kepada peraturan.

Maka 20 (wajib) + 20 (mustahil) + 1 (harus) = 41 Sifat Allah yang penting.

9 Sifat Rasul Yang Penting

Sepertimana kita belajar sifat 20 untuk mengenal Allah, para Nabi mempunyai 4 sifat yang penting iaitu Sidik (benar), Amanah, Tabligh (Menyampaikan) dan Fatonah (Bijaksana). Wajib bagi para rasul mempunyai 4 sifat ini. Nabi Muhammad s.a.w. bersifat Sidik iaitu hanya mengatakan apa yang Benar dan tidak memperkatakan sesuatu mengikut hawa nafsunya, melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah. Para nabi bersifat amanah dalam menyampaikan dakwahnya iaitu mereka hanya menyampaikan apa yang disuruh sahaja tanpa ditokok tambah. Sifat para Nabi ialah Tabligh iaitu menyampaikan. Selain itu para Nabi mestilah Fatonah iaitu bijaksana dalam menyampaikan dakwah mereka, misalnya mereka hendaklah melihat keadaan atau mood sasaran dakwah mereka.

4 Sifat yang mustahil bagi mereka pula ialah bohong, menyembunyikan, khianat dan bodoh.

1 Sifat yang harus bagi para nabi dan rasul ialah seperti sifat yang biasa terdapat atau berlaku ke atas manusia iaitu lapar, dahaga, makan, minum, tidur, berkahwin, lupa dan sebagainya. Al-Kahfi [110] Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu. Rasulullah s.a.w. juga pernah lupa dalam bacaan quran semasa dalam sembahyangnya.Baginda juga pernah tertidur sehingga terlepas Solah Subuh, namun Baginda menggaqha’nya.

Maka 4 (wajib) + 4 (mustahil) + 1 (harus) = 9 Sifat Rasul yang penting.

Keseluruhan (41+9)

Kesemua sifat ini 41 (Allah) +9 (Rasul) = 50 sifat ini tercantum dalam 2 kalimah Syahadah La ila ha illallah, Muhammadur Rasulullah…..

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Kisah Tetamu Nabi Ibrahim

Kisah malaikat mengunjungi Nabi Ibrahim semasa dalam perjalanan untuk memusnahkan umat Nabi Lut yang melakukan homoseks, mereka membawa berita gembira bahawa isterinya yang tua dan mandul itu akan melahirkan seorang anak (Nabi Ishak):

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?(Adh-Dhariyat:24)

Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: Salam sejahtera kepadamu! Dia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! (Sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. (Adh-Dhariyat:25)

Kemudian dia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). (Adh-Dhariyat:26)

Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: Silalah makan. (Adh-Dhariyat:27)

(Setelah dilihatnya mereka tidak menjamah makanan itu), maka dia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim). Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan. (Adh-Dhariyat:28)

(Mendengarkan berita yang menggembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)? (Adh-Dhariyat:29)

Mereka berkata: Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. (Adh-Dhariyat:30)

Nabi Ibrahim bertanya: (Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan? (Adh-Dhariyat:31)

Mereka menjawab: Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka); (Adh-Dhariyat:32)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Allah Hebat, Sifatnya Hebat

Allah sifatnya “hayyat” iaitu hidup. Bukti Allah hidup ialah adanya ciptaan Allah seperti langit, bumi dan segala makhluk. Hidupnya ialah kehidupan yang asli dan diberikan kehidupan kepada makhluk yang diciptanya. Allah hidup tidak seperti makhluk kerana makhluk memerlukan nyawa untuk hidup. Kita pula hidup dengan bergantung kepada nyawa yang diberikan olehNya.

Allah sifatnya “sama’” iaitu mendengar. Allah mendengar tanpa memerlukan cuping telinga atau gegendang telinga, tanpa memerlukan getaran atau angin untuk membawa bunyi. Allah mendengar setiap sesuatu walaupun ia tidak bersuara, Allah mendengar degupan jantung. Allah mendengar setiap yang dekat ataupun jauh. Pendengaran Allah adalah pendengaran yang asli, lalu diberikan sedikit kepada kita untuk kegunaan di dunia ini. Kita pula hanya boleh mendengar apa yang dekat atau cukup kuat dan apa yang mengeluarkan bunyi sahaja.

Allah sifatnya “basar” iaitu melihat. Allah melihat tanpa memerlukan kepada biji mata, cahaya. Allah melihat semua yang dekat, jauh, samada dalam terang atau gelap. Kita pula hanya boleh melihat sesuatu dalam jarak tertentu dan dalam keterangan (cahaya) sahaja. Penglihatan Allah adalah penglihatan yang asli, kita cuma diberikan sedikit penglihatan untuk kegunaan di dunia ini.

Allah sifatnya “ilmun” iaitu mengetahui. Allah mengetahui segala sesuatu sejak azali lagi. Ilmu Allah adalah ilmu yang asli. Kita pula hanya mengetahui melalui pembelajaran dan sedikit sahaja pengetahuan yang kita mampu perolehi berbanding ilmu Allah..

Allah sifatnya “kalam” iaitu berkata-kata. Allah berkata-kata tanpa perlu kepada bibir mulut dan gerakan atau pusingan lidah. Allah tidak perlu kepada angin atau udara untuk membantunya berkata-kata. Lihatlah bahasa yang terdapat di dunia ini, semuanya tidak sama antara satu sama lain padahal semua berada di dalam pusingan lidah manusia. Inilah kehebatan Allah yang menciptakan beribu bahasa di dalam mulut yang sempit sahaja keluasannya. Sepertimana Allah berkuasa menyusun cap jari yang berbeza-beza bagi setiap manusia: Qiyamah [4] ….Kami berkuasa menyusun jarinya..

Allah memiliki sifat-sifat yang hebat dan Allah menggunakan kesemua sifatnya yang hebat itu. Misalnya Allah berkuasa, maka Allah akan menggunakan kuasanya untuk melakukan apa sahaja yang dikehendakki. Berbeza dengan manusia, sebagai contoh sesetengah manusia mempunyai wang tetapi penampilannya tidak menunjukkan dia mempunyai wang (tidak menggunakan wangnya untuk menunjukkan sifatnya)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

2 Orang Yang Paling Menyesal

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Orang yang paling menyesal (berdukacita) pada hari Kiamat ialah orang yang ada peluang menuntut ilmu di dunia, tetapi dia tidak mengambil kesempatan menuntutnya, dan orang yang mengajar ilmu kepada orang lain; lalu yang belajar darinya mendapat faedah dari ilmu itu sedangkan dia sendiri tidak mendapat apa-apa.(Riwayat Ibnu As-Sakir dari Anas r.a.)”

Dalam hadith ini diterangkan tentang 2 orang yang paling menyesal dan berdukacita pada hari Kiamat.

1. Orang yang mempunyai peluang dan kesempatan untuk belajar tetapi tidak belajar.

Pada hari Kiamat Allah akan tanya “kenapa tidak belajar?”. Sekurang-kurangnya kalau kita melakukan sesuatu yang tidak betul, kita dimaafkan kerana masih belajar. Ambillah kesempatan untuk belajar dan ilmu tidak habis untuk dipelajari.

2. Orang yang diberi ilmu, orang lain mendapat faedah daripada ilmunya tetapi dia sendiri tidak mengambil faedah daripada ilmunya.

Janganlah jadi seperti lilin yang hanya membakar dirinya untuk orang lain, tanpa sebarang faedah kepadanya. Sama-samalah mencerahkan diri sendiri dan orang lain dan belajarlah untuk diamalkan.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Kuasa Allah Mengatasi Peraturan

Kuasa Allah mengatasi segala peraturan dan Allah boleh menyanggahi peraturan. Allah boleh melakukan sesuatu walaupun tanpa mengikut peraturan, misalnya Allah berkuasa mencipta manusia walaupun tanpa berlaku perkahwinan atau percampuran di antara lelaki dan perempuan. Allah berkuasa menjadikan perempuan tua yang mandul mengandung.

Nabi Adam tidak beribu dan berbapa. Begitu juga Siti Hawa yang dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam.

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai…[An-Nisaa:1]

Nabi Isa a.s. pula lahir tanpa bapa.

Mariam berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun? Allah berfirman; Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: Jadilah engkau, lalu menjadilah ia.

Perempuan tua yang mandul boleh mengandung, seperti yang berlaku kepada isteri Nabi Ibrahim.

…Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim). Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan. (Adh-Dhariyat:28)

(Mendengarkan berita yang menggembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)? (Adh-Dhariyat:29)

Mereka berkata: Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. (Adh-Dhariyat:30)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

4 Pemangkin Ke Syurga

Rasulullah s.a.w. bersabda “Berkata-katalah dengan baik, sebarkanlah salam, dan hubungkanlah silaturrahim serta sembahyanglah di malam hari ketika orang sedang tidur, maka kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera.

1)Berkata-katalah dengan baik.

Bercakaplah perkara-perkara yang baik, dengan lemah-lembut, tidak menyakiti orang lain, tidak menyindir, tidak sengaja menimbulkan kemarahan atau menyinggung perasaan.

Lidah jugalah yang membawa tuannya ke neraka.

Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) ditanya tentang apakah (penyebab) yang paling banyak membawa manusia masuk syorga, lalu jawab baginda: Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia. Dan beliau ditanya pula tentang apakah (penyebab) yang paling banyak membawa manusia ke neraka, jawab baginda: Dua rongga: mulut dan faraj (kemaluan). [Hadis Sahih Riwayat Tarmidzi]

2) Sebarkanlah salam.

Berilah salam terutamanya kepada sesama Islam dan sesama jantina kerana salam menimbulkan kasih sayang. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Muslim tentang salam.

“Kamu tidak akan masuk syurga, sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman, sehingga kamu saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu semua, sesuatu yang dengan melakukannya, maka akan wujud rasa sayang-menyayangi? Tebarkan salam”

3) Hubungkanlah silatur-rahim.

Hubungkanlah silatur-rahim dan berbaiklah dengan keluarga, jiran dan orang-orang kafir sekalipun kerana umat Islam adalah umat pilihan yang harus menunjukkan contoh yang baik.

Baqarah [143] Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)

Bertegur sapa dan tolong menolonglah. Rahim juga adalah nama Allah yang bermaksud maha mengasihani. Dalam hadith disebut, orang yang paling sensitif rasa kasihan belasnya paling dikasihani oleh Allah.

4) Sembahyanglah di malam hari ketika orang sedang tidur.

Antara perangai-perangai orang yang masuk syurga ialah:

Sajadah [16] Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud.

Orang-orang soleh yang terdahulu sebelum kita sangat sedikit tidur mereka. Ada yang 40 tahun tidak pernah tidur malam kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam.

Ad-Dhariyat [17] Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Kerana itu syurga kelas VIP banyak dipenuhi orang-orang terdahulu dan sedikit sahaja dari golongan kemudian..Sullatun minal awwalin wa qolilun minal akhirin.

Ar-Rahman [12](Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.[13](Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; [14] Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.


Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Tuesday, May 3, 2011

Ramai di Syurga dan Ramai di Neraka

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam bersabda :“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah dari kalangan orang miskin dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.”(HR. Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas dan Imran serta selain keduanya).

Ramai dari kalangan orang miskin masuk syurga berbanding orang kaya.

Orang miskin hanya mampu melakukan kejahatan untuk dirinya sahaja, berbanding orang kaya yang boleh menaja kejahatan untuk orang ramai dengan menggunakan kekayaannya:

Isra [16] Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.

Mereka yang kaya memiliki kelebihan dibandingkan dengan orang miskin dari segi harta. Kelebihan yang mereka miliki itu boleh digunakan untuk beribadah (taat) kepada Allah SWT atau digunakan untuk maksiat.

Ramai wanita memasuki neraka kerana mereka tidak mengenang jasa suami mereka dan merasa tidak cukup dengan apa yang telah diberikan oleh suami mereka .

Ketika beliau melihat neraka maka beliau bersabda kepada para sahabatnya radliyallahu ‘anhum : “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita”. Sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam?” Baginda Shalallahu ‘alaihi wassalam menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanyai lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (HR. Bukhari dari Ibnu Abbas radliyallahu ‘anhuma).

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam : “Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.” (HR. Nasa’i)

Wanita juga ibarat magnet yang mempunyai tarikan yang kuat pada lelaki, terutamanya apabila mereka keluar dari rumah. Dalam satu hadith disebut, “Syaitan menunggu-nunggu bila perempuan hendak keluar dari rumahnya”. Apabila perempuan berjalan keluar, dua syaitan meng”eksploitasi”nya, satu syaitan menghiasi depan dan satu lagi menghiasi belakangnya. Syaitan mengguna-pakai perempuan untuk mempesona para lelaki di luar rumahnya.

Ibnu Mas’ud ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda , “Wanita adalah objek yang tersorok (aurat), apabila ia keluar syaitan akan menghias mereka untuk menggoda kaum lelaki” (At-Tirmizi).

Bayangkan jika setiap hari ada beberapa orang lelaki yang tergoda dengan pemakaian seorang perempuan yang tidak menutup aurat itu. Sebulan berapa banyakkah sumbangannya? Di akhirat nanti tidakkah susah dia hendak mencari para lelaki yang terpesona dengan tubuh badannya untuk meminta maaf dari mereka.Maka Islam menyuruh perempuan menutup aurat, memakai pakaian yang longgar, tidak menampakkan susuk badan.

Ahzab [33] Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu.

Nabi SAW pernah bersabda: “Perempuan yang memakai baju tetapi telanjang, dan dia memandang lelaki lain, dan membuatkan lelaki-lelaki lain terpandang kepadanya, maka perempuan ini tidak akan cium bau syurga. Sedangkan bau syurga sudah pun boleh dibau dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Ahli Sunnah Wal-Jamaah berpendapat bahawa tidak mencium bau syurga bermaksud mereka lambat masuk syurga (tetap masuk syurga sekiranya mereka memiliki iman)

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

Monday, May 2, 2011

Kenapa Umat Islam Lemah

Banyak lepak, berfoya-foya

Umat Islam hari ini lemah kerana asyik berfoya-foya. Lihatlah di mana sahaja pusat hiburan, konsert atau program hiburan di televisyen, umat Islamlah yang ramai terlibat. Orang Islam sepatutnya menggunakan masa untuk perkara yang lebih berfaedah. Perbuatan membazir masa dengan “lepak-lepak” memang dilarang oleh Islam. Mereka yang banyak melepak sukar membebaskan diri dari dosa atau terlibat dengan jenayah-jenayah kecil. Kata orang luar, otak mereka (yang banyak lepak) dijadikan sarang oleh syaitan.

Tidak Bersatu

Umat Islam lemah pada hari ini kerana umatnya tidak bersatu. Islam adalah agama perdamaian dan umat Islam mestilah bersatu padu. Kerajaan Islam di Andalusia jatuh ke tangan Kristian kerana pemimpin-pemimpin Islam tidak bersatu, bahkan mereka bekerjasama pula dengan pihak Kristian untuk menjatuhkan sesama sendiri.

Dalam Islam, haram tidak bertegur sapa sesama Islam selama tiga hari (kerana bergaduh). Dari tidak bertegur sapa boleh membawa kepada perpecahan dan akhirnya umat Islam menjadi lemah. Kata pepatah Melayu, “Bersatu teguh, bercerai roboh”. Kata pepatah asing “”Kekuatan itu ada dalam kesatuan”. Selain itu umat Islam lemah kerana tiadanya pemimpin yang mampu menyatukan semua umat Islam. Kerana itulah Imam Mahdi diutuskan di akhir zaman untuk memimpin.

Kurang Berlimu

Umat Islam lemah pada hari ini kerana mereka kurang berilmu. Mereka tidak mampu mencipta kipas sendiri, apalagi hendak mencipta kapal terbang, senjata atau peralatan perang sendiri. Kerana itu mereka terpaksa bergantung kepada kuasa asing, yang tidak mungkin akan memberikan peralatan yang terbaik. Jika dahulu orang merujuk kepada pakar ilmuan Islam, sekarang ini orang Islam pula yang merujuk.

Pergaulan bebas, gambar, muzik dan arak

Umat Islam lemah pada hari ini juga terdedah kepada pergaulan bebas dan gambar serta filem lucah mudah diperolehi sehingga akhirnya membawa kepada perzinaan. Bahkan di Malaysia ini sehingga sanggup membuang anak kerana terlanjur berzina. Kerana itulah awal-awal lagi Islam telah menyekat 4 perkara ini iaitu pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan terutamanya bukan mahram, muzik, gambar dan arak. Lihatlah kesannya ke atas umat Islam hari ini.

Src: Suraya Harun (Mitco Petronas)

DOA SELAMAT DARI BALA

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari bala yang melampau, kecelakaan, keputusan yang tidak baik dan kegembiraan musuh (terhadap masalahku).(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mintalah perlindungan daripada Allah kerana segala ketetapan yang baik atau tidak baik semuanya datang daripada Allah. Tiada yang lain boleh melindungi kita selain Allah. Berdoalah minta tolong daripada Allah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “

Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya.”(Riwayat Al-Imam At-Tirmizi)

Bala, musibah adalah ujian daripada Allah untuk membersihkan dosa-dosa. Bersabarlah dalam menghadapi musibah dan janganlah merungut kerana setiap musibah itu ada pampasannya. Dalam hadith disebut seseorang itu tidak akan mengecap kemanisan iman sehingga dia merasakan musibah itu satu rahmat ke atasnya. Allah juga suka mendengar rayuan hambanya.

Anas bin malik R.a berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila Allah kasih sayang pada seorang hamba maka dikenakan kepadanya Bala”, Maka bila ia berdoa berkata Malaikat: suara yang sudah terkenal!!!. Dan berkata Jibril: Ya Allah , Hamba mu si Fulan itu, Sampaikanlah Hajatnya. Jawab Allah: Biarkan hambaku , Aku suka mendengar Rintihan Suaranya. Maka apabila hamba berkata……Ya Rabbi.. Jawab Allah : Labbaika Hambaku ( selamat datang hambaku) tiada engkau berdoa melainkan aku sambut,dan tiada engkau minta sesuatu melainkan pasti aku berikan , Adakalanya Aku segerakan untuk mu , atau aku simpan untukmu yang lebih baik bagimu, Atau aku tolak daripadamu bala”yang lebih besar dari itu.

Kita disuruh berdoa meminta perlindungan daripada bala dan kecelakaan yang melampau-lampau atau berlebihan, misalnya selepas satu masalah, datang pula masalah yang lain (satu demi satu)

Allah juga mempunyai qada’ atau takdir ketetapan yang baik dan juga yang tidak baik. Kita disuruh berdoa meminta perlindungan daripada ketetapan yang tidak baik. Ada ketetapan yang tidak boleh diubah, misalnya mati itu pasti. Selain itu Allah mempunyai ketetapan yang hanya boleh diubah olehnya. Walaupun ianya telah tertulis di Loh Mahfuz, Allah berhak memadamnya atau menukarnya.

Ar-Ra’d [39] Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala suratan”.

Kita juga diajar agar minta berlindung daripada kegembiraan musuh atas masalah dan kesusahan yang kita hadapi. Dalam kisah Nabi Musa yang memarahi Nabi Harun setelah umatnya kesesatan, Nabi Harun mengatakan:

Al-A’raf [149] Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu? Dan dia meletakkan Luh-luh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim..

Src : Suraya Harun (Mitco Petronas)

Jaminlah Untukku 6 Perkara, Aku Jamin Syurga Untukmu

Rasulullah saw bersabda: “Jaminlah untukku enam perkara, aku jamin syurga untukmu, iaitu: bercakap benarlah bila kamu berbicara, tepatilah janji bila kamu berjanji, sampaikanlah apabila kamu diberi amanah, jagalah kemaluanmu tahanlah pandangan matamu, dan tahanlah tanganmu.”(Hadith Riwayat Imam Ahmad,Ibnu Hibban, Baihaqi)

1.Bercakap benarlah bila kamu berbicara.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Cukuplah seseorang dianggap berbohong apabila dia senantiasa menceritakan semua yang dia dengar. (tanpa diselidiki kebenarannya)” (Riwayat Imam Muslim)

2. Tepatilah janji bila kamu berjanji.

Ada dua jenis janji iaitu janji bertulis dan janji secara mulut atau lisan. Kedua-duanya akan ditanya dihari kiamat. Dalam quran disebut:

……dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.(Al-Isra, 34)

3. Sampaikanlah apabila kamu diberi amanah

Kiamat berlaku disaat amanah disia-siakan. Kerja juga adalah satu amanah, sempurnakanlah kerja agar murah rezeki. Nabi Muhammad juga digelar Al-Amin kerana amanah. Amanahlah dalam semua aspek. Serahkanlah amanah kepada yang pakar dalam bidangnya.

Rasulullah saw bersabda, “tidak (sempurna) iman seseorang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang yang tidak menunaikan janji.” (HR. Ahmad).

Rasulullah s.a.w bersabda “Apabila suatu perkara diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran (Riwayat Bukhari)

4. Jagalah kemaluanmu iaitu seks.

Jauhi dari digunakan pada tempat yang salah. (haram). Di dunia Allah beri satu (1) tenaga kepada setiap orang lelaki. Satu tenaga ini boleh diguna hanya kepada 4 isteri. Ramai orang yang tidak dapat jaga 1 tenaga dan nafsu ini dan digunakan pada tempat yang haram, iaitu perhubungan seks haram, pelacuran. Di syurga Allah akan beri 100 tenaga untuk lelaki dan perempuan. Jagalah tenaga yang 1 di sini untuk dapat 100 di sana.

5. Tahanlah pandangan matamu.

Kata pepatah Melayu dari mata turun ke hati. Kerana itulah kita disuruh merendahkan pandangan daripada memandang perkara yang haram dan wajah wanita atau lelaki yang bukan mahram. Diriwayatkan, Rasulullah berjalan dengan agak laju dan menundukkan pandangan.

An-Nur [30] Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

An-Nur [31] Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)……

6. Tahanlah tanganmu.

Tangan jugalah yang menyumbang kepada kejahatan walaupun sekadar mencuri selipar. Oleh itu ikatlah dan kawallah tangan daripada melakukan kejahatan.


Src : Suraya Harun (Mitco Petronas)